terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 18, 2011

Golongan menengah dan pembayar cukai perlu dibela kerajaan..


SAMA ada sedar atau tidak golongan pertengahan adalah golongan teramai di Malaysia dengan mempunyai berpendapatan sederhana tinggi. Golongan ini kebanyakannya bekerja makan gaji sama ada sebagai penjawat awam atau pekerja swasta.

Golongan pertengahan ini juga adalah pembayar cukai terbanyak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) walaupun kadangkala lebihan pendapatan mereka setiap bulan tidak seberapa dengan pelbagai tanggungan wajib dan beban kenaikan harga barangan.

Bagi mereka berjawatan tinggi yang tentunya berpendapatan tinggi mungkin tidak merasakan masalah ini kerana pelbagai jenis elaun diterima. Mereka tidak memikirkan bagaimana untuk sampai ke sesuatu destinasi jika diarahkan bertugas di luar. Tiket penerbangan, tempat penginapan dan sebagainya sudah tersedia tapi bagaimana dengan golongan pertengahan?

LHDN sepatutnya turut memberi lebih fokus kepada peniaga nasi lemak, pisang goreng, tukang urut, peniaga pasar malam, pemilik restoran Thai yang ada di antara mereka yang berpendapatan melebihi RM500 sehari namun pendapatan tidak pernah diaudit dan mereka tidak dikenakan cukai.

Begitu juga peneroka FELDA yang memperoleh pendapatan lebih daripada RM5,000 sebulan, sepatutnya layak untuk dikenakan cukai.

Slip gaji juga adalah penghalang golongan pertengahan untuk mendapat kemudahan dan keistimewaan biarpun hakikat sebenar mereka juga layak. Contohnya pemilihan untuk anak ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau MRSM.

Pendapatan keluarga juga satu daripada syarat untuk melayakkan mereka diterima ke SBP selain keputusan 5A. Contohnya, seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak dan berpendapatan RM1,300 layak mendapat SBP daripada sebuah keluarga yang mempunyai enam anak dengan pendapatan RM4,000.
Begitu juga kelayakan membeli rumah PPRT, Biasiswa Kecil Persekutuan, subsidi membeli beras, bantuan pakaian seragam dan sebagainya.

Hanya mereka berpendapatan RM1,500 ke bawah saja layak sedangkan mereka yang berpendapatan lebih sedikit daripada itu dan mempunyai tanggungan yang ramai tidak layak.

Saya amat berharap pihak yang berkenaan lebih bersikap adil dan relevan dalam menentukan status kelayakan mendapatkan keistimewaan dengan mengambil kira jumlah tanggungan dan taraf sosioekonomi sesuatu tempat.

Begitu juga kelayakan pendapatan yang layak dikenakan cukai mungkin perlu dinaikkan dan pelbagai potongan lain sebagai rebat.

Saya bukan cemburu dengan mereka yang mendapat pelbagai kemudahan dan keistimewaan namun berharap mendapat secebis keistimewaan kerana kami juga adalah rakyat Malaysia yang juga golongan pembayar cukai teramai.

WONG KHOO LAI,
Kulai, Johor

2 comments:

  1. Terima kasih di atas info di atas... Memang topik cukai ni sepatutnya menjadi bahan bacaan semua peringkat masyarakat... Kenaikan harga barangan dan inflasi sepatutnya lebih diterjemahkan supaya semua golongan lebih faham bab ni..

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Saya amat bersetuju dengan artikel diatas. Saya adalah rakyat yang dinafikan hak walaupun membayar cukai pendapatan ribuan ringgit setiap tahun. Sebagai contoh, anak saya gagal untuk menduduki mana-mana sekolah berasrama penuh walaupun mendapat 5A. Antara alasan yang diberi adalah sebab:
    1. Anak tunggal
    2. Berpendapatan lebih dari syarat minimum
    3. Pelajar dari sekolah bandar
    4. dsb....yang saya malas nak tulis di sini.

    Persoalannya, kita yang bayar cukai...orang lain yang enjoy ....

    Jadi fikir-fikirkanlah...pada pembayar cukai sekalian....undi di TANGAN ANDA...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...