terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 11, 2011

Di pejabat bos, di rumah isteri..


MEMANG jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Perkahwinan adalah penting. Ia adalah permulaan kepada pembentukan sebuah masyarakat kecil yang akan berlanjutan ke anak cucu dan turun temurun.

Oleh itu, merancangkan satu perkahwinan yang tepat dan baik adalah ikhtiar yang tidak boleh dipandang kecil.

Malah, Rasulullah SAW sudah berpesan tentang empat syarat yang perlu dilihat ketika memilih isteri iaitu harta, rupa, keturunan dan agamanya.

Namun, sanggupkah seorang suami menerima hakikat isterinya lebih berpangkat daripadanya?

Senario ini mungkin satu perkara biasa kerana lebih ramai wanita yang bergelar isteri berjaya menjawat jawatan tinggi.

Keadaan ini tentulah sesuatu yang membanggakan suami tetapi pada masa yang sama mereka bimbang jika isteri akan lupa daratan kerana terbawa-bawa dengan sikapnya sebagai bos di pejabat.

Namun, bagi isteri yang solehah, bagaimana tinggi pangkatnya tetapi apabila di rumah tugasnya tetap seorang isteri.

Bahkan, kehidupan harmoni yang berlandaskan kasih sayang akan terpancar jika wujud perasaan sayang-menyayangi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Manakala di pihak suami pula patut menyuarakan apa yang dirasakan tidak kena kepada isterinya bagi mengelakkan sebarang kepincangan dalam rumah tangga.

Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali menjelaskan, biarpun ada perbezaan darjat tidak bermakna mereka tidak boleh mencipta kebahagiaan.

Ia adalah acuan kehidupan yang dipilih oleh pasangan tersebut. Oleh itu kebahagiaan dan kedurjanaan dalam rumah tangga kita sebenarnya terletak di bahu kita sendiri.

“Inilah hasil daripada acuan yang kita pilih, maka sudah menjadi tanggungjawab masing-masing dalam menjalankan peranan,’’ ujarnya tegas.

Akui Suzana lagi, perkara pertama ialah sedar dan tahu kedudukan dan peranan sebagai isteri ataupun suami.

“Walaupun isteri lebih bijak dan berpendidikan, bukan bererti si isteri boleh memperbodohkan suami anda sesuka hati. Andai ditakdirkan kita sebagai ketua kepada suami di tempat kerja, tetapi di rumah pula suami tetap ketua rumah tangga.

‘‘Di pejabat kita boleh memberi arahan dan marahkan suami jika ada urusan pejabat yang tidak diurus dengan sewajarnya, tetapi harus diingatkan urusan pejabat hanyalah boleh diselesaikan di pejabat sahaja.

“Keadaan ini berbeza apabila pulang ke rumah, wanita harus berperanan sebagai isteri atau ibu.

‘‘Harus diingatkan bahawa segala yang berlaku di pejabat tidak boleh dibawa balik ke rumah.

“Kepada suami, jangan ada rasa rendah diri. Biar siapa pun anda, anda adalah suami dan ketua rumah tangga, biarpun lebih rendah tahap pendidikan dan berpendapatan lebih rendah berbanding isteri tetapi itu bukan bermakna anda boleh menjadi hamba isteri,” katanya.

Terang Suzana lagi, biarpun pendapatan si suami kurang sedikit namun ia tidak menafikan tanggungjawab si suami dan bapa.

‘‘Suami tetap wajib mengeluarkan perbelanjaan untuk menanggung segala keperluan isteri dan anak-anak. Jika isteri menghulur bantuan, ia adalah bonus tetapi sekiranya isteri anggap ia sebagai hutang maka perlu suami melangsaikan segala hutang tersebut walaupun tidak dituntut,’’ tegasnya.

Terang Suzana lagi, dalam hubungan suami isteri memerlukan keserasian begitu jua dengan kehidupan harian biarpun isteri lebih berpangkat tetapi suami tetap berperanan dalam urusan rumah tangga.

‘‘Untuk mengekalkan kerukunan rumah tangga, perkara yang penting adalah jangan mengungkit latar belakang masing-masing.

‘‘Isteri jangan sesekali menjadikan latar belakang suami sebagai senjata untuk menjatuhkan air muka dan harga diri suami,” katanya lagi.

Dalam situasi sedemikian, terimalah pasangan kita seadanya, malah jangan bandingkan pasangan kita dengan orang lain

‘‘Jangan pertikaikan ketidakupayaan suami dalam memberikan kehidupan yang lebih sempurna, inilah rentak acuan kehidupan rumah tangga yang dipilih oleh kita sendiri, oleh itu terimalah dengan hati terbuka,’’ ujarnya.

Terang beliau lagi, sebuah perkahwinan adalah satu amanah yang amat berat untuk dipikul tetapi sesuatu yang sangat mulia.

‘‘Dalam menjalinkan hubungan kita perlu ada tiga ciri utama, cinta dan kasih sayang serta komunikasi yang baik. Cinta atau kasih sayang perlu dipupuk agar terus berputik dan disuburkan,” katanya.

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...