terima kasih buat kalian semua..

Thursday, February 10, 2011

Polis sendiri akui talian kecemasan 999 LAMBAT !!


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya peka dengan modus operandi kumpulan jenayah yang menggunakan kaedah melanggar kenderaan mangsa sebagai taktik untuk menyamun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, orang ramai yang terlibat dalam kemalangan di jalan-jalan atau lebuh raya terutama kawasan sunyi pada waktu malam, diminta terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Kegiatan penjenayah yang berpura- pura melanggar belakang kereta mangsa sebelum melarikan barang-barang berharga termasuk kenderaan sudah banyak kali dilaporkan sebelum ini.

"Ia bukan modus operandi jenayah baru dan wajar diambil iktibar oleh pengguna jalan raya yang lain," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian menimpa Pengarang Sukan Utusan Malaysia, Meor Harman Meor Shakri yang disamun empat lelaki menggunakan taktik langgar belakang kereta berhampiran Plaza Tol Rawang di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, kereta mangsa jenis Honda Civic dilarikan penjenayah terbabit yang salah seorang daripadanya bersenjatakan parang.

Modus operandi serupa turut menimpa seorang wartawan akhbar Guong Ming kira-kira tiga bulan lalu, di salah sebuah kawasan perumahan di Rawang mengakibatkan mangsa kehilangan kereta dan barangan berharga yang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan kereta mangsa.

Mengenai dakwaan Meor Harman bahawa pihak berkuasa lambat menghantar bantuan sedangkan hampir sejam sudah menghubungi panggilan kecemasan 999, Abdul Rahim berkata, masalah tersebut tidak timbul jika mangsa menghubungi terus pusat kawalan polis daerah.

"Panggilan kecemasan 999 dikawal oleh Telekom Malaysia dan ia terpaksa melalui beberapa prosedur sebelum disampaikan kepada kita menyebabkan laporan lambat diterima.

"Atas sebab itu, saya nasihatkan orang ramai supaya menyimpan nombor pusat kawalan polis di setiap daerah agar senang dihubungi jika berlaku kecemasan," ujarnya sambil memberitahu beliau bagaimanapun sudah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan mangsa.

Selain itu, Abdul Rahim turut menasihatkan mangsa langgar belakang supaya tidak berunding di tempat kejadian tetapi segera mencatatkan nombor pendaftaran, jenis dan warna kereta yang melanggar mereka.

Katanya, selepas mencatatkan maklumat tersebut, segeralah pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...