terima kasih buat kalian semua..

Monday, February 28, 2011

Lelaki pun takut nak poligami..


KAUM lelaki turut tertarik dengan kisah poligami yang disiarkan beberapa minggu lalu termasuk saya. Namun jangan pula salah sangka, saya bukannya berpoligami atau merancang nak madukan isteri, tetapi sekadar memberi pandangan kerana salah besar kalau anda fikir semua lelaki suka berpoligami.

''Sebenarnya saya tabik pada sesetengah lelaki yang berpoligami, kerana mereka betul-betul mahir, berani, pintar, petah bercakap, pandai merancang dan banyak lagi. Kepada suami yang lurus memang tidak berani berpoligami walaupun dalam hati berkemungkinan ada niat ke arah itu.'' Demikian cerita Yuss dalam e-melnya.

''Saya sudah berkahwin lebih 21 tahun tak pernah terdetik sekalipun dalam hati saya nak berkahwin lagi. Begitu juga kebanyakan lelaki lain yang jumlahnya memang ramai di luar sana. Sebab mereka tahu dan faham tentang masalah yang bakal timbul kalau berpoligami.

''Bab pertama paling besar mematikan hasrat kami nak berpoligami, masalah kewangan. Saya memang tak mampu. Tapi ada kawan cadangkan mengapa jadi bodoh cari saja gadis atau wanita berkemampuan, berpangkat dan berkedudukan, pasti dia ada wang, maka masalah tak mampu tadi boleh diselesaikan. Pasti wanita tadi boleh bantu.

''Tetapi saya fikir satu bab lagi, gadis yang kita nikahi itu pasti hendakkan anaknya sendiri menjadi warisnya. Bab ini lagi berat, sebab bila usia dah meningkat bolehkah saya bangun tengah malam, bergilir jaga anak yang menangis, meragam atau buatkan susu anak, tukar lampin, cuci najis dan lainnya.

Mengandung

'Itu belum masuk bab hantar isteri pergi ke klinik setiap bulan semasa mengandung dan sekali lagi selepas bersalin. Bawa bayi pergi buat suntikan setiap bulan atau pemeriksaan lain jika demam dan sebagainya. Takkan saya nak suruh isteri muda itu pergi sendirian sambil kelek anak yang masih kecil. Tambah segan bila hantar anak ke sekolah rendah, waktu itu orang sebaya kita dah bergelar datuk hantar cucu ke sekolah kita pulak masih hantar anak. Nanti takut tersilap anak kita pun panggil kita datuk kerana terikut kawan-kawan.

''Sekarang anak bongsu saya dah 14 tahun, tak payah nak uruskan apa pun. Saya nak jalan dengan isteri ke mana pun senang, tak ada masalah tinggalkan dia dengan abangnya. Mereka saling membantu. Jadi mengapa saya perlu menyusahkan diri nak kahwin lagi? Bak kata orang tua-tua, kalau tak ada beban mengapa batu nak digalas?

''Selain daripada itu kita juga kena fikir tentang kesihatan kita adakah berada pada tahap baik atau sebaliknya. Kena fikir juga kesihatan isteri baru kita. Kadang tu luaran saja nampak bergetah, dalaman, sebelum jadi isteri kita tak boleh nak ramal.

''Kita kena fikir juga apakah isteri baru kita boleh terima keadaan kita seperti penyakit kita, adakah kita terlalu kuat berdengkur. Apakah dia boleh terima seperti isteri pertama kita? Isteri baru pula, adakah dia suka merajuk, merengus, suka maki hamun, malas atau rajin ke dapur atau mungkin juga ketiak berbau. Belum kahwin memang badan solid, dah beranak nanti macammana? Kalau dia jadi bulat sangat macam mana? Bolehkah kita terima dia.

''Lepas tu kita kena fikir keluarga isteri baru pula macam mana? Bolehkah mereka terima kita yang dah tua jadi menantunya mungkin mertua kita pun dah sebaya kita. Kalau baik sangat lepas kahwin keluarga isteri terus angkut tikar bantal pindah tinggal sekali duduk dengan kita? Apakah kita boleh terima?

''Oleh kerana itu kebanyakan lelaki termasuk saya kami terpaksa berfikir lebih seratus kali kalau nak berpoligami. Banyak benda kena ambil kira. Kalau selama ini isteri seorang sudah memberi kita cukup banyak keselesaan, kesenangan, ketenangan fikiran dan kebahagiaan hidup di dunia mahupun untuk kita beramal buat bekalan akhirat, mengapa kita mesti menyusahkan diri 'mencari batu nak digalas'?

''Jadi kesimpulan yang boleh saya buat jagalah isteri yang ada sekarang sebaik-baiknya. Mana-mana yang kurang tentang isteri kita tu, kita up grade kan sebagaimana yang kita kehendaki. Kalau dia tak pandai makep sebab kita suka tengok wanita cantik bermekap, kita hantar ke salun kecantikan, begitu juga tentang rambutnya.

''Belikan kosmetik yang sesuai supaya dia kelihatan sama seperti wanita lain. Kalau dia sihat dan bagus persembahannya untuk kita juga. Saya nak tanya, berapa kerat suami yang buat demikian untuk kecantikan isteri seperti yang anda kehendaki?

''Ini tidak, sesetengah lelaki kalau tengok perempuan seksi terjegil biji mata . Tapi isteri sendiri suruh pakai jubah, tutup sana tutup sini, muka tampal bedak sejuk, bila isteri buka jubah kita sendiri rasa tak lalu nak dekat, habis macammana? Kenalah melabur sikit kalau nak isteri cantik, wangi macam wanita yang kita suka lihat.

''Dalam pada itu sebagai suami pun kena jaga penampilan, jaga kebersihan diri, dan kesihatan khasnya bila nak bersama isteri, tanya isteri dulu apa kehendaknya, kadang-kadang kita tak perlu pakai modal pun, cukup dengan pakai skil tertentu

''Bila isteri suka baru enjoy. Jangan syok sendiri, isteri belum sampai pun! Lepas tu ada hajat nak poligami. Itu juga salah satu sebab isteri rela bercerai daripada bermadu.

''Orang boleh kata, saya baru kahwin 21 tahun bolehlah cakap, masa depan tak siapa tahu? Memang dalam perkahwinan tak ada jaminan bahagia sampai bila-bila, setidak- tidaknya kita berusaha ke arah itu.''

Demikian pandangan Yuss panjang lebar.

3 comments:

  1. kalaulah semua lelaki yang miang berfikiran seperti ni, tentu tak berlaku kes pergaduhan antara isteri-isteri. Kebanyakan lelaki yang berpoligami tu hanya "mampu nafsu" sahaja sedangkan ilmu agama nya sekadar hukum berpoligami sahaja yang dia tahu, syarat2 berpoligami langsung tak tahu.

    ReplyDelete
  2. lelaki yang suka menunjokkan kejantanan akan selalu dibuai anggan anggan untok berpoligami.sedangkan tahap kejantananya hanya sekadar pelepas nafsu saja atau mencari ruang melarikan diri dari kelemahan sendiri.lelaki sebegini cubalah berhadapan dengan masaalah yang didepan mata mereka secara anak lelaki bukan atas alasan aku anak jantan.besar kemungkinan segala gejala rumahtangga akan selesai dengan aman.berpoligami itu tidak salah yang salah tuan punya badan yang berpoligami itu sendiri.kalau ingin berpoligami berpoligamilah secara berilmu mendaulatkan kitabullah.jangan asingkan poligami dengan keihklasan beriman dan mejunjong perintah allah swt.kebanyakkan yang berlaku bak kata seniman p.ramlee"kalau dua dua merajuk anna kahwin tiga,mesti pandai pembohong..."kah!!kah!!!.mohon ampun mohon maaf ya!!.

    ReplyDelete
  3. Independent MalayMarch 2, 2011 at 1:30 AM

    As-Salam sdra,Surah An-Nisa;Allah menghukumkan(Al-Quran adalah hukum Allah);kahwinlah akan kamu 2,3 atau 4 tetapi jika kamu takut berlaku tidak adil kahwinlah 1. Jelas disini Allah tidak mengatakan 1'2'3 atau 4;tetapi bermula dgn 2,cuba kita fikir dgn waras. Persoalan saya adalah apabila kita diakhirat ditanya Allah akan kenapa tak ikut surah(hukum) ini kita nak jawab 'saya takut kerana tak bolih adil'.Juga jika kita imbas apakah tujuan perkahwinan itu, ialah untuk menyambung zuriat(dr kitab Imam Ghazali).Sejarah nabi2 & rasul2 banyak juga beristeri lebih dari satu.Akhir zaman ini statistic dikebanyakkan negara,kaum hawa melebihi kaum adam.Cuba sdra fikirkan jika semua umat islam hanya berfikiran negatif,ramai lah kaum hawa yg tidak merasai hidup berumah tangga & menyambung zuriat.Pokoknya kita perpandukan Al-Quran & sunah Rasul,insyaAllah,dapat bantuan untuk kita menegakkan keadilan walaupun beristeri 2,3,4.
    Bagaimanapun tidak salah 2,3,4 atau 1,Allah sahaja yg menentukan & kita terima kada'&kadar itu & menafaatkan sementara didunia yg fana ini.
    Wassalamalaikum

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...