terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 26, 2011

Kaji semula perjanjian merugikan duit rakyat dengan IPP !!


SAYA merujuk kepada rencana yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 24 Januari 2011, bertajuk Bila isu IPP hendak diselesaikan?

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bersetuju dengan pandangan penulis bahawa kerajaan perlu mengkaji semula perjanjian dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP).

Kerajaan sewajarnya meneliti semula perjanjian konsesi IPP kerana ia bersifat 'berat sebelah'. Akibat daripada perjanjian berat sebelah ini, akhirnya pengguna yang perlu menanggung bebannya.

Dalam keadaan harga gas, diesel dan arang batu yang tidak stabil di peringkat antarabangsa, ini menyebabkan kos penjana tenaga kian meningkat. Namun begitu berdasarkan perjanjian konsesi tersebut, sebarang peningkatan harga ini akan ditanggung oleh pengguna melalui formula pass-through.

Kerajaan juga sedang dalam pertimbangan untuk menyemak semula tarif elektrik kepada pengguna domestik dan industri memandangkan peningkatan kos operasi yang ditanggung oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Walau bagaimanapun jika dilihat daripada peningkatan kos tersebut, sebahagian besar daripada kos itu adalah kos pembelian tenaga elektrik IPP.

Pada tahun 2008, TNB membayar lebih RM9 bilion kepada IPP, yang bersamaan dengan 45 peratus keseluruhan kos operasi TNB.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataannya kepada Dewan Rakyat, menyatakan bahawa pada tahun 2009, IPP menjana sebanyak 67 peratus daripada keperluan elektrik, manakala TNB pula menjana sebanyak 33 peratus.

Beliau juga mengakui bahawa jumlah rizab tenaga adalah berlebihan iaitu sebanyak 53.2 peratus berbanding dengan tahap piawaian antarabangsa sebanyak 25 peratus.

Ini bermakna TNB telah membayar 53.2 peratus jumlah tenaga elektrik yang hanya untuk disimpan bagi menghadapi sebarang gangguan penjanaan elektrik.

Dalam masa yang sama, Petronas pula memberikan subsidi gas kepada IPP dan TNB untuk menjana tenaga elektrik.

Subsidi ini dalam bentuk pengurangan harga gas berbanding dengan harga gas semasa. Petronas dikatakan telah memberikan subsidi gas sebanyak RM19 bilion pada tahun 2010 kepada IPP dan TNB.

Jika dilihat daripada senario ini menunjukkan negara sebenarnya tidak memerlukan IPP untuk menjana elektrik dan menjualnya kepada TNB.

Ini berdasarkan jumlah perbelanjaan yang tinggi terpaksa ditanggung oleh kerajaan, sama ada kos pembelian tenaga elektrik oleh TNB atau subsidi gas Petronas kepada IPP.

Sepatutnya kos pembelian tenaga itu digunakan oleh TNB membina stesen penjana elektrik yang baru bagi menampung keperluan elektrik negara.

Begitu juga subsidi Petronas yang diberikan kepada TNB bagi membantu TNB mengurangkan kos penjanaan elektrik. Pada masa yang sama TNB harus terus menerokai sumber tenaga yang boleh diperbaharui untuk menjana sumber tenaga elektrik.

Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TNB mempunyai tanggungjawab sosial bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan elektrik.

Namun keadaan ini tidak berlaku kepada IPP yang hanya mementingkan keuntungan syarikat dan pemegang saham mereka sahaja. Malah beberapa syarikat IPP ini telah dijadikan syarikat persendirian untuk memastikan mereka tidak perlu mendedahkan laporan penyata kewangan tahunan mereka kepada Bursa Malaysia.

Kerajaan perlu melihat semula cadangan untuk mengenakan cukai untung berlebihan sebagaimana yang dibangkitkan sedikit masa dahulu agar kadar keuntungan berlebihan IPP ini dapat dinikmati oleh rakyat dalam bentuk pembangunan prasarana bekalan elektrik.

MARIMUTHU NADASON

Presiden FOMCA

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...