terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 24, 2011

Jangan terjerat PENIPUAN untuk kurus !!


MENDAPATKAN bentuk badan langsing dan sempurna menjadi idaman setiap wanita. Kini seakan satu trend apabila setiap hari, di mana-mana saja kita boleh lihat iklan lokasi sesuai untuk menjadikan impian wanita itu menjadi kenyataan.

Seolah-olah matlamat mendapatkan tubuh sempurna hanya diperoleh menerusi program seumpama itu atau mengamalkan pemakanan produk tertentu. Keadaan itu menjadikan populariti dan amalan menerusi aktiviti senaman untuk mendapatkan tubuh sihat sempurna semakin berkurangan.
Antara memenuhi matlamat atau sekadar mahu mengikut aliran, ramai pengguna sebenarnya menjadi mangsa pusat pelangsingan badan. Pelbagai promosi iklan ditawarkan, termasuk sesi percubaan percuma disediakan bagi menarik pelanggan mengambil pakej bagi merealisasikan matlamat mereka.
Zaliza Ishak (bukan nama sebenar) menganggap dirinya antara mangsa, terjerat dengan program pelangsingan badan ditawarkan jenama ternama di ibu negara walaupun Zaliza bukanlah dalam kategori wanita bertubuh gempal.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu merasakan keadaan perutnya yang agak menggeleber, selepas melalui proses kehamilan sebelum ini, memerlukan beliau melakukan rawatan pelangsingan yang hangat iklannya di mana-mana sedangkan dia tahu hanya menerusi teknik senaman yang dilakukan secara teratur dan disiplin, dapat menangani masalahnya itu.

“Saya tahu senaman mampu merealisasikan hajat saya, tapi seperti wanita lain yang kesuntukan masa bersenam, waktu makan yang tidak menentu, menuntut saya mencuba ke pusat rawatan berkenaan.

“Atas tiket sesi percubaan, saya ke pusat pelangsingan berkenaan. Antara prosedur biasa dilakukan apabila mereka berkunjung ke pusat itu, pelanggan dibawa masuk ke bilik rundingan terlebih dulu sebelum mendapatkan rawatan. Di dalam bilik berkenaan, saya mendapat khidmat nasihat seorang pakar perunding sebelum di bawa ke bilik rawatan di maksudkan,” katanya.
Menceritakan pengalaman itu, Zaliza berkata, sesi berkenaan memakan masa selama kira-kira 60 minit, tetapi dirasakan bagaikan sehari kerana rawatan memecahkan lemak bagaikan ‘memecahkan’ perutnya kerana terlalu panas dan dia dibiarkan bersendirian dalam bilik berkenaan tanpa pengawasan.

“Rawatan awal hanyalah urutan tetapi apabila masuk ke bahagian memecahkan lemak, perut saya disapu dengan sejenis tanah liat yang agak panas. Lama-kelamaan ia menjadi semakin hangat bagaikan terbakar menyebabkan saya terpaksa mengangkat tanah liat itu daripada perut saya,” katanya yang tidak terfikir untuk menjerit meminta tolong kerana berasa malu jika berbuat demikian.

Selesai membuat rawatan Zaliza kembali ke pusat rundingan dan menceritakan segala-galanya, tetapi pakar perunding bagaikan tidak mengendahkan masalah Zaliza, sebaliknya mencadangkan mencuba rawatan jenis lain yang harganya mencecah ribuan ringgit.

Lebih mengejutkan Zaliza apabila perunding itu menyatakan tubuh Zaliza `terlalu teruk’ dan jika tidak dirawat segera, dia akan menjadi ‘semakin buruk dan gemuk’.

“Perunding cenderung memaksa `mangsa’ menyertai rawatan pelangsingan badan dan `dikurung’ dalam bilik rundingan selama beberapa jam. Perunding sedaya upaya memujuk supaya kita ikuti juga program diadakan. Bermula dengan harga puluhan ribu, kita akan diperangkap dengan ‘penurunan harga’ antara RM2,000 dan RM3,000.

“Antara pilihan atau sekadar melepaskan diri daripada perangkap pengurus dan pakar perunding, mangsa terpaksa bersetuju untuk menyertai rawatan pelangsingan badan. Pusat pelangsingan badan lebih suka memburu mangsa yang mempunyai kad kredit,” katanya.

Seorang mangsa baru-baru ini, berjaya mendapatkan semula wangnya melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Beliau menuntut semua kos rawatan daripada syarikat pelangsingan badan yang menjanjikan penurunan berat badan antara 10 kilogram (kg) hingga 15 kg dalam tempoh empat bulan dengan 84 sesi rawatan, selepas gagal untuk melangsingkan badan.

Hasil perbincangan itu, pihak syarikat pelangsingan bersetuju membayar semula kepada wanita berkenaan, kos keseluruhan rawatan serta pembelian produk minuman yang semuanya berjumlah RM4,060.

Dalam tuntutannya, wanita itu berkata, dia hanya ingin mengurangkan 10 kg berat dan mengempiskan perut serta mengecilkan lengan, namun itu tidak dapat dipenuhi oleh rawatan di syarikat pelangsingan badan berkenaan.

Beliau mengikut jadual rawatan tanpa gagal di bawah seliaan seorang pakar terapi, tetapi hasilnya selepas melakukan 80 sesi rawatan, berat badannya tidak berubah malah meningkat lagi sekitar 100 gram (g) kepada 71.6 kg.

Malah, pada sesi kesembilan, dia diminta pula membeli produk tambahan bagi mempercepatkan kadar penurunan badan walaupun pada awalnya diberitahu beliau tidak perlu menambah apa-apa bayaran lain bagi mendapatkan keputusan yang dijanjikan.

Malangnya produk berbentuk minuman disyorkan pusat berkenaan, meningkatkan selera makannya. Dia memutuskan untuk menghentikan rawatan yang berbaki tiga sesi atas nasihat doktor selepas mengalami tekanan darah tinggi, yang diyakininya kesan daripada rawatan yang diikutinya itu, selain tidak diberikan sebarang nasihat berkaitan diet pemakanan sepanjang menerima rawatan pelangsingan yang dijanjikan syarikat berkenaan.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa pengguna supaya bijak membuat pertimbangan supaya tidak terjerat dengan janji pusat pelangsingan badan.

Berdasarkan laporan media, banyak kes membabitkan pusat pelangsingan badan yang dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), memihak kepada pengguna. Ada juga kes membabitkan pengguna yang ingin membatalkan kontrak mengikuti program di pusat pelangsingan.

Berdasarkan Akta Perlindungan Pengguna 1999, pengguna yang mengikuti program membabitkan kontrak perkhidmatan hadapan (termasuk program untuk menurunkan berat badan), boleh membatalkan kontrak dengan membuat notis pembatalan secara bertulis.

“Jika selepas mengikut beberapa sesi rawatan tetapi tiada hasil dicapai, pengguna boleh meminta supaya kontrak dibatalkan. Biasanya, dalam pendengaran di Tribunal, jika kes berkenaan tidak diselesaikan di luar kamar, Presiden akan mengarahkan pusat pelangsingan membayar baki bayaran bagi sesi yang belum diikuti,” katanya.

Sepanjang 2009, sebanyak 2,347 kes difailkan membabitkan perkhidmatan kontrak hadapan (termasuk kes berkaitan pusat pelangsingan badan) manakala 2008, kes khusus berhubung pusat pelangsingan badan yang dilaporkan adalah sebanyak 971 kes.

Katanya, promosi dan iklan melalui media massa yang agresif, termasuk testimonial yang didakwa dibuat oleh pelanggan terdahulu yang mengikuti sesi rawatan di pusat pelangsingan badan itu selalunya dapat mempengaruhi pengguna.

Jika ingin membuatkan tuntutan, bukti perlu dibawa ke TTPM, seperti perjanjian kontrak, brosur atau risalah berhubung dakwaan pusat pelangsingan boleh menguruskan badan pada tempoh tertentu, atau apa juga bukti lain yang boleh menyokong tuntutan pengguna itu.

Pengguna juga boleh mendapatkan khidmat Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional dengan menghubungi talian 03-78779000 atau melayari laman web www.nccc.org.my

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...