terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 6, 2011

Hantaran lebih elok sederhana..

ISU wang hantaran tinggi bukanlah satu isu yang baru dibincangkan dan dibangkitkan tetapi hingga ke hari ini ia seolah-olah isu yang tiada penghujungnya.

Malah wang hantaran yang diletakkan atau dikenakan oleh keluarga pengantin perempuan kepada pengantin lelaki semakin hari dilihat semakin meningkat dan ada kalanya ia mencecah puluhan ribuan ringgit.

Persoalannya, adakah kenaikan wang hantaran yang melambung tinggi merupakan satu perkara yang relevan atau adakah ia satu trend mengikut perkembangan zaman?

Tetapi adakalanya, wang hantaran yang tinggi dilihat seolah-olah keluarga pengantin perempuan ingin 'menjual' anak ataupun berlumba menunjuk-nunjuk 'anak siapa lebih mahal'.

Adakah senario ini satu perkara yang sihat atau sekadar ingin memuaskan 'nafsu' masing-masing?

Menurut Pensyarah Pengajian Umum, Institut Teknologi Maklumat Malaysia (MIIT), Universiti Kuala Lumpur, Norsazali Abdullah, wang hantaran merupakan sebahagian daripada adat resam dalam masyarakat Melayu dan ia tidak wajib dalam hukum syarak.

Tambah beliau, tiada dalil yang mewajibkan pengantin lelaki memberikan wang hantaran kepada pengantin perempuan, malah pada dasarnya pemberian wang hantaran daripada pihak lelaki adalah sebagai cara membantu pihak perempuan dalam persiapan majlis atau kenduri perkahwinan.

Dalam Islam, perkara yang wajib kepada pengantin lelaki untuk diberikan kepada pengantin perempuan adalah mahar atau mas kahwin.

Ini berdasarkan dalil al-Quran dalam surah an-Nisaa' ayat 4 dan ayat 24 yang bermaksud; 'Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian yang halal itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya'.

Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya setelah ia menjadi isteri kamu, maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya dengan sempurna sebagai satu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu suami isteri, sesudah ditetapkan mas kahwin itu tentang cara dan kadar pembayarannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana'. (An-Nisaa': 24).

Jelas beliau lagi, kebiasaannya jumlah wang hantaran ditentukan oleh pihak pengantin perempuan namun persetujuan dan perundingan oleh kedua-dua belah pihak akan dibuat semasa majlis pertunangan atau sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan.

Lazimnya, akan berlaku tawar menawar antara pihak lelaki dan juga pihak perempuan sehinggalah kata putus diambil tentang jumlah wang hantaran tersebut.

Apa yang penting ialah kesederhanaan dan berpatutan dengan melihat kemampuan pihak lelaki dalam menentukan wang hantaran agar ia tidak membebankan pihak lelaki dan yang lebih penting untuk mendapat keredaan Allah SWT.

''Dalam adat masyarakat Melayu wang hantaran merupakan hadiah dan tanda persetujuan pengantin lelaki untuk mengahwini pengantin perempuan. Dalam masa yang sama ia untuk membantu pengantin perempuan membuat persediaan majlis perkahwinannya.

''Tetapi pada pendapat saya, sekiranya hantaran yang tinggi bertujuan untuk belanja kenduri pihak pengantin perempuan, ia sesuatu yang tidak adil kerana pihak lelaki juga akan mengadakan kenduri di pihak lelaki.

''Islam juga amat melarang umatnya bersikap menunjuk-nunjuk, sombong atau angkuh dalam apa juga perlakuan termasuklah mengenakan wang hantaran tinggi yang dilihat seolah-olah menjadi satu trend dalam masyarakat Melayu hari ini,'' katanya.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

2 comments:

  1. Assalamualaikum .. mohon share . syukran :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum .. mohon share . syukran :)-haziqah-

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...