terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 4, 2011

Malaysia syurga idaman orang seberang..


Rakyat leka dengan kemakmuran sehingga biarkan warga asing kaut kekayaan

SEMENTARA menunggu isteri dan anak perempuan membeli-belah, penulis duduk di bangku memerhati gelagat pelbagai manusia yang memenuhi Pasar Baru, Bandung. Tidak kurang warga Malaysia berbelanja besar di pasar tujuh tingkat yang terkenal itu. Seorang penjaja minuman dalam bekas beroda yang diheret mempelawa penulis membeli minumannya. Kebetulan anak penulis, Iqmal dahaga dan membelikannya minuman tin Rupiah 10,000 (RM3.40).
Pemuda itu mengatakan tidak ada Rupiah 10,000 untuk baki Rupiah 20,000 yang penulis berikan. Lalu penulis menawarkan minuman kepada gadis penjaga kedai pakaian berhampiran. Gadis itu hanya tersenyum tanda beliau menerima tawaran itu.
Pemuda itu mengucapkan terima kasih kerana sudi membeli jualannya dan duduk di bangku bersebelahan melepaskan penat. Penulis dan keluarga bercuti di Bandung dari 21 hingga 25 Disember lalu.

Pemuda yang ramah itu begitu teruja apabila mengetahui penulis dari Malaysia dan bermulalah perbualan antara kami. Beliau menyebut namanya Dudy, orang Sunda berumur 24 tahun dan gadis yang penulis belikan minuman itu namanya Suriaty, orang Jawa berusia 18 tahun, tunangannya.

Dudy memaklumkan berkahwin pada tahun ini. Sekarang mereka bekerja keras mengumpul wang sebagai perbelanjaan perkahwinan nanti. Suriaty berasal dari Jawa Timur, merantau ke Bandung pada 2009, bekerja dan tinggal dengan ibu Dudy yang berniaga kecil-kecilan menjual makanan. Selepas ibunya tidak lagi berniaga, Suriaty bekerja sebagai pembantu kedai pakaian di Pasar Baru. Dudy pula sudah tiga tahun menjadi penjaja minuman di Pasar Baru itu yang turut menempatkan kira-kira 100 penjaja minuman sepertinya. Justeru persaingan sangat sengit.

Dudy bertanya mengenai Malaysia yang tidak pernah dikunjunginya. Hanya melihat gambar dan mendengar cerita indah daripada beberapa teman yang bekerja di Malaysia yang digambarkan orang Indonesia sebagai syurga. Tempat subur dan makmur. Banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan atau perladangan. Tempat mengumpul kekayaan untuk dibawa pulang. Negara yang mampu mengubah nasib.
Sebuah negara maju yang aman, tenteram dan selesa untuk didiami. Rakyatnya yang pemurah dan ramah. Wang yang dibawa pulang dari Malaysia digunakan oleh teman Dudy untuk membina rumah baru, membiayai persekolahan adik, membeli tanah sawah atau memulakan perniagaan di Indonesia.

Ibu bapa sudah tidak perlu bekerja kerana anak yang bekerja di Malaysia mengirim banyak wang setiap bulan sehingga mampu membeli motosikal. Teman Dudy yang sesekali pulang ke Bandung sudah berubah penampilannya yang kelihatannya seperti orang berada. Pakaiannya mahal dan mewah.

Begitu juga bagi Suriaty. Temannya yang bekerja di Malaysia sama ada sebagai pembantu rumah, pembantu restoran atau pekerja kilang adalah lambang kemakmuran. Keluarga yang mempunyai anak bekerja di Malaysia menjadi kebanggaan walaupun anak itu jarang pulang ke kampung halaman. Paling penting setiap bulan, ibu bapa menerima kiriman wang.

Disebabkan kemakmuran itu jugalah menyebabkan ramai wanita berkahwin dan mempunyai anak kecil pun sanggup merantau ke Malaysia untuk bekerja walaupun tidak pulang bertahun-tahun. Kebiasaannya anak kecil itu dijaga suami atau datuk dan nenek mereka. Namun, daripada pengalaman dan pengetahuan penulis, tidak kurang wanita yang mengaku sudah bercerai walaupun masih ada suami.

Ketika penulis dan keluarga dibawa teman, Pak Dede ke Pusat Peranginan Air Panas Ciater dua hari sebelumnya, penulis didekati penjual ais krim bernama Agoes. Beliau memaklumkan pada pertengahan bulan depan, akan ke Kuala Lumpur untuk menjadi pemandu seorang bergelar Datuk.

Tawaran gaji Rupiah 2.5 juta berserta kemudahan yang dijanjikan majikannya, Agoes tak harus lepaskan peluang untuk mengubah nasib keluarga. Begitulah ironisnya. Bagi orang asing, Malaysia adalah ‘syurga’ yang memiliki segala-galanya. Namun, masih ramai rakyat Malaysia yang mengatakan sukar memperoleh pekerjaan menyebabkan pengangguran masih tinggi.

Sedangkan bagi Dudy dan Suriaty yang boleh dianggap mewakili anak muda Indonesia, berhijrah ke Malaysia adalah impiannya. Dudy ingin memperoleh pekerjaan apa saja asalkan halal untuk menanggung ibu dan adiknya.

Demikian juga Suriaty, seandainya memperoleh pendapatan sebulan Rupiah 1.5 juta sebagai pembantu rumah, sudah amat disyukuri walaupun kisah penderaan ke atas Nirmala masih menjadi igauan kepada masyarakat Indonesia.

Oleh Abd Razak Hussin



Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM



No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...