terima kasih buat kalian semua..

Saturday, January 15, 2011

Suami lesap tanpa berita..


“HIDUP saya selama ini hanya menumpang. Tak tahulah apakah kesudahannya,” katanya wanita pertengahan 20-an ini. Walaupun cuba menyimpulkan senyuman ketika berbicara, wanita ini yang dikenali sebagai Zamrina, ternyata gagal menyembunyikan perasaan sedih dialami apabila jari jemarinya dilihat menyeka perlahan-lahan air mata yang sudah mengalir.

Zamrina tidak pernah menyesali takdir kehidupan yang terpaksa dilaluinya. Katanya, beliau memahami kehidupan ini suatu perjalanan yang penuh ujian, kesakitan dan tidak kurang juga kegembiraan serta peluang terbaik untuk kita mencari keredaan Allah.
“Tetapi, saya juga berasakan, ada ketika manusia itu terkadang lemah tak berdaya, perlunya pembimbing dalam mengharungi badai dan dalam menyelami lautan manfaat di sebalik gelora serta ombak,” katanya berfalsafah mengenai kehidupan.
Penulis terdiam seketika mendengar kata-kata yang diluahkan Zamrina sambil cuba mentafsirkan apakah kemelut rumah tangga yang dihadapinya sehingga membawa ke babak ke mahkamah syariah.

“Hendak kata, tidak ada suami saya masih bergelar isteri orang kerana talak tidak pernah dilafazkan. Puas sudah saya menunggu tetapi bayang wajahnya tidak pernah muncul dan kini sudah hampir dua tahun saya begini,” kata Zamrina akhirnya meleraikan persoalan.

Zamrina berkata, rumah yang diduduki kini bukan rumah kelamin, sebaliknya adalah milik kakak suaminya, Zamrul yang sudah lama tidak pernah menjenguk diri memberikan nafkah zahir dan batin mahupun bertanyakan khabar mengenainya.
“Selain kakak ipar dan saya, rumah itu juga didiami oleh seorang lagi penyewa. Rumah bujang itu memang cukup selesa untuk saya tinggal tetapi apalah makna semua itu kalau lelaki yang dikahwini tidak datang dan duduk bersama,” kata Zamrina lagi.
Menyambung cerita, Zamrina menjelaskan, detik meriah majlis perkahwinan antaranya dan suami sehingga kini masih terpahat. Oleh kerana Zamrina, anak sulung dan pertama berkahwin dalam keluarga, majlis persandingan diadakan secara besar-besaran.

Selepas berkahwin, suami dan Zamrina tinggal bersama keluarganya kerana mereka masih tidak mampu menyewa rumah. Setahun lebih tinggal bersama keluarga, mereka mengambil keputusan berpindah apatah lagi rumah diduduki hanya dua bilik manakala ahli keluarga lain yang tinggal bersama agak ramai.

“Kami kemudian menyewa rumah tetapi setahun lebih selepas itu suami mencadangkan saya duduk bersama kakaknya kerana dia dipindahkan bertugas di daerah lain. Cara itu, lebih menjimatkan dan tidak perlu membayar banyak sewa rumah. Saya akur dengan keputusannya kerana gaji saya pun tidak seberapa. Untungnya, kami masih tidak dikurniakan anak,” katanya.

Zamrina berkata, tiga bulan pertama berlalu semua berjalan baik dan suami kerap juga bertanya khabar dan pernah dua kali balik menjenguknya di rumah kakaknya.

Namun, selepas bulan berganti bulan dan berganti tahun lain pula ceritanya. Kini sudah pun dua tahun, suaminya terus menyepi tanpa sebarang berita.

“Terasa macam orang bodoh menunggu buah yang tidak gugur. Oleh kerana suami tidak menyediakan rumah kelamin dan saya sudah penat menunggu, bersabar serta berusaha mencarinya, akhirnya saya keluar dari rumah kakak ipar. Saya keluar dari rumah itu kerana suami tinggalkan saya. Jadi, buat apa saya perlu menunggunya lagi,” ujarnya yang masih tidak dikurniakan anak.

Seiring dengan keputusan itu Zamrina juga membuat tuntutan cerai taklik di mahkamah syariah. Mendapat khabar daripada mentua bahawa suami pernah pulang ke rumah mereka, melalui peguam notis saman kes dihantar ke sana tetapi dipulangkan semula.

"Sepanjang ditinggalkan, saya menanggung diri dengan bekerja. Walaupun sudah lama dia tinggalkan, saya masih setia dan taat pada ikatan perkahwinan kami. Malangnya, suami tidak pernah datang menjenguk, apatah lagi memberi nafkah. Sudah dua tahun begini,” kata Zamrina.

Zamrina berkata, bagi menguatkan bukti di mahkamah syariah, dua saksi ditampilkan termasuk kakak ipar dan adik kandungnya serta turut menyatakan kesanggupannya bersumpah syarie bagi menguatkan lagi dakwaan.

“Segala-galanya sudah saya beritahu di mahkamah dan suami masih lesap begitu saja serta tidak mencabar tuntutan yang saya buat. Tetapi hakim belum lagi membuat keputusan. Insya Allah, bulan depan barulah saya dapat tahu keputusannya,” katanya.

Zamrina memberitahu, bukan perceraian diharapkan selama ini tetapi jika sudah terpaksa apa daya dirinya untuk menahan ia daripada berlaku.

Oleh Nor Affizar Ibrahim


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...