terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, February 8, 2011

NAsihat dari pemandu teksi: Jadilah pengguna bijak, elak ditipu..


SABAN hari kita disogok dengan rungutan dan luahan tidak puas hati terhadap perkhidmatan teksi atau lebih tepat sikap pemandu teksi di Kuala Lumpur. Pelbagai gelaran diberikan menggambarkan kemarahan yang meluap-luap.

Gejala ini menampakkan seolah-olah tiada yang baik mengenai pemandu teksi di Kuala Lumpur. Sebagai seorang pemandu teksi yang patuh pada etika dan undang-undang, saya agak tersentuh dengan pelbagai komen buruk yang diberikan.

Memang tidak dinafikan terdapat segelintir pemandu yang curang dan majoriti pemandu teksi juga tidak setuju dengan tindakan mereka. Cuma agak dikesalkan cara penulisan seolah-olah perkara ini dilakukan oleh kebanyakan pemandu teksi.

Mungkin pengguna tidak tahu ramai yang telah diambil tindakan. Tugas membenteras pemandu curang ini tidak akan berjaya jika hanya mengharap agensi penguat kuasa semata-mata. Jadilah pengguna yang bijak dan berilmu tentang hak pengguna. Hanya pengguna yang boleh mengelak diri sendiri daripada ditipu.

Jangan benarkan diri ditipu dan kalau ditipu juga, gunakan saluran yang ada untuk membuat aduan. Maksudnya buat aduan berserta butiran lengkap seperti masa, tarikh, nombor pendaftaran teksi serta jenis kesalahan. Janganlah hanya menulis di akhbar dan mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan.

Sebenarnya pangguna berhak menolak untuk menaiki teksi yang telah ditahan jika terasa ada penipuan. Pengguna tidak harus melayan pemandu yang cuba tawar menawar. Apa yang harus dilakukan hanya menutup pintu dan tahan teksi berikutnya tanpa berkata walau sepatah dengan pemandu tersebut. Bayangkan jika semua pengguna melakukan perkara tersebut, mampukah pemandu tersebut bertahan berkegar-legar tanpa penumpang seharian?

Jangan jadikan alasan terdesak atau hendak cepat, maka merelakan diri ditipu. Dengan jumlah teksi yang banyak di Kuala Lumpur ini, penumpang tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan teksi berikutnya. Percayalah terdapat ramai pemandu yang jujur mencari rezeki untuk dibawa pulang. Ayuh, jadilah pengguna yang bijak mulai sekarang. Semoga pada masa depan rugutan sebegini berkurangan atau tiada lagi kedengaran.

Saya pernah ke Singapura dan menggunakan perkhidmatan teksi bersama kawan-kawan. Disebabkan seorang memakai baju sukan yang tertera bendera Malaysia, maka kami dikenakan tambang lebih kerana pemandu itu tahu kami bukan rakyat tempatan. Kami membayar tanpa rasa marah atau apa perasaan sekalipun.

Apabila bertemu rakan rakyat tempatan, kami bercerita hal tersebut. Perkara pertama yang ditanya adakah kami mengambil nombor teksi tersebut. Ini kerana rakan tersebut akan membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Apa yang hendak diceritakan di sini ialah bagaimana pengguna di negara tersebut bijak menggunakan hak. Tidak hairanlah perkhidmatan awam di sana terutama perkhidmatan teksi, lebih sempurna.

Pengguna harus bijak untuk mengelakkan diri daripada berterusan ditipu. Jangan hanya bijak menulis di akhbar kerana ia tidak membantu menangani masalah ini.

ICAM

Bandar Baru Bangi, Selangor

3 comments:

  1. salam. Menarik artikel yang ditulis. saya jarang menggunakan teksi, sementelah boleh memandu sendiri Memang diakui ramai pemandu teksi yang jujur, tetapi kerana rencam dunia hari ini, menyebabkan masyarakat kadangkala sukar meletak kepercayaan. Sikap tidak ambil peduli tentang hak sebagai pengguna juga menjadi penyebab utama, disamping kerenah biokrasi pihak berwajib apabila membuat aduan. Saya dan rasanya ramai lagi yang di luar sana, sentiasa menghargai pemandu-pemandu teksi yang berhemah. Wassalam.

    ReplyDelete
  2. penulisan yang adil. saya kira, alasan terdesak dan nak cepat sering menjadi sebab utama seseorang pengguna menidakkan hak sebagai pengguna.saya pengguna kemudahan awam yang tegar di bandaraya Kuala Lumpur ini. saya sering berjumpa pemandu teksi yang jujur, saya suka bertukar-tukar cerita dengan mereka. bayaran yang dikenakan berpatutan. namun, saya kecewa dengan sikap sesetengah pemandu teksi yang saya kira 'menipu harga'. saya pernah dikenakan bayaran dua kali ganda daripada yang sepatutnya, alasannya kerana mereka terpaksa menunggu (walau seketika sahaja) dan hujan (dua kali ganda bayaran). ya, sebagai PENGGUNA YANG TERDESAK, saya tidak mahu memanjangkan hal tersebut. ingatlah, sekali anda terlepas, tak selama anda terlepas. kita sama-sama mencari rezeki dengan cara masing-masing, beringatlah!

    ReplyDelete
  3. penulisan yang adil. saya kira, alasan terdesak dan nak cepat sering menjadi sebab utama seseorang pengguna menidakkan hak sebagai pengguna.saya pengguna kemudahan awam yang tegar di bandaraya Kuala Lumpur ini. saya sering berjumpa pemandu teksi yang jujur, saya suka bertukar-tukar cerita dengan mereka. bayaran yang dikenakan berpatutan. namun, saya kecewa dengan sikap sesetengah pemandu teksi yang saya kira 'menipu harga'. saya pernah dikenakan bayaran dua kali ganda daripada yang sepatutnya, alasannya kerana mereka terpaksa menunggu (walau seketika sahaja) dan hujan (dua kali ganda bayaran). ya, sebagai PENGGUNA YANG TERDESAK, saya tidak mahu memanjangkan hal tersebut. ingatlah, sekali anda terlepas, tak selama anda terlepas. kita sama-sama mencari rezeki dengan cara masing-masing, beringatlah!

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...