terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 19, 2011

Caesarean bayi pramatang: Utk bagi tarikh lahir sama dengan ayahnya..


BOLEHKAH isteri saya menjalani prosedur caesarean pada usia kandungan 36 minggu? Adakah pada usia itu kandungan sudah matang dan selamat menjalani prosedur berkenaan? Untuk pengetahuan Dr, saya mempunyai tiga anak lelaki dan semua lahir melalui kaedah sama. Semua anak saya itu juga lahir pada usia kandungan 38 minggu. Saya berharap anak keempat ini lahir sama dengan tarikh lahir saya yang kebetulan jatuh pada usia kandungan 36 minggu.

RAZALI.

Jawapan:

SAUDARA dari segi perubatan kandungan matang bila usia kandungan mencecah 38 minggu ke atas dikira dari hari pertama haid yang terakhir. Sekiranya bayi itu lahir sebelum 38 minggu, sama ada lahir secara normal atau pembedahan dianggap sebagai bayi pramatang.

Dari segi obstetrik pula, kami amat selesa kalau seseorang bayi dilahirkan 36 minggu ke atas kerana pada usia ini peluang kelangsungan hayat adalah hampir sama dengan bayi yang lahir 38 minggu ke atas terutama jika berat bayi itu melebihi 2.5 kilogram.
Selain kelangsungan hayat, kami juga melihat dari sudut morbiditi, masalah atau kesan tidak baik akibat kelahiran pramatang. Bayi pramatang mempunyai beberapa masalah yang kadangkala serius. Sebagai contoh, masalah pernafasan kerana paru-paru tidak matang, jantung berlubang, kegagalan organ dalaman seperti buah pinggang, hati dan usus.

Mereka juga boleh mengalami masalah mata, telinga dan elektrolite dalam badan. Bagi memberi lebih peluang kelangsungan hidup bayi ini terutama usia di bawah 36 minggu, kami memberi suntikan steroid pada ibu jika kelahiran pramatang tidak dapat dielakkan.

Oleh kerana bayi pramatang mempunyai masalah perubatan yang tersendiri, maka kami tidak melakukan pembedahan caesarean di bawah 38 minggu kecuali dalam keadaan tertentu. Keadaan tertentu yang saya maksudkan adalah sebab perubatan seperti darah tinggi, kencing manis, tumbesaran bayi tidak normal dan air ketuban pecah terlalu awal. Ini semua bergantung kepada keadaan ibu dan bayi.

Selepas kaunseling dilakukan kepada ibu bapa dan risiko sudah diterangkan, barulah kami melakukan prosedur kelahiran pramatang. Pada pendapat saya, melakukan caesarean pada usia bayi 36 minggu tanpa sebab perubatan adalah tidak tepat. Seandainya bayi itu mengalami masalah pramatang, ia boleh menimbulkan penyesalan nanti. Tuan berbincanglah dengan doktor.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...