terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 31, 2011

Gubal dasar perumahan negara..supaya rakyat berpendapatan bawah RM 3,000 mampu beli..


Kerajaan perlu memperkenalkan pendekatan baharu dalam dasar perumahan negara bagi melindungi nasib rakyat yang pendapatan isi rumahnya sekitar RM3,000 sebulan bagi membolehkan mereka mampu memiliki rumah di kawasan bandar.

Ini kerana dasar sedia ada terlalu fokus untuk menyediakan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah dengan jumlah pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan, kata Senator Datuk Abdul Rahim Rahman, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co., sebuah firma perunding pelaburan hartanah antarabangsa.

"Dasar baharu perlu digubal dengan mewujudkan fokus baharu iaitu membantu golongan berpendapatan sederhana yang berpendapatan RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah sendiri.

"Golongan tersebut ketika ini sangat sukar untuk memiliki rumah malah terpaksa bersaing dengan golongan berpendapatan tinggi dan sudah pasti mereka akan tewas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, kini sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan kuota baharu bagi golongan tersebut menyelesaikan masalah berkenaan untuk jangka masa panjang.

Katanya, golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 sebulan semakin meningkat ketika ini seiring dengan perkembangan ekonomi semasa iaitu menjangkau 70 peratus daripada golongan bekerja di Malaysia.

"Saya mencadangkan agar diwujudkan kuota sekurang-kurangnya 20 peratus untuk golongan ini bagi setiap projek perumahan baharu di seluruh negara. Ketika ini kita sudah mempunyai dasar 30 peratus untuk rumah kos rendah dan dasar ini sangat baik dan perlu dikekalkan, cuma ditambah kuota baharu sahaja.

"Jika tidak dibuat, golongan ini akan bersaing untuk memiliki rumah kos rendah dan terpaksa melakukan penipuan dokumen atau sebagainya untuk memiliki rumah berkenaan. Akhirnya golongan berpendapatan rendah juga yang menerima kesan yang teruk.

"Perkara ini dah berlaku. Kita boleh lihat rumah-rumah kos rendah di Kuala Lumpur misalnya, pemiliknya memiliki kenderaan yang tidak melambangkan status mereka sebagai penghuni rumah kos rendah," jelasnya.

Beliau berkata, langkah mewujudkan kuota baharu tersebut merupakan cara yang paling praktikal dan tidak membebankan mana-mana pihak terutamanya pemaju perumahan.

Tidak dinafikan aspek keuntungan menjadi keutamaan pemaju perumahan, tetapi jika kerajaan berjaya mewujudkan mekanisme atau insentif yang sesuai, maka perkara ini mampu dilaksanakan, katanya.

Ditanya mengenai pembiayaan perumahan 100 peratus melalui Cagamas oleh kerajaan, Abdul Rahim berkata, cadangan tersebut memang baik tetapi beberapa persoalan seperti bilangan rumah yang ada, di mana lokasi rumah berkenaan dan kerajaan atau swasta yang bertanggungjawab membina perumahan terbabit perlu diselesaikan

"Pengumuman dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tersebut masih longgar dari segi keberkesanannya. Insentif diberi tetapi masalah kekurangan rumah dan harga yang melampaui kemampuan rakyat tetap berlaku.

"Ketika ini, tidak ada undang-undang penyelarasan harga rumah mengikut kawasan. Maka harga ditetapkan ikut harga pasaran dan keberanian pemaju. Kesannya dapat dilihat sekarang.

"Contohnya, rumah kos rendah di Kuala Lumpur sepatutnya berharga RM42,000, tetapi adakah masih ada rumah dengan nilai berkenaan hari ini di ibu kota?" ujarnya.

Selain masalah kuota, Abdul Rahim turut membangkitkan masalah lokasi perumahan mampu milik yang dilaksanakan ketika ini yang tidak mempunyai sistem perhubungan dan pengangkutan yang baik bagi memudahkan rakyat ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Beliau berkata, masalah jarak lokasi perumahan yang terlalu jauh bukan menjadi isu utama kerana semua orang sudah mengetahui bahawa Kuala Lumpur sudah tidak mempunyai tanah yang luas bagi dibangunkan untuk tujuan kediaman.

"Masalah jarak dapat diatasi jika ada sistem perhubungan yang mampu memendekkan masa perjalanan ke ibu kota, contohnya seperti lebuh raya dan sistem transit aliran ringan (LRT).

"Ketika ini saya lihat Sungai Buloh merupakan lokasi paling sesuai untuk membangunkan perumahan baharu untuk dihuni rakyat yang bekerja di Kuala Lumpur," katanya.

Ditanya mengenai dasar kuota 30 peratus untuk rumah kos rendah bagi setiap projek perumahan yang dilihat semakin kurang mendapat perhatian pihak swasta, Abdul Rahim berkata, ia hanya dasar galakkan kerajaan pusat dan bukannya undang-undang.

"Jika pihak swasta tidak melaksanakan, ia bukan satu kesalahan. Namun pihak pemaju swasta perlu ada rasa tanggungjawab kepada rakyat.

"Selain itu, kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa dalam hal ini, kerana undang-undang melibatkan tanah dan kelulusan projek perumahan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.

Oleh FAIRUS KASSIM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...