terima kasih buat kalian semua..

Thursday, February 17, 2011

Mampukah MRT atasi kesesakan?


PANJANGNYA 150 kilometer sementara kos pembinaan dianggarkan RM36.6 bilion. Itulah projek Sistem Pengangkutan Pantas (MRT) yang dijadual bermula Julai ini dengan rangkaian rel pertama dari Sungai Buloh ke Kajang, meliputi kira-kira 60 kilometer dengan 35 stesen yang akan melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Cadangan projek MRT yang dijangka siap pada 2020. Sebahagian besarnya bertujuan menangani kemelut pengangkutan awam yang membebankan kehidupan pengguna yang mendiami kawasan Greater Kuala Lumpur (Greater KL).

Greater KL meliputi kawasan seluas 279,327 hektar terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya, Ampang Jaya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Kajang, Klang, Sepang dan Selayang.

Jumlah penduduk Greater KL dianggarkan sekitar enam juta dan dijangka meningkat 10 juta pada 2020.

Projek rel MRT yang berkelajuan tinggi dan besar-besaran ini disebut Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015) pada 10 Jun tahun lepas.

Memperbaiki pengangkutan awam dipilih sebagai satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), yang diberi keutamaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

MRT dijangka menawar khidmat sehingga dua juta perjalanan penumpang sehari berbanding 480,000 oleh sistem rel bandar buat masa ini.

Pembinaan terminal bas dan rel turut dijangka menambah pecahan mod pengangkutan awam di Greater KL dari 12 peratus pada 2009 kepada 30 peratus pada 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Jala baru-baru ini dipetik sebagai berkata: "Menjelang 2020, sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk Kuala Lumpur mesti menggunakan pengangkutan awam."

Malaysia, katanya mempunyai pemilikan kereta per kapita lebih tinggi dari Amerika Syarikat dan Jerman, dengan 20 juta kereta untuk jumlah penduduk 28 juta.

Dalam pada itu, bercakap bagi pihak Persatuan untuk Penambahbaikan Pengangkutan Awam-Lembah Klang (TRANSIT), Muhammad Zulkarnain Hamzah berkata, kumpulan aktivis pengangkutan awam agak skeptikal berhubung sasaran peratus penggunaan pengangkutan awam untuk projek gergasi MRT.

Beliau memberitahu Bernama, di bawah Rancangan Malaysia keenam, peratus penggunaan pengangkutan awam disasarkan kepada 50 peratus untuk tahun 2000 dengan siapnya sistem transit aliran ringan (LRT) tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

TRANSIT, katanya, masih pesimistik dengan sasaran MRT yang diuar-uarkan berkemampuan melonjakkan peratus penggunaan pengangkutan awam yakni peratus komuter yang menggunakan pengangkutan awam.

"Sedangkan pada masa ini pun tidak ada usaha bersungguh-sungguh bagi memperbaiki sistem sokongan untuk pengangkutan awam, termasuk keutamaan pengangkutan awam serta langkah kekangan trafik di atas jalan raya yang ada," katanya.

Beliau menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan keutamaan pengangkutan awam adalah langkah menjadikan pergerakan kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan trem lebih pantas dan cekap.

Manakala langkah kekangan trafik bertujuan mengurangkan tarikan penggunaan (bukan pemilikan) supaya kenderaan transit seperti bas atau trem dapat menyusuri jalan yang sedia ada dengan lebih lancar.

Menurut Muhammad Zulkarnain, TRANSIT ingin melihat bentuk perjalanan di Lembah Klang sekarang diperbetul menerusi pembangunan yang berorientasikan pengangkutan awam (TOD) di sekeliling stesen rel yang ada sebelum kerajaan melaksanakan sebarang cadangan rel baru.

Jelasnya, liputan perkhidmatan rel yang ada masih belum memenuhi potensi maksimum. Bukan kerana kekurangan bas perantara tetapi lebih kepada tahap kemudahcapaian dan kesinambungan ruang pejalan kaki yang rendah, reka bentuk rangkaian bas yang lemah dan kurang integrasi antara mod transit.

"Rancangan Malaysia Kesepuluh bercakap mengenai konsep perbandaran baru. Pusat aktiviti perbandaran yang kompak dan efisien dapat dibentuk dan ruang terbuka direka bentuk berpaksikan aktiviti kemasyarakatan, bukannya untuk kelancaran kenderaan peribadi.

"Dengan semangat yang sama, kerajaan perlu memberi tumpuan mewujudkan lorong khas bas bagi mengatasi masalah jalan raya yang sesak untuk perjalanan dari kawasan kejiranan ke pusat aktiviti perbandaran setempat dan dari pusat ini ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.

"Pembangunan yang mengarah kepada pembentukan bandar raya kompak yang mesra penduduk perlu berteraskan penyepaduan antara perancangan guna tanah dengan perancangan pengangkutan awam.

"Ini memerlukan anjakan paradigma yang mengutamakan pejalan kaki berbanding pengguna kenderaan peribadi dan mendahulukan pergerakan secara berkumpulan berbanding pergerakan individu.

"Penyelesaian yang melibatkan satu sistem rel sahaja bukan penamat kepada masalah kesesakan yang meruncing sekarang," tegasnya.

Dengan merujuk kepada Hong Kong dan tempat-tempat lain yang mempunyai penggunaan tanah serta perancangan pengangkutan yang teratur, Muhammad Zulkarnain memberitahu pembangunan kepadatan tinggi seharusnya bertumpu di sekeliling stesen.

Apabila lokasi tumpuan aktiviti masyarakat berada berhampiran dengan perhentian transit, orang ramai lebih mudah dan pantas melangsaikan tugasan harian mereka.

"Di Malaysia, dasar penggunaan tanah tidak menguatkuasakan pembangunan yang berorientasikan pengangkutan awam di sekitar stesen yang ada. Lihat sahaja stesen LRT Taman Bahagia sebagai contoh, anda boleh lihat kereta diletakkan di laluan pejalan kaki.

"Jalan masuk berhampiran stesen sesak teruk hampir setiap masa ekoran limpahan trafik dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Ini memanjangkan lagi masa perjalanan bas perantara yang sememangnya berliku-liku dan meletihkan.

"Akhirnya, sebahagian besar pertumbuhan bandar masih lagi bertumpu di sepanjang jajaran jalan raya.

"Kami masih belum mendengar sebarang rancangan untuk mewujudkan laluan bas bagi mengatasi masalah kelancaran perjalanan bas yang memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai perantara di antara kawasan kejiranan dengan stesen rel sedia ada.

"Tetapi sebagai medium perhubungan pusat aktiviti perbandaran di luar bandar raya Kuala Lumpur.

"Bagaimana pengguna MRT mahu pergi ke destinasi mereka jika mereka tersangkut di stesen kerana tidak tahu cara untuk ke destinasi akhir mereka?

"Apakah mereka akan masih mahu menggunakan MRT sedangkan mereka tahu tempoh masa perjalanan dari pintu ke pintu akan akan mengambil masa yang terlalu lama berbanding jika mereka menggunakan kenderaan sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...