terima kasih buat kalian semua..

Sunday, January 9, 2011

Tahun saja baru, masalah masih lama ..


SENYUM kelat mengikuti perkembangan minggu pertama 2011. Senyum lantaran berkongsi bahagia dan gembira teman-teman. Tapi dalam senyum ada tangis disebabkan beberapa kisah sedih yang tercatat di minggu awal Tahun Baru. Oleh kerana 2011 masih terlalu panjang untuk dibiarkan tenggelam dalam kesedihan, maka bagi yang rasa hampir tersungkur, bangkitlah semula untuk lebih berjaya.

Paling banyak diperkatakan sepanjang minggu ini adalah misteri ‘kehilangan’ minyak masak yang merupakan barangan wajib di setiap dapur rakyat Malaysia. Minyak masak juga adalah barangan perlu bagi para peniaga makanan. Tanpa minyak masak, boleh saja dibayangkan peniaga pisang goreng, kuetiau kerang, nasi lemak (sambal, kacang, ikan bilis memerlukan minyak untuk digoreng), roti canai dan macam-macam lagi termenung dan merenung masa depan yang suram. Cumanya kita bersyukur kerana masalah kekurangan bekalan minyak masak tidak disusuli dengan ayat ini: Kurangkan minyak dalam masakan dan makanan seperti mana apabila isu gula diseludup: Pengambilan gula berlebihan punca penyakit kronik.

Malaysia pengeluar minyak sawit terbesar dunia justeru tentunya kegelisahan pengguna amat munasabah. Apatah lagi dalam keadaan menyambut tahun baru yang disesakkan lagi dengan harga barangan lain turut naik dalam senyap. Rata-rata peniaga makanan mengeluh. Barangan di luar kawalan harga, semuanya tidak terkawal. Mereka menjadi mangsa terutama peniaga makanan di pasar raya besar yang terikat dengan syarat dan peraturan selain tidak boleh menaikkan harga sesuka hati. Sebab itu apabila bekalan minyak masak sukar diperoleh, tentunya berita tersebut disambut dengan rasa sebu dan semput di kalangan peniaga dan juga suri rumah.

Mengeluh

Seorang pembaca yang aktif dalam industri pemakanan mengeluh: ‘‘Minyak masak dah kurang di kedai sekarang ini. Bagus juga ada penyangak dan penyeludup. Penyeludup minyak, gula, tepung, beras sekurang-kurangnya kita tahu kalau mereka mula seludup itu tanda harga barang naik, tidaklah sakit jantung sangat apabila kerajaan tiba-tiba buat pengumuman.’’

Seorang peniaga pula dengan nada melawak tapi serius berkata: ‘‘Sekarang ini kuetiau kerang yang pelanggan makan kami goreng guna minyak masak ‘first class’. Minyak masak kampit dan harga murah bukannya habis tapi pengeluar tak sempat nak bungkus. Dia orang sibuk bungkus minyak masak nak eksport.’’

Dia yang rajin membaca dan buat penyelidikan menyambung hujah: ‘‘Sekarang cuaca dunia tak menentu, banyak bencana alam, pencemaran sana-sini jadi tanaman kacang soya tak menjadi, minyak soya pun dah tak cukup, permintaan minyak sawit tinggi kat luar, mesti lebih banyak untung, jadilah ‘kera di hutan disusu, anak di pangkuan mati kehausan’.’’

Seorang pembaca berleter panjang di awal tahun baru. Selain membebel pasal harga barang dan isu minyak masak, dia juga kesal kerana walaupun tahun baru tetapi mutu perkhidmatan jabatan kerajaan masih di takuk lama. Dia yang menguruskan tuntutan geran rumah ibu mertuanya terpaksa berhadapan dengan masalah ini.

Pergi ke Pejabat Tanah Seremban untuk menyemak geran rumah, tetapi kakitangan yang bertugas menyuruh pergi ke Putrajaya. Dari Seremban ke Putrajaya, tiba di sana selepas semakan dibuat, diberitahu mereka tersilap hantar geran tersebut ke Kuantan, Pahang. Walaupun salah jabatan yang berkenaan, namun saya rakyat yang hina ini kena pergi buat laporan polis mengatakan geran tersebut hilang. Untuk membuat laporan polis semestinya saya mesti pulang ke Seremban semula. Selepas dapat report, saya pergi ke Putrajaya semula untuk menyerahkan report tersebut. Sebaik report diserahkan, muncul pula ayat ini: ‘‘Cik kena buat surat sumpah pula kata geran tanah ini hilang dan nak mohon yang baru.’’ Peliknya, semasa pertemuan pertama saya langsung tidak diberitahu tentang keperluan dikepilkan surah sumpah.

Dengan rasa berat, saya balik ke Seremban dan buat surat sumpah seperti mana yang disuruh kakitangan jabatan kerajaan itu kerana bagi saya mereka tentunya lebih tahu, lebih pandai dan dapat duit pencen hasil cukai pendapatan rakyat. Selepas itu pergi lagi ke Putrajaya mengadap orang di jabatan tanah dan serahkan semua dokumen yang diperlukan. Bagaikan disambar hala lintar sehingga menyembah ke bumi apabila saya diberitahu: ‘‘Cik, kalau nak geran baru, tak perlu datang ke sini, Cik boleh terus berurusan dengan Pejabat Tanah Daerah Seremban saja.’’

Noraini Abd. Razak

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...