terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, January 4, 2011

TBS: Hapuskah ulat tiket?


PEMBUKAAN rasmi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan pada 1 Januari lalu amat dinantikan oleh rakyat khususnya warga kota Lembah Klang.

Terminal yang disifatkan sebagai canggih dan struktur binaan menarik serta dilengkapi pelbagai kemudahan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Kemudahan yang akan dijadikan sebagai pengangkutan bas ekspres ke selatan itu akan memberi kepuasan kepada para penumpang.

Terminal itu menggantikan Hentian Pudu Raya yang sedang dinaik taraf dan dijadikan sebagai hentian bas bandar sahaja.

Namun sebelum dilakukan kerja naik taraf hentian itu, pelbagai ragam dapat dilihat sama ada penumpang mahu pun syarikat-syarikat bas ekspres yang beroperasi di situ.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah kegiatan ulat tiket yang dilihat mencemarkan pemandangan di hentian Pudu Raya.

Apabila dipindahkan ke hentian sementara di tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil, saya ingatkan ulat-ulat tiket terbabit tidak beroperasi sebaliknya mereka bergerak aktif seperti biasa.

Memanggil pelanggan supaya membeli tiket bas ekspres mereka; memujuk dan mengikut pelanggan untuk membeli tiket dan ada yang bersikap kurang ajar dengan memaksa pelanggan membelinya.

Saya sendiri pernah mengalami situasi itu apabila diekori seorang ulat tiket yang kurang sopan.

Saya menyatakan telah membeli tiket di kaunter tetapi tidak dihirau kan dan terus memujuk saya supaya membeli dengannya.

Akhirnya apabila saya tidak melayan kerenahnya, dia memarahi saya dan berlalu pergi mencari pelanggan lain.

Melihat kepada situasi itu, saya terfikir adakah salah saya tidak membeli dengannya sehingga dimaki oleh ulat tersebut.

Kerajaan telah menggalakkan penumpang bas ekspres supaya membeli tiket bas di kaunter yang disediakan tetapi kegiatan ulat tiket tersebut sedikit sebanyak mengganggu suasana persekitaran di situ.

Saya ingin mencadangkan supaya kegiatan ulat tiket tidak dibenarkan sama sekali di TBS kerana ia akan mencacatkan persekitaran kemudahan ini yang menelan belanja RM570 juta.

Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dalam membanteras kegiatan tersebut tetapi tindakan segelintir syarikat bas ekspres yang masih berdegil menempatkan ulat tiket di luar kaunter menimbulkan keadaan kurang selesa.

Sebagai satu kemudahan eksklusif dan menyamai taraf terminal lapangan terbang, kegiatan ulat tiket harus dibanteras.

Walaupun perkara itu nampak remeh tetapi ia perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib supaya masalah ini tidak dibiarkan berlarutan dan tidak memberi gambaran buruk kepada pelancong asing nanti.

Anti Ulat Tiket

Seri Kembangan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...