terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, January 5, 2011

Keputusan peperiksaan sekolah kurang cemerlang wajar diumum


SAYA berasa bangga setiap kali diumumkan keputusan peperiksaan, sama ada UPSR, PMR, SPM atau STPM oleh Kementerian Pelajaran dengan jumlah pelajar yang mendapat skor A.

Namun, jarang diumumkan secara telus pelajar yang memperoleh gred B, C, D, E, F atau 3,4,5,6,7,8 dan 9 dalam subjek peperiksaan terbabit.
Ia akan lebih menarik lagi, jika sekolah dari kawasan mana yang memperoleh keputusan kurang memberangsangkan turut disiarkan. Tindakan sedemikian tidak akan sama sekali menjatuhkan kredibiliti Kementerian Pelajaran, malah menguatkan iltizam untuk memperkasakannya.
Barangkali ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan ini. Kerana sudah menjadi tradisi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang diberi pujian dan sanjungan. Justeru mereka yang mencapai tahap sederhana, rendah dan corot dalam peperiksaan tidak perlu dan malu kononnya jika dihebahkan untuk pengetahuan umum.

Sedangkan keputusan peperiksaan kumpulan ini wajib diketahui dan menjadi fokus utama untuk dibantu semua pihak termasuk ibu bapa, guru, PIBG dan seluruh masyarakat. Mereka adalah modal insan yang amat berguna untuk menjana dan menjamin kemajuan masa depan Malaysia.

Sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran mengubah pendekatan dan turut mengumumkan sama pelajar yang memperoleh pencapaian yang kurang memberangsangkan. Ia adalah cerita benar dan harus dikongsi bersama oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Bedah siasat atau persidangan meja bulat elok dijalankan untuk mengenal pasti punca masalah dan mengambil tindakan proaktif meningkatkan skor subjek dan pencapaian peperiksaan secara keseluruhannya.
Dalam konteks ini, Kementerian Pelajaran tidak wajar dibebankan seratus peratus kerana kelemahan itu. Semua pihak wajib tampil membantu atas kapasiti masing-masing meningkatkan prestasi peperiksaan itu demi masa depan anak bangsa.

Tindakan ini difikirkan wajar kerana kerajaan sudah mencurahkan perbelanjaan amat besar dalam bajetnya setiap tahun dan rakyat ingin melihat pencapaiannya yang dikemudi oleh lebih 400,000 pegawai pelajaran dan guru di seluruh negara.

MAS,
Ampang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...