terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 22, 2011

Filem seram rosakkan akidah !!


SEJAK akhir-akhir ini, hampir semua stesen penyiaran swasta mahupun kerajaan seperti berlumba-lumba menayangkan filem atau drama seram dan tahyul.

Ia bagaikan satu trend yang mesti dilaksanakan, stesen yang tidak berbuat demikian dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Ia bukan saja tahyul Melayu tetapi meliputi tahyul Siam, Cina dan sebagainya yang langsung tidak memberi kesan kepada perkembangan pengetahuan dan mental terutama kepada kanak-kanak dan generasi muda.
Cerita seumpamanya hanya menimbulkan rasa seram dan ketakutan yang akan terbawa-bawa dalam kehidupan nyata. Akan wujud semula kepercayaan animisma yang takutkan hantu, pokok besar, batu besar dan sebagainya seperti kepercayaan yang sudah bersarang sekian lama dalam masyarakat kita.
Kepercayaan kepada tahyul mula berkurangan sejak awal 90-an, kecuali ada beberapa majalah yang masih memperbesarkan isu ini untuk melariskan jualan yang semakin merudum.

Baiknya kanak-kanak masih tidak mampu membaca, maka kesan negatif lambat memberi impak. Tetapi apabila tahyul dan seram terus terpancar ke ruang tamu rumah melalui kaca peti televisyen kesannya begitu pantas menyerap dan meresap ke dalam minda kanak-kanak.

Fenomena ini mesti di kawal oleh pihak berkuasa terutama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, FINAS dan lain-lain agensi berkaitan termasuk golongan ulama, kerana impaknya pada masa akan datang ialah akan lahir generasi yang akan mempercayai suatu kuasa lain yang perlu ditakuti, selain kuasa Allah SWT.

Ini membabitkan soal akidah yang mungkin tidak disedari oleh golongan karyawan filem atau mereka memang terlepas pandang kerana masa itu masih jauh sedangkan keuntungan materialnya bertimbun depan mata.
Ulama yang berpandangan jauh mesti dijemput memberi tazkirah kepada mereka yang berhajat menerbitkan filem atau drama yang akan memuatkan adegan yang berkaitan atau menyentuh soal akidah.

Rujukan kepada golongan ini sangat penting untuk mengelak kekeliruan atau kontroversi apabila sesuatu kerja seni itu ditayangkan kepada masyarakat umum. Memelihara akidah dan iman adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk golongan karyawan, ulama dan orang awam. Jika satu daripada golongan itu tersilap semua pihak akan berdepan risiko hukuman Allah SWT.

SULAIMAN YAHYA,
Kajang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...