terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 24, 2011

Muslihat pemaju rumah di P.Pinang !!


SAYA merupakan seorang anak jati Pulau Pinang dan amat terkilan kerana masyarakat bumiputera yang berkemampuan untuk membeli rumah teres di Pulau Pinang cuba ditipu oleh pemaju perumahan swasta yang tidak bertanggunjawab.

Pada bulan Ogos tahun lepas saya mendapat tahu ada sebuah projek perumahan baru yang sedang dalam pembinaan di Minden Heights dan saya telah cuba mendapatkan maklumat pemaju dari laman sesawang dan terus bergegas berjumpa dengan pemaju untuk menilai harga yang ditawarkan kepada lot-lot bumiputera bagi projek ini.

Syarikat ini sedang memajukan projek rumah teres sebanyak 73 unit di Minden Heights. Hasil pertemuan saya dengan kerani syarikat tersebut pada bulan Ogos 2010, beliau menyatakan terdapat tiga unit bumiputera yang masih belum dijual dan harga unit yang saya berminat dijual pada harga RM796,888 dan harga ini adalah melebihi harga permulaan RM788,888 yang ditawarkan pada permulaan pengiklanan projek ini.

Memandangkan saya ketika itu dalam proses menguruskan pinjaman perumahan kerajaan bersama isteri dan pada masa sama merancang untuk menjual sebuah rumah flat saya di Bayan Lepas, saya telah menghubungi pemaju semula pada 11/10/2010 dan alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu unit sama yang tidak terjual tersebut dinaikkan harga sehingga ke RM828,888.

Ini ternyata dilakukan oleh syarikat pemaju ini untuk mengaut keuntungan yang lebih besar dan seterusnya menidakkan kaum bumiputera untuk membeli rumah tersebut.

Keadaan ini telah lama berlaku di kalangan pemaju-pemaju perumahan di Pulau Pinang dan walaupun perkara ini dibawa kepada pengetahuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, namun alasan yang diberikan ialah harga yang ditawarkan itu adalah lebih rendah daripada harga siling Jabatan Perumahan Negara.

Saya memohon agar pihak kerajaan menyiasat perkara ini. Setahu saya, pihak pemaju tidak boleh menaikkan harga rumah dalam pembinaan sewenang-wenangnya dan semua lot bumiputera haruslah diiklankan terlebih dahulu tetapi hampir kesemua pemaju perumahan di Pulau Pinang tidak berbuat demikian.

Pada masa yang sama pemaju hanya memikirkan keuntungan dengan menjual projek-projek berkenaan kepada warga asing. Saya juga telah menghubungi kembali pemaju berkenaan beberapa kali dan mereka memberi alasan bahawa pengarah syarikat tiada untuk membuat keputusan bagi menjual unit bumiputera tersebut. Saya hairan kenapa setiap kali saya menghubungi mereka, alasan yang sama diberikan.

Ini menunjukkan mereka ingin menarik harga unit tersebut dan seterusnya mengaut keuntungan dengan menidakkan pembelian di kalangan masyarakat bumiputera.

Golongan bumiputera di Pulau Pinang sudah lama mengalami kemelut perumahan dan terus dipinggirkan terutamanya di bawah pentadbiran kerajaan pembangkang dan saya berharap agar satu penyelesaian segera dapat dilakukan oleh agensi yang berkenaan.

ANAK JATI

Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...