terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 10, 2011

Merempat sebab rumah mahal???


BENARKAH harga hartanah semasa di negara ini mencerminkan nilai sebenar. Apa yang pasti, tanda harga yang diletakkan sungguh luar biasa sekali.

Malangnya di sebalik apa yang berlaku itu, tiada apa- apa tindakan jitu diambil. Tidak menghairankan jika kegagalan berbuat demikian, bakal menyaksikan ramai rakyat Malaysia merempat.

Malah, tragedi jalan raya yang berlaku di Cameron Highland baru-baru ini lebih beruntung apabila pihak berkuasa menunjukkan kesungguhan dengan menubuhkan badan siasatan bebas untuk menyiasat puncanya dan mengkaji masalah yang dihadapi industri.

Tidakkah baik jika kerajaan turut menubuhkan badan seumpama itu untuk merungkai dan menyelesaikan kemelut peningkatan nilai hartanah khasnya rumah yang sangat membebankan rakyat ketika ini.

Masalah peningkatan melampau nilai hartanah di negara ini khasnya rumah kediaman bukan baharu tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, ia menunjukkan peningkatan luar biasa dengan merekodkan lonjakan nilai lebih 30 peratus tahun ini.

Setiap penyakit ada ubatnya begitu juga dengan isu hartanah. Kita tidak boleh menutup mata dengan memberikan alasan tidak bertindak kerana perkara itu berkaitan perniagaan dan tertakluk kepada permintaan dan penawaran.

Pokok utama kepada permasalah ini adalah undang-undang pemilikan hartanah negara yang terlalu longgar dan mudah dimanipulasikan oleh pihak tertentu bagi mengaut keuntungan berganda.

Patutkah kita menunggu berjuta-juta warganegara hidup merempat sebelum mengambil tindakan manakala orang luar lain memiliki dan menguasai rumah kediaman yang ada.

Memang betul kehadiran pelabur atau lebih tepat pembeli asing memberikan impak positif kepada ekonomi negara tetapi ia tidak harus mempertaruhkan nasib rakyat negara sendiri.

Sememangnya rakyat tidak akan mampu menandingi kuasa beli asing dan permintaan yang tinggi dari golongan berkenaan menyebabkan pemaju hartanah swasta berani membeli pada harga yang tinggi.

Pada masa yang sama, kajian Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI) yang mendedahkan pembinaan rumah mewah nampaknya semakin tidak terkawal. Antara hasil kajian itu adalah mengenai purata harga rumah di Pulau Pinang dan Lembah Klang yang sudah mencecah antara RM300,000 hingga RM500,000 pada 2009. Jumlah ini jauh berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding purata pendapatan isi rumah.

Jika data dan statistik ini mahu dijadikan ukuran, bayangkan berapa harga rumah dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang? Ketika itu berapa ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu atau bersedia memiliki rumah pada kadar yang bersesuaian dengan pendapatan mereka.

Maka, rumah-rumah yang dibina oleh pemaju hartanah swasta sebenarnya untuk siapa? Rakyat atau pun orang asing?

Penyediaan rumah mampu milik tidak harus disandarkan kepada kerajaan semata-mata tetapi juga pemaju perumahan sebagai salah satu tanggungjawab sosial.

Pada masa ini, pihak berkuasa tempatan telah menyediakan kuota 30 peratus untuk dibangunkan oleh syarikat swasta, malangnya ia tidak dipeduli.

Pemaju hartanah swasta tidak boleh disalahkan mentah-mentah berkenaan isu ini kerana setiap projek yang mereka laksanakan telah mendapat kelulusan daripada PBT. Persoalannya, bagaimana PBT boleh meluluskan projek tersebut jika tidak mengikut undang-undang?

Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah boleh mengintai-intai proses pengeluaran lesen yang dibuat oleh PBT kerana keraguan yang ditimbulkan sudah boleh dilihat dengan mata kasar.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, Mani Usilappan berkata, selain tarikan daripada pelabur asing, kadar faedah yang terlalu rendah ditawarkan oleh pihak bank untuk pinjaman perumahan juga menjadi punca masalah ini berlarutan.

Katanya, faedah yang rendah menggalakkan aktiviti pembelian rumah baharu dan ini menyebabkan nilai hartanah melambung tinggi.

Bagi pelabur asing pula, mereka lebih gemar membeli rumah kondominium berbanding rumah bertanah khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur kerana kelebihan infrastruktur yang ditawarkan, katanya lagi.

Menurut laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (NAPIC), Kementerian Kewangan, sebanyak RM8.94 bilion pindah milik aset hartanah direkodkan di Kuala Lumpur pada separuh pertama tahun ini dan 78 peratus adalah melibatkan sektor perumahan.

Daripada jumlah sektor perumahan tersebut, 49.2 peratus melibatkan kondominium yang bernilai sekitar RM250,000 hingga RM500,000.

Laporan itu turut menunjukkan sebanyak 2,214 unit aset hartanah dibina di Kuala Lumpur pada tempoh yang sama, dengan 54.8 peratus adalah kondominium. Ini jelas menunjukkan permintaan tinggi terhadap rumah kondominium di Kuala Lumpur dan ini menggalakkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah kondominium mewah berbanding rumah mampu milik untuk rakyat.

Selain itu laporan NAPIC turut mendedahkan, rumah kediaman bertanah di Kuala Lumpur turut meningkat pada separuh pertama tahun ini dengan Taman Segar, Cheras mencatat peningkatan sebanyak 23.5 peratus manakala rumah di Taman Tun Dr. Ismail meningkat lebih 14.8 peratus sehingga mencapai RM715,000 bagi sebuah rumah teres dua tingkat.

Peningkatan nilai hartanah dijangka terus meningkat saban tahun jika tiada sebarang kawalan drastik dilakukan bagi melindungi sebahagian besar rakyat tempatan yang terus kempunan memiliki rumah di kawasan bandar.

PEPS sebelum ini menjelaskan nisbah pemilikan rumah antara rakyat tempatan dan asing pada tahun ini adalah 70:30 dan dijangka terus meningkat tahun hadapan.

Perkara ini perlu ditangani segera sebelum menjadi parah. Janganlah tunggu sehingga semua aset di bandar- bandar besar negara dimiliki oleh orang asing barulah hendak duduk berbincang mencari jalan mengatasinya.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya, begitu juga dengan isu nilai hartanah ini dan ia bukanlah terlalu sukar untuk diselesaikan jika kerajaan bersungguh-sungguh untuk mengubahnya.

Oleh Fairus Kassim

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...