terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, February 15, 2011

Gadai maruah kerana dikecewakan suami !!


LAGU nyanyian Shima dengan liriknya oleh Man Kidal dan diterbitkan oleh Fauzi Marzuki ini mungkin amat sesuai dengan paparan yang akan diketengahkan.

Kelukaan demi kelukaan yang dihadapi sepanjang kehidupannya dengan golongan lelaki menyebabkan dia tewas dan akhirnya terjerumus ke dalam kancah yang seorang pun tidak mahu memasukinya.

Mungkin benar kata orang, jangan sesekali menyalahkan takdir atas apa jua perkara yang berlaku terhadap diri sendiri.

Sedangkan Tuhan membuka banyak jalan untuk kita terus berusaha dan memberikan cara yang terbaik bagi keluar daripada perbagai perkara yang membelenggu diri.

Pengalaman seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Kak Long ini, mungkin boleh dijadikan tauladan bagi mereka yang selalu menyalahkan takdir sehingga akhirnya menyebabkan mereka terjebak dalam perkara yang tidak diingini.

Dilahirkan di negeri Cik Siti Wan Kembang 40 tahun lalu, Kak Long menyalahkan golongan lelaki sebagai punca dia menderita dan akhirnya terjebak ke kancah pelacuran.

Cuba mencari kebahagian melalui perkahwinan tetapu tidak kekal dan kerap kali jatuh cinta dengan golongan Adam mengundang seribu kelukaan dalam hidupnya.

''Kak Long mula-mula bernikah ketika usia menginjak awal 20-an. Ingatkan akan kekal bahagia sampai ke anak cucu. Namun, suami buat perangai bermain kayu tiga di belakang saya.

''Ketika itu nasib Kak Long terumbang-ambing memandangkan Kak Long tidak bekerja dan tiada punca pendapatan. Suami pula tidak mengendahkan. Akhirnya rumah tangga punah setelah empat tahun bersabar,'' jelasnya.

Mujur masih belum dikurniakan anak. Kak Long meneruskan hidup sebelum bertemu dengan seorang lelaki yang sedia mengambilnya sebagai isteri.

Namun bagi kali kedua, Kak Long diceraikan kerana bekas suaminya kali ini seorang yang panas baran dan tidak mempunyai pekerjaan.

''Kak Long sebelum ini tidak tahu pun bekas suami itu seorang kaki pukul. Harapan yang disandang selama ini terkubur. Kak Long tidak larat asyik kena pukul apabila dia pulang dalam keadaan mabuk," katanya.

Perkahwinannya kali kedua itu hanya bertahan selama lima bulan dan sempat dikurniakan seorang anak lelaki.

Anak itu berada di kampung dipelihara oleh ahli keluarga.

Selepas beberapa tahun dalam usianya menginjak ke angka 30-an, Kak Long berumah tangga sekali lagi.

Kali ini dengan lelaki yang mengaku seorang usahawan yang berjaya di Kuala Lumpur.

Pada awal perkahwinan, Kak Long telah dibawa berpindah ke Kuala Lumpur kerana kononnya memudahkan urusan suaminya.

Sesampainya di ibu kota, Kak Long terperanjat kerana sebenarnya suaminya hanya seorang penjual sayur-sayuran di pasar malam.

Malah bagi tempat penginapan, suaminya hanya menyewa bilik di sebuah pangsapuri lama.

''Kak Long tidak kisah walaupun dia hanya seorang penjual sayur. Kak Long tetap setia dengan suami dan bersyukur dengan perkahwinan itu.

''Bila dia pergi menjual sayur di pasar malam, Kak Long setia menantinya di bilik sewaan kami. Selang tiga tahun, dia mula merungut kerana Kak Long tidak dapat memberinya anak,'' ujarnya.

Selepas tiga tahun usia perkahwinan mereka, Kak Long menerima khabar luka. Suami telah menceraikannya dan bernikah dengan wanita lain.

''Pada mulanya, Kak Long ditinggalkan sendirian di bilik sewaan itu. Kak Long tidak tahu pun sudah diceraikan.

"Ingatkan dia tidak balik ke rumah lama kerana bekerja lebih untuk menambahkan pendapatan.

''Memandangkan sudah lama suami tidak balik, Kak Long sudah tidak mempunyai wang untuk membayar sewa bilik dan untuk makan,'' katanya.

Setelah kembali menjanda, hidup Kak Long terkontang-kanting seorang diri di ibu kota. Sudahlah tidak mempunyai pekerjaan.

Dia juga tidak tahu selok-belok kehidupan di kota yang penuh dengan cabaran kerana tidak pernah dilalui memandangkan dirinya tidak pernah keluar daripada kepompong bilik sewa.

Akhirnya, Kak Long mengambil keputusan menceritakan kesusahan dirinya kepada rakan yang menyewa bilik dalam rumah yang sama.

Rakan itu mencadangkan supaya dia mencari pekerjaan sebagai pelayan.

Cadangan itu diterima. Bermula dari situ Kak Long yang diperkenalkan oleh rakannya kepada sebuah kelab malam dan mula bekerja sebagai seorang pelayan.

Sejak itu kehidupan Kak Long berubah. Dia telah mempunyai wang sendiri dan dapat hidup sebebas-bebasnya.

Dari situ dia diperkenalkan dengan pelbagai jenis lelaki. Tidak setakat itu Kak Long turut 'menjual' tubuhnya untuk menambah pendapatan.

Wang yang lebih di kirimkan ke kampung untuk menampung perbelanjaan anaknya.

Namun Kak Long tetap merahsiakan pekerjaannya sebagai seorang pelayan dan pelacur. Dia memberitahu keluarganya dia bekerja menjual sayur di pasar malam.

Setelah beberapa tahun, anaknya kini sudah berusia 18 tahun. Ada juga beberapa kali dia ke Kuala Lumpur bertemu dengan Kak Long. Tapi Kak Long pandai menyimpan rahsia. Sedikit pun anaknya tidak menyangka pekerjaan sebenar ibunya itu.

''Kini Kak Long dalam dilema apabila anak Kak Long beria-ia mahu menetap bersama Kak Long di Kuala Lumpur untuk menyambung pengajiannya di kolej.

''Apa yang Kak Long harus lakukan?" Tanyanya sambil memandang kosong ke hadapan

Oleh ROSMAH DAIN

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...