terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 5, 2011

Jangan tunggu sampai rakyat marah dan memberontak !!!


APABILA rakyat sudah mula marah akibat kesempitan hidup dan sudah bosan dengan pemerintahan kuku besi, maka banyak perkara buruk akan berlaku. Itulah yang terjadi di Tunisia, apabila rakyat bangkit memberontak sehingga membawa kepada tumbangnya kerajaan Presiden Zine El Abidine Ben Ali, yang terpaksa membawa diri ke Arab Saudi untuk mendapatkan perlindungan.

Insiden di Tunisia itu membawa implikasi besar kepada dunia Arab apabila ia kemudian mempengaruhi penduduk negara-negara Arab di Afrika utara dan rantau Asia Barat untuk bangkit memberontak menuntut perubahan pucuk pimpinan.

Apakah insiden di Tunisia akan membawa Order Baru di dunia Arab yang sudah lama dahagakan perubahan dan membawa kebaikan kepada penduduknya, sekali gus akan mengubah imej dunia Islam?

Ketakutan pemimpin-pemimpin Arab terhadap insiden di Tunisia yang membawa kejatuhan Presiden Ben Ali, 74, yang terkenal dengan pemerintahan kuku besinya selama 23 tahun akan mempengaruhi negara mereka, akhirnya benar-benar berlaku apabila insiden serupa berjangkit ke Algeria dan seterusnya ke beberapa negara Arab lain termasuk di Mesir, Yemen, Jordan dan Syria.

Namun, insiden pemberontakan di Mesir merupakan yang paling sengit dan ganas sehingga lebih 300 orang telah terkorban setakat ini sejak tunjuk perasaan antikerajaan bermula di negara itu pada 25 Januari lalu bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak, 82, meletak jawatan, manakala hampir 4,000 lagi cedera.

Apa yang aneh dalam tunjuk perasaan di Tunisia, Algeria, Yemen, Jordan, Syria dan Mesir ialah pemberontakan rakyat bukanlah kerana faktor politik ataupun kudeta tentera tetapi ia didorong oleh faktor ekonomi semata-mata.

Ia berpunca apabila rakyat mula menjadi marah akibat 'kebuluran' dan terpaksa menjalani kehidupan yang sukar selama berdekad-dekad di bawah pemerintahan kerajaan kuku besi, ketiadaan pekerjaan dan tidak ada pembangunan serta peluang-peluang ekonomi yang adil.

Keadaan ini semakin memuncak sejak kebelakangan ini berikutan kenaikan harga barangan yang melonjak, harga minyak yang melambung kesan kemelesetan ekonomi global dan inflasi yang semakin tinggi.

Pada masa yang sama, perasaan tidak puas hati yang membelenggu rakyat jelata selama berdekad-dekad akibat penindasan kerajaan, gejala rasuah yang berleluasa, penyelewengan di kalangan ahli politik dan pegawai atasan kerajaan meningkatkan lagi kemarahan rakyat terhadap pemimpin sehingga mendorong mereka untuk bangkit memberontak.

Apa yang menarik tentang krisis politik di Tunisia ialah manifestasi yang ditunjukkan oleh penduduk di negara itu merupakan gambaran manifestasi yang sedang berlaku di hampir seluruh dunia Arab termasuk di Afrika utara dan rantau Asia Barat.

Seperti rejim Presiden Ben Ali, yang merupakan sebuah kerajaan autoritarian dan disifatkan tidak demokratik oleh kumpulan hak asasi antarabangsa termasuk Amnesty International, Freedom House dan Protection International, begitulah juga keadaan di kebanyakan negara Arab yang lain.

Kebanyakan negara Arab di utara Afrika dan rantau Asia Barat sama ada diperintah oleh kerajaan beraja dan presiden yang mengamalkan pemerintahan autoritarian serta mengamalkan rasuah.

Mengikut Indeks Demokrasi dalam laporan Economist 2010, Tunisia diklasifikasikan sebagai rejim autoritarian di tangga ke-144 daripada 167 negara yang dikaji. Pada 2008, daripada segi kebebasan media pula, Tunisia menduduki tangga ke-143 daripada 173 negara yang dikaji.

Ben Ali dan anggota keluarganya turut dituduh terlibat dalam rasuah, malahan semasa melarikan diri ke Dubai, isterinya, Leila Ben Ali dan keluarga dilaporkan membawa lari 1.5 tan emas dari Bank Pusat.

Selain itu, kebanyakan pemimpin-pemimpin Arab telah berada di 'takhta' pemerintahan begitu lama sehingga beberapa dekad. Misalnya, Mubarak telah memerintah Mesir selama 30 tahun, begitu juga dengan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah Yemen selama tiga dekad.

Maka tidak hairanlah jika pemberontakan boleh meletus di negara-negara Arab lain termasuk di Arab Saudi dan Maghribi yang mengamalkan pemerintahan beraja selama berkurun-kurun lamanya.

Penduduk Arab juga sudah lama dahagakan pembangunan, demokrasi terbuka dan kebebasan bersuara.

Sikap sesetengah pemimpin Arab yang condong kepada Amerika Syarikat (AS) seperti Mesir, Arab Saudi dan Jordan serta negara-negara yang pro-Israel seperti Mesir dan Jordan turut menyumbang kepada meningkatnya sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin mereka.

Apa yang berlaku di Mesir sekarang adalah manifestasi kebencian rakyat sudah sampai ke kemuncaknya.

Seluruh dunia kini mengikuti perkembangan di Mesir dengan penuh minat dan prihatin dengan nasib penunjuk perasaan yang mempertaruhkan keselamatan mereka demi membawa perubahan yang sekian lama dinantikan.

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...