terima kasih buat kalian semua..

Thursday, February 10, 2011

Bahana judi dalam masyarakat..


DEWASA ini terdapat banyak perniagaan, peraduan dan pertandingan yang mempunyai elemen perjudian (maisir). Elemen perjudian ini wujud dalam masyarakat Islam secara terang-terangan atau secara tersembunyi.

Yang paling malang sekali ialah, terdapat di kalangan orang Islam sendiri tanpa segan silu dan merasa bersalah terlibat dengan perjudian.

Antara perjudian yang biasa kita dapati dipaparkan melalui media elektronik dan media cetak ialah nombor ekor, laga ayam, judi lumba kuda, insurans konvensional, peraduan-peraduan dan sebagainya.

Antara faktor utama menyebabkan masyarakat sanggup bergelumang dengan dosa judi ialah sikap tamak. Mereka yang terlibat dengan perjudian biasanya merasa tidak cukup dengan pendapatan yang diperoleh.

Justeru, bagi menambahkan pendapatan sedia ada, mereka akan membuat pertaruhan dalam judi dengan harapan mendapat pulangan yang jauh lebih besar daripada jumlah wang yang dipertaruhkan.

Sekiranya bernasib baik, motifnya itu akan tercapai. Namun, hakikat yang perlu disedari bukan semua orang yang terlibat dengan perjudian telah mencapai hasratnya.

Biasanya, kebanyakan mereka yang terlibat terus berada dalam keadaan sedia ada. Bahkan, ramai yang bertambah miskin dan melarat.

Bukan itu sahaja, perjudian juga boleh membawa kepada ketagihan. Orang yang berjudi akan terus mencuba dan mencuba sehingga hasratnya tercapai. Sehinggalah mereka sanggup untuk melakukan apa sahaja bagi memastikan mereka mempunyai wang yang cukup untuk meneruskan pertaruhan.

Akibatnya, terdapat sebahagian daripada mereka yang sanggup untuk membuat pinjaman daripada ah long yang meletakkan kadar faedah pinjaman yang tinggi.

Terdapat juga sebahagian daripada mereka yang sanggup mengambil risiko melakukan jenayah seperti mencuri, merompak, meragut untuk mendapatkan wang.

Akhirnya, bukan sahaja si pelaku yang menerima padah, bahkan keluarga yang tidak bersalah turut terkena tempiasnya. Di sinilah bermulanya keruntuhan sesebuah institusi keluarga.

Oleh kerana itu, Islam menutup pintu-pintu ke arah perjudian (sadd zarai’) ini kerana ia lebih memberikan mudarat (keburukan) kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya. (al-Baqarah: 219 )

Islam adalah agama yang menggalakkan usaha. Demi mencapai sesuatu hasrat, seorang Muslim perlu berusaha dan tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata. Namun, perjudian akan menyuburkan sikap malas bekerja.

Perjudian akan menyebabkan seseorang itu mengharap kepada nasib untungnya untuk memenangi pertaruhan yang dibuat. Islam amat membenci sikap malas kerana ia akan membawa kemunduran dari semua aspek terutamanya ekonomi.

Justeru, Nabi SAW mengajar umatnya untuk selalu berdoa agar dihindari daripada sikap malas bekerja. Antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW pernah berdoa: Wahai Tuhanku aku berlindung dengan Engkau dari sifat lemah dan malas, takut dan bakhil dan aku berlindung daripada Engkau dari azab kubur dan aku berlindung daripada Engkau dari kesusahan masa hidup dan masa mati. (menurut satu riwayat yang lain) aku berlindung daripada Engkau dari beban hutang dan dari dikalahkan oleh musuh. (riwayat Muslim)

Justeru, Islam memuji sikap berusaha dan bekerja tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Umat Islam perlu berusaha untuk berdikari dengan melakukan kerja yang dibenarkan oleh syariat walaupun kadang-kadang ia tidak mendatangkan keuntungan yang besar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Bahawa seseorang kamu mencari kayu api atas belakangnya lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang lain sama ada diberikan atau tidak. (riwayat Bukhari)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...