terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 8, 2011

Kes kantoi merendek !!! Mak bapak manjakan sangat anak2..


USAI menduduki kertas peperiksaan akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tengah hari itu, Salleh bersorak girang. Banyak sebab hatinya gembira riang. Pertama, tidak lagi digelar budak sekolah yang perlu bangun pagi menadah telinga, mendengar nasihat berguna guru, yang sering dianggap sebagai bebelan.

Bagi Salleh, semua itu tidak mencabar hidupnya yang ingin terbang bebas menerjah angkasa raya, sedangkan dia sebenarnya tidak sedar, otak kosong dan malas dalam segala perkara, hanya akan jadi bala yang menghimpit dirinya kelak.
“Kalau mak ada ni bolehlah minta duit dengan mak, kalau mak sudah tiada esok, macam mana? Kamu tak ada cita-cita ke Salleh?” ujar ibunya. Sudah berbuih mulut ibu Salleh menasihatinya untuk belajar bersungguh-sungguh, tetapi Salleh selalu saja tidak mengendahkan. Mungkin Salleh memikirkan ibunya boleh hidup sehingga 1,000 tahun lagi dan selama-lamanya menjadi ‘bank’ kepadanya.
Sejak dihadiahkan telefon canggih, Salleh diharap boleh menghubungi ibu dan bapanya selalu, tetapi Salleh hanya berbuat demikian sekali dua, lebih daripada itu berhubung dengan kekasih hatinya, Aleza, biarpun jarak rumah mereka tak jauh mana.

Dalam diam, Salleh cukup kagum dengan ibu bapanya itu yang selalu marah terhadap sikap malas belajarnya itu tetapi tidak pernah menyatakan ‘TIDAK’ kepada permintaannya, termasuk memiliki telefon canggih dilengkapi aplikasi internet, termasuk membolehkannya membuang masa di laman sosial, yang selalunya tidak mendatangkan faedah kepada dirinya itu, melainkan keseronokan.

“Mak ayah aku sporting, apa saja aku nak dia orang bagi. Lagipun harta ayah aku banyak. Wasiat datuk aku dulu, tak usah cakaplah, banyak,” Salleh selalu menjaja cerita dirinya berharta, menjadikan dirinya cukup terkenal di kalangan rakan, yang selalunya minta belanja, sedangkan dia tidaklah semewah itu.

Salleh sememangnya bijak berlakon baik di depan ibu bapa hingga keburukannya di luar rumah tidak terhidu. Tetapi malam itu dia tersilap langkah. Habis saja peperiksaan akhir, dia terus mengajak kekasih hatinya ronda Pantai Sepetang di Pantai Timur.
Perancangan mereka berdua-duaan jauh daripada keluarga itu berjalan lancar. Tiada orang dikenali menjadikan mereka cukup senang dan bahagia. Sesekali diselangi dengan gelak ketawa seolah-olah membayangkan betapa bahagianya pasangan sejoli itu.

Selepas menjamah hidangan, Salleh mencadangkan supaya mereka ke tempat lain yang kononnya lebih privasi. Katanya, ada hadiah istimewa untuk Aleza yang ingin diberikan sebagai tanda kebebasan bergelar pelajar sekolah.

Aleza sejak awal hanya mengikut. Lebih-lebih lagi berasa yakin dengan jejaka sebayanya itulah yang bakal menjadi suaminya kelak. Dia amat yakin biar pun Saleh dikenali satu sekolah sebagai lelaki kasanova, tetapi pada fikiran Aleza, dirinya istimewa kerana Salleh mahu membawanya membonceng motosikal hingga ke Kuantan semata-mata bersamanya.

Tersenyum Aleza sendiri memikirkan pesanan ringkas diterimanya kelmarin mengenai janji Salleh membawanya ke situ. Dalam hatinya bukan main suka kepalang.

Puas berpimpin tangan bermain ombak, Salleh mengajaknya untuk ke duduk di tepi batu, menyaksikan remang senja di kaki langit. Salleh berjaya meyakinkan Aleza bahawa tiada apa-apa akan berlaku antara mereka jika berada di kawasan sunyi sebegitu.

Aleza hanya menurut, lagipun menerusi perbualan telefon dan teks pesanan ringkas (SMS), Salleh selalu mengingatkan hal dosa dan pahala.

Lama mereka berada di situ. Jam menunjukkan ke angka 10 malam. Aleza selesa dalam rangkulan Salleh. Rupa-rupanya itulah hadiah ingin diberi Salleh, membelai manja gadis berkulit kuning langsat itu dan perbualan semakin menjadi luar biasa, seiring kedinginan malam.

Sepoi angin bertiup menambah suasana romantis dan itulah juga impian diharapkan Salleh dalam usaha mengumpan Aleza membuang rasa malu. Salleh kemudian mengajak Aleza untuk duduk di bahagian atas berbatu besar.

Ruang kecil umpama gua kecil itu, kotor dan berbau hancing, tetapi tidak sedikit mematahkan selera mereka berdua untuk terus memadu kasih. Sesekali Salleh membelai rambut kerinting Aleza.

Belum pun sampai ke agenda seterusnya, tiba-tiba ucapan salam, lelaki berkopiah putih bersama sekumpulan lelaki, terus mematikan hajatnya. Aleza dihambat rasa terkejut dan takut kerana sudah dapat mengagak mereka ditangkap khalwat.

Malang bagi mereka berdua, malam bahagia itu bertukar malam yang malang kerana dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam selepas mereka dikatakan berdua-duaan di tempat sunyi dan ada tanda memulakan perbuatan sumbang. Ia terlihat jelas menerusi zip bahagian depan baju Aleza yang nyata terdedah.

Salleh yang sepatutnya menyelamatkan kekasihnya bertindak nekad melarikan diri. Dia terjun dari tempat mereka duduk itu ke bawah. Fikirnya bahagian bawah dipenuhi air ketika air pasang, membolehkan dia berenang menyelamatkan diri, rupa-rupa bertukar ancaman kerana ketika itu air surut.

Apa lagi, jatuhlah Salleh ke atas hamparan tunggul paya bakau dan batu-batu tajam menyakitkan. Dia mengerang menahan kesakitan dan darah mengalir di kakinya, tetapi langsung tidak menimbulkan rasa simpati kumpulan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam itu, sebaliknya disambut kata sindiran daripada Aleza kerana cuba meninggalkan dia bersendirian di situ.

Dalam takut tetapi berharap dibantu, Salleh menghubungi ibu bapanya. Seperti dijangka dia menerima maki hamun. Salleh yang sakit, bertambah sakit hatinya apabila ibu bapanya enggan bertemunya pada malam itu sebagai balasan terhadap dirinya berbuat salah dan berbohong.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...