terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 19, 2011

Malu cerai pecah rekod !!


INGATKAN panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sesuai sungguh satu rangkap lirik lagu penyanyi terkenal Nora buat sesiapa saja yang pernah bercerai dalam hidup mereka. Hakikatnya, tiada siapa yang mahukan kehidupan bercerai-berai kerana gelaran duda mahupun janda amat memalukan bukan saja diri sendiri malah ia juga mencalar maruah keluarga.

Ketika bercinta lebih kurang 10 tahun, bagaikan semuanya indah. Ke sana ke mari ke mana saja bersama. Sebelum berumah tangga, hampir semua ahli keluarga tahu hubungan cinta pegawai bank, Farrah Adiba, 32, (bukan nama sebenar) dan ejen insurans, Azwan Abidin, 33, (bukan nama sebenar). Hinggalah mereka disatukan secara sah sebagai suami isteri dua, tahun lalu

Banyak juga orang berpesan, berkawan lama tidak semestinya bersatu hingga akhir hayat. Itulah yang Farrah rasakan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan yang juga pertama kali diadakan keluarga kedua-dua pihak. Lebih kuat lagi hati Farrah mengatakan perkahwinan mereka tidak akan bertahan lama apabila Azwan kerap bertukar kerja dan tidak memiliki matlamat hidup. Malah, lebih membimbangkan Azwan tidak bekerja lebih tiga bulan selepas berlangsungnya majlis pertunangan.
Mana tidaknya, Azwan yang dilahirkan dari keluarga agak berada tidak pernah bimbang kerana setiap kali wang saku kehabisan, ibu bapa akan salurkan ke akaun simpanannya. Ada kalanya, Farrah juga yang menjadi sumber kewangan Azwan setiap kali dia ‘kekeringan’.

Jodoh tidak panjang bagi pasangan itu dan hanya dapat bertahan selama kurang 10 bulan selepas Azwan yang kerap bertukar kerja menemui wanita lain dan dia bagaikan ‘rambang mata’. Sungguhpun Farrah mempunyai pekerjaan tetap dan berdepan dengan ramai lelaki hebat sebaliknya Farrah lebih setia pada Azwan.

Farrah berkata, sepanjang perkahwinan, mereka hanya sempat bahagia selama beberapa bulan. Sudahlah Azwan masih tercari-cari apa yang hendak dilakukan dalam hidup malah lebih memalukan apabila dia tidak pasti dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan memimpin isteri sehingga gagal menjalani tanggungjawab sebagai suami Muslim.

“Sudahlah nafkah tidak diberi setiap bulan, walaupun saya bekerja, namun sekurang-kurangnya perlu ada sedikit ruang untuk saya bernafas. Nak katakan bergaji besar, tidaklah, tetapi cukup untuk membayar apa yang wajib setiap bulan seperti kereta, sewa rumah, bil dan sebagainya. Sebagai isteri saya tidak kisah jika terpaksa membayar namun perlu ada pembahagian sama rata tanpa menyalurkan duit poket suami setiap kali dia mahu ke tempat kerja.
“Saya mungkin masih boleh bertahan jika itu sudah takdir saya membantu suami dan setia kepadanya. Saya berharap dia akan memberi keceriaan kepada saya.
Sebaliknya, dalam tempoh beberapa bulan perkahwinan, dia kembali kepada perangi lama, iaitu curang bersama wanita lain yang kononnya kawan baik sejak kecil,” katanya yang dihubungi, baru-baru ini.

Farrah enggan mengulas lebih lanjut mengenai apa yang dilakukan suaminya sepanjang perkahwinan kerana bagi beliau itu semua menguatkan lagi untuk Farrah bercerai. Perceraian mereka turut membabitkan hal keluarga apabila kakak dan ibu suaminya mengawal gerak-geri ke mana dan apa saja yang Azwan lakukan.

“Hampir setiap minggu mereka akan datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang. Memandangkan anaknya semua bekerja di ibu kota, keluarganya sanggup membeli rumah dan menetap di sini. Sudahlah pula setiap minggu kami perlu berkumpul di rumah keluarga mereka tidak kurang juga melayan kerenah ibunya yang sering keluar membeli-belah.

“Oleh kerana terlalu kerap, saya dan keluarga saya sering berkecil hati kerana tidak dapat meluangkan masa bersama walaupun sebulan sekali. Apatah lagi belum sempat singgah ke rumah saudara mara sebagai meraikan ‘pengantin baru’ selepas berlangsungnya majlis perkahwinan kami. Jika ikutkan hati, saya juga mempunyai keluarga yang perlu dijaga hatinya, tetapi saya menurut perintah suami berkunjung ke rumah keluarganya setiap kali hujung minggu,” katanya.

Apakan daya, jodoh pasangan itu tidak mampu bertahan lama selepas buntu mencari jalan penyelesaian. Azwan yang pendek akalnya melepaskan Farrah apabila Farrah mengajak suaminya mendapatkan khidmat kaunseling di Jabatan Agama Islam negeri sebagai alternatif menjernihkan suasana.

Sebaliknya, Azwan mengungkapkan lafaz cerai apabila dia gagal mengawal situasi dan baran ketika menghantar Farrah pulang ke kampung sebaik menjalani sesi kaunseling.

Sungguhpun reda dengan takdir Ilahi, Farrah mengambil masa untuk sembuh kerana baginya, dia sudah memalit calar dan menjatuhkan maruah keluarga berikutan belum pernah dalam sejarah keluarganya ada yang bercerai. Setiap kali pulang ke kampung, bagaikan saat yang memalukan Farrah dan ibunya apabila ramai ahli keluarga dan jiran tetangga sering bertanyakan bila Farrah akan menimang cahaya mata.

Selain itu, Farrah juga malu kerana terpaksa berdepan rakan sepejabat yang sering ingin mengambil tahu hal peribadinya. Malah, tidak kurang juga yang pandai membuat andaian yang bukan-bukan. Bagi Azwan perceraian mungkin perkara biasa kerana beberapa ahli keluarganya juga pernah mengalami nasib yang sama selain tidak berada dalam situasi kerja seperti Farrah.

Sungguhpun Azwan tidak mengaku menjalin hubungan wanita dikenali sebagai Adura (bukan nama sebenar), Farrah diberitahu rakan baiknya bahawa Azwan akan mengahwini wanita yang dikatakan sebagai kawan baik sejak kecil itu.

Farrah bersyukur kerana perceraian tidak membabitkan zuriat dan ia memudahkan urusan perceraian. Malah, Farrah mendoakan supaya bekas suaminya akan menemui kebahagiaan dengan Adura hingga akhir hayatnya.

Oleh Hidayah Mohammad



No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...