terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, February 16, 2011

Majikan perlu utama pekerja tempatan..


USAHA menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti di Pasar Borong Selangor baru-baru ini menunjukkan kita berusaha bersungguh-sungguh membanteras kemasukan mereka di negara ini secara haram.

Membiarkan PATI bererti kita membuka peluang lebih ramai lagi golongan ini memasuki dan berada di negara kita serta menutup sebahagian peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Di samping itu, majikan atau premis perniagaan mesti bekerjasama dalam soal ini dengan cara tidak memberi pekerjaan kepada PATI walaupun mereka dapat menjimatkan wang kerana upah buruh asing lebih murah daripada pekerja tempatan.
Mentaliti mereka perlu diubah bahawa rakyat tempatan perlu diutamakan dengan menolak untung semata-mata.

Kita tidak boleh menjadi seperti ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

Majikan pula tidak boleh beranggapan bahawa penduduk tempatan memilih pekerjaan, kerana ada antara penduduk tempatan yang memang berminat menjadi buruh.

Mereka mesti memahami bahawa tidak semua golongan remaja dan pencari kerja di negara kita berkelulusan tinggi.
Jika majikan atau pemilik premis perniagaan bersekongkol dengan PATI bermakna mereka juga seolah-olah merestui kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Tindakan undang-undang mestilah dilakukan kepada majikan yang melindungi pekerja asing tanpa izin apatah lagi kepada mereka yang memberi keizinan bekerja di tempat mereka tanpa dokumen sah.

Paling penting ialah kita mesti mengutamakan dan memberi peluang kepada pekerja tempatan. Biarlah rezeki itu dinikmati penduduk tempatan walaupun upahnya lebih mahal daripada membiarkan rezeki jatuh ke tangan orang asing.

NORZILAH IBRAHIM,
Shah Alam, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...