terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 31, 2011

Usaha mengurangkan beban rakyat..


PADA Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan tiada kenaikan kadar tol untuk Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 untuk tempoh lima tahun akan datang. Pengumuman ini melegakan pengguna kedua-dua lebuh raya berkenaan. Selain tidak menaikkan kadar tol, satu lagi laluan iaitu Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat akan ditamatkan konsesinya tujuh tahun lebih awal. Berikutan itu, kira-kira 39 juta pengguna lebuh raya tersebut akan mendapat manfaatnya.

Apakah maknanya semua ini? Bagi kebanyakan rakyat, ini merupakan satu usaha terbaru untuk mengurangkan beban rakyat. Apabila membicarakan beban rakyat, kita tidak boleh sesekali tidak menyentuh aspek ekonomi dan kuasa beli rakyat. Sebagai kerajaan yang menguar-uarkan gagasan mendahulukan rakyat, aspek ekonomi rakyat wajib diberi keutamaan teratas.

Kalau dibuat penyelidikan, nescaya rata-rata rakyat mengkehendaki keadaan yang lebih selesa dari segi ekonomi. Tidak tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Manakala, kuasa beli pula semakin kukuh. Secara automatiknya, rakyat akan berasa lebih gembira menjalani kehidupan.

Lebih banyak pengumuman bagi meningkatkan kuasa beli rakyat dengan cara mengurangkan beban rakyat, maka akan lebih kukuh keadaan ekonomi rakyat.

Justeru itu, pengumuman seperti ini seharusnya diperluaskan bukan sahaja kepada aspek tol semata-mata tetapi juga untuk aspek-aspek lain. Ramai yang tertunggu-tunggu apakah tindakan selanjutnya oleh kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat. Bukan setakat tiga lebuh raya yang telah diumumkan, rakyat terutamanya pengguna lebuh raya-lebuh raya lain seperti Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) juga mengharapkan khabar gembira.

Ini baru aspek pengangkutan. Banyak lagi aspek ekonomi rakyat yang wajib diberi keutamaan. Pertama, kos pendidikan semakin tinggi. Kerajaan melalui kementerian-kementerian berkenaan bolehlah mengambil inisiatif agar kos pendidikan berada dalam lingkungan kemampuan rakyat. Tidak terlalu membebankan rakyat. Ada pendapat menjangkakan kos pendidikan untuk seorang pelajar universiti pada masa akan datang dalam lingkungan RM100,000 ke atas.

Jumlah ini cukup besar bagi rakyat Malaysia yang majoritinya berpendapatan bawah RM3,000. Sekarang ini sahaja, persaingan untuk memasuki universiti amatlah sengit. Itu belum mengambil kira kos pendidikan di universiti yang bukan sahaja membebankan ibubapa tetapi juga pelajar itu sendiri.

Kedua, kos perubatan. Situasi pada masa sekarang tidak seperti dahulu. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan terbaik bagi memperoleh pendapatan lumayan boleh memberi implikasi negatif kepada rakyat. Jika dahulu, jarang kedengaran orang-orang muda ditahan di wad hospital dek kerana masalah kesihatan, kini perkara sebegini sudah menjadi normal.

Apabila dimasukkan ke wad atau mendapatkan khidmat doktor, mahu tidak mahu, ia memerlukan sejumlah wang yang banyak. Malahan terdapat kes yang mana disebabkan kos perubatan yang tinggi, pesakit tidak mampu membayarnya sehingga menanggung hutang yang jumlahnya bukan sedikit. Perlu difikirkan bagaimanakah caranya untuk mengurangkan kos perubatan ini.

Ketiga, kos makanan. Inilah yang sering diperkatakan oleh rakyat. Peningkatan harga barangan bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi melibatkan banyak negara di dunia. Maka, penulis melihat perkara ini mestilah diberi keutamaan kerana kos makanan merupakan antara kos yang paling utama dalam kehidupan seseorang. Disyorkan, kerajaan memperluaskan barangan kawalan kepada lebih banyak lagi barangan makanan.

Selain itu, pantau kesemua peniaga dengan lebih tegas lagi agar mereka lebih bertanggungjawab terhadap pengguna. Sepatutnya, kos makanan tidaklah meningkat begitu tinggi. Ini kerana pengukuhan ringgit mampu menyerap tekanan inflasi melalui harga import barangan yang lebih murah berbanding ketika ringgit lemah.

Keempat, kos perumahan. Bagi kebanyakan rakyat, kos perumahan merupakan penyumbang terbesar kos keseluruhan. Tetapi harga rumah sentiasa meningkat. Bagaimana mungkin, rakyat mampu memiliki sebuah rumah idaman yang selesa untuk keluarga jika kos membelinya menjangkau 40 peratus pendapatan mereka? Satu tindakan yang terbaik perlu dilaksanakan bagi mengurangkan beban rakyat ini.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...