terima kasih buat kalian semua..

Thursday, January 27, 2011

Tunggu kereta auto untuk ujian memandu..


SEJAK kerajaan bercadang untuk memperkenalkan penggunaan kereta gear auto untuk ujian memandu pada Jun 2009 dan dibahaskan di Parlimen memberi khabar gembira terutama kepada golongan wanita dan orang tua mendapatkan lesen memandu.

Namun hingga kini masih tiada lagi tindakan yang dilakukan oleh pihak yang berkenaan. Mungkin ada pro dan kontra jika ia dilaksanakan. Jika difikirkan sekiranya kaedah ini dilaksanakan ia dapat membantu golongan wanita dan orang tua yang kurang mahir mengendalikan kereta manual untuk mendapatkan lesen.
Pengalaman saya yang terpaksa mengambil tiga kali ujian memandu memang hampir menyebabkan saya putus asa. Ada rakan yang sehingga lima kali mengambil ujian memandu baru lulus. Kebanyakan mereka bukan tidak boleh memandu tetapi hanya kerana gagal mengawal klac menyebabkan enjin mati sekali gus gagal ujian.
Cuba bayangkan RM100 hingga RM200 diperuntukkan untuk mengambil ujian dan jika lima kali mengambil ujian kos yang tinggi diperlukan dan itu belum lagi caj yang dikenakan untuk belajar. Bukankah ini satu bebanan hanya untuk mendapatkan sekeping lesen memandu.

Mungkin ramai yang menyatakan jika kaedah ini dilaksanakan ia akan mengurangkan keupayaan memandu. Tetapi pada saya ia bukan masalah besar. Cuba kita lihat di negara membangun yang melaksanakan kaedah ini seperti United Kingdom dan Jepun.

Apabila pemandu memilih untuk mengambil lesen, dia boleh memandu sama ada kereta manual atau auto dan jika pemandu memilih lesen kereta auto dia hanya boleh memandu kereta auto saja. Oleh itu, berilah hak kepada pemandu untuk membuat pilihan mengikut keupayaan dan kenderaan yang mereka miliki.

Jika seseorang itu memiliki kereta auto sedangkan diajar menggunakan kereta manual seolah-olah apa yang dipelajari tidak dipraktikkan.
Pada zaman yang serba moden ini, kita sendiri dapat melihat penggunaan kereta automatik ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Golongan wanita lebih cenderung menggunakan kereta automatik kerana ia lebih mudah dikendalikan terutama ketika kesesakan lalu lintas.

Saya sendiri pun lebih selesa menggunakan kereta auto terutama ketika naik bukit. Jika yang kurang mahir menggunakan kereta manual terutama naik bukit mungkin memberi masalah dan membahayakan pengguna lain.

Oleh itu, saya berharap agar kerajaan meluluskan kaedah ini dengan segera. Hampir dua tahun cadangan ini tidak diberi sebarang maklum balas dan biarlah tahun ini ia dilaksanakan. Adalah lebih baik jika seseorang itu mempunyai lesen memandu walaupun lesen memandu kereta automatik daripada memandu tanpa lesen.

ADRIANA,
Kuala Lumpur

2 comments:

  1. as salam..agak2 bila ek blh dguna pakai peraturan nih

    ReplyDelete
  2. cadangan anda dialu-alukan.

    Tini

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...