terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 17, 2011

Rumah Flat Cecah RM 200k: Kerajaan perlu rangka sistem penjualan semula flet kos rendah..


MEMILIKI rumah sendiri lagi selesa adalah idaman setiap orang. Namun, harga rumah yang terus melonjak berbanding kemampuan kewangan menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa terus menyewa atau kekal tinggal dengan ibu bapa masing-masing. Harga rumah dijangka terus meningkat pada masa depan terutama di bandar raya yang pesat membangun seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Dalam separuh pertama 2009 dan separuh pertama tahun lalu, transaksi kediaman di kawasan terbabit masing-masing meningkat 11 peratus, 47 peratus dan 7.0 peratus.

Corak itu dijangka berterusan tahun ini dengan jangkaan ekonomi negara terus bertambah baik. Harga hartanah di negara ini mula meningkat sejak beberapa tahun lalu kerana kos tanah, bahan binaan dan ekonomi yang cergas berikutan inisiatif dan langkah diambil kerajaan. Berdasarkan Indeks Perumahan, harga rumah di negara ini meningkat kira-kira 37 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu, berbanding Singapura dan Hong Kong yang harganya naik lebih pantas sekitar 35 peratus tahun lalu.
Namun, perkara yang membimbangkan adalah peningkatan berterusan harga rumah terutama unit flet kos rendah. Laporan akhbar ini kelmarin, mendedahkan unjuran harga jualan semula seunit rumah flet kos rendah di bandar utama boleh mencecah RM200,000 di pasaran terbuka dalam tempoh sekurang-kurangnya empat tahun lagi. Anggaran kenaikan harga rumah jenis berkenaan mencecah 400 peratus berbanding hanya di bawah RM50,000 sekarang. Jangkaan harga tertinggi itu berasas, jika berdasarkan harga jualan semula dan nilai hartanah semasa.
Apa membimbangkan adalah kemampuan memiliki rumah oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana pada masa depan, apatah lagi untuk membeli dan tinggal di kawasan bandar. Dengan kos hidup yang tinggi di bandar tidak mungkin dengan pendapatan bawah RM3,000 golongan ini dapat memiliki rumah walaupun sebuah flet kos rendah. Selain itu, ia turut menyukarkan pembeli rumah pertama kali iaitu golongan muda yang baru bekerja dan belum mempunyai pendapatan stabil untuk memiliki rumah sendiri. Kita bimbang keadaan itu dimanipulasi pihak atau individu tertentu yang membeli rumah jenis berkenaan bukan untuk tinggal, tetapi bagi tujuan pelaburan seperti menjual semula dengan harga lebih tinggi atau menyewakannya untuk mendapat pendapatan sampingan.

Tindakan ini, sudah tentu menyukarkan golongan yang benar-benar mahu memiliki rumah sendiri. Justeru, kita amat berharap kerajaan dapat mencari mekanisme tertentu menghalang perbuatan spekulasi seumpamanya. Kerajaan perlu mewujudkan satu sistem kawalan bagi membolehkan hanya mereka yang layak membeli rumah jenis berkenaan pada harga munasabah dan mengikut lokasi.

Kita tentu tidak mahu wujud golongan kaya bertambah kaya dengan memilik banyak rumah serta hartanah dan pada masa sama golongan memerlukan tidak dapat memiliki walaupun sebuah rumah. Sehubungan itu, kerajaan sewajarnya menguatkuasa peraturan khusus bagi mencegah penjualan semula flet kos rendah bagi tujuan mengaut keuntungan melampau. Beberapa negara seperti Singapura sudah mengamalkan kaedah itu dengan hanya membenarkan pemilik rumah menjual kepada badan khas yang diwujudkan. Pemilik tidak boleh menjual rumah jenis berkenaan sewenang-sewenang kepada sesiapa saja yang menawarkan harga tinggi, sebaliknya harganya dikawal dengan memberi keutamaan kepada pembeli rumah pertama. - Bharian

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...