terima kasih buat kalian semua..

Friday, February 18, 2011

Padah guna jurunikah palsu !!


SETIAP kali diajukan hasrat untuk berkahwin dengan Rahman (bukan nama sebenar), ada sahaja jawapan yang menghalang dari mulut ayah Zira (bukan nama sebenar).

Ayahnya langsung tidak faham gelodak jiwa mudanya yang sekian lama menunggu masa untuk disatukan dengan lelaki yang dicintai itu.

Zira dan Rahman sudah lama menjadi merpati dua sejoli. Hubungan mereka berdua bukan sekadar untuk minum-minum sahaja malah sudah lebih daripada itu.

Pernah beberapa kali, Zira hampir 'menyerah diri' ketika hangat dibuai asmara oleh Rahman ketika asyik bermadu kasih sambil disapa bayu lembut di tepian pantai.

Zira akui dirinya begitu lemah ketika berdampingan dengan Rahman, lelaki yang ditafsirkan begitu bijak dalam memujuk rayu. Ia membuatkan gadis manis ini bertekad bahawa tidak akan ada sesiapa yang boleh menghalang perkahwinannya dengan Rahman.

Lagi pun hubungannya dengan Rahman semakin intim. Zira tidak sanggup lagi untuk berjauhan dari lelaki yang semakin hari membuatnya resah sepanjang malam.

Tanpa berfikir panjang, demi cintanya terhadap Rahman, Zira menipu bapanya mengatakan mahu mengunjungi salah seorang rakan di luar daerah.

Zira dan Rahman sebenarnya telah nekad untuk bernikah senyap-senyap di sebuah tempat yang jauh dari negeri asal mereka.

Semenjak itu Zira tidak lagi pulang ke rumah kerana menyewa di rumah lain bersama Rahman tanpa pengetahuan keluarga.

Selepas bernikah, Zira merasa begitu gembira memandangkan Rahman sudah menjadi miliknya dan mereka berdua mabuk dalam lautan asmara kehidupan suami isteri.

Bagaimanapun nasib keduanya sungguh malang apabila rumah mereka diserbu oleh penguatkuasa dari Jabatan Agama.

Lebih malang lagi apabila surat nikah yang ditunjukkan itu didapati tidak sah. Rupanya selama ini kedua-duanya telah ditipu kerana dinikahkan oleh jurunikah palsu.

Lebih menyedihkan apabila pernikahan Zira dan Rahman terpaksa dibawa ke mahkamah untuk dibubarkan kerana didapati tidak sah dari segi undang-undang Islam.

Peristiwa ini wajar dijadikan pengajaran kepada anak-anak muda supaya tidak terperangkap dengan jurunikah palsu memandangkan kes ini pernah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Ia membabitkan plaintif (perempuan) telah memfailkan tuntutan yang mendapat persetujuan defendan (lelaki) untuk membubarkan atau memfarakkan pernikahan keduanya di mahkamah.

Kes ini dirujuk mengikut Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mengikut fakta kes, pernikahan itu telah diurus dan diatur sepenuhnya oleh kedua-duanya dengan menggunakan wali hakim selepas plaintif mempercayai semasa pernikahan, bapanya telah murtad.

Tetapi, setelah mendapati surat nikah itu palsu, maka plaintif ingin membubarkan perkahwinan tersebut.

Plaintif juga mendakwa wali hakim yang digunakan juga diragui status kewaliannya kerana tidak dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan serta tidak ditauliahkan sebagai wali hakim.

Malah Jabatan Agama Negeri berkenaan juga telah mengesahkan bahawa sijil pernikahan mereka itu palsu.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam keputusannya mensabitkan plaintif (perempuan) tidak menggunakan wali hakim yang diiktiraf dari segi hukum syarak dan undang-undang semasa pernikahan dijalankan.

Mahkamah juga mensabitkan pasangan itu dengan pernikahan fasid kerana salah satu daripada syarat atau rukun nikah tidak dapat dipenuhi.

Sehubungan itu mahkamah memfarakkan (membubarkan) pernikahan kerana didapati tidak sah mengikut hukum syarak dan undang-undang.

Mahkamah memerintahkan supaya surat nikah asal yang dikeluarkan di negeri berkenaan juga dibatalkan.

Selain itu plaintif (perempuan) diperintah beredah tiga kali suci jika ingin berkahwin selain dengan defendan (lelaki).

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...