terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, February 22, 2011

Politik, ahli lembaga pengarah dan tadbir urus GLC..


DI Malaysia apa sahaja isu mudah disensasikan. Terbaru, isu mengenai sama ada ahli politik wajar terlibat sebagai ahli lembaga pengarah (ALP) di syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Seperti biasa ada yang menyokong dan ada juga yang tidak menyokong.

Terlebih dahulu, kita perlu mengetahui sistem tadbir urus syarikat di Malaysia terutamanya syarikat besar dan GLC. Syarikat-syarikat Malaysia mengguna pakai sistem unitary (Anglo-Saxon) berkiblatkan negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan British.

Sistem tadbir urus ini hanya mempunyai satu lembaga pengarah dan tidak sama sebagaimana sistem duality yang diguna pakai oleh negara seperti Jerman. ALP diketuai oleh seorang pengerusi, manakala ketua pihak pengurusan tertinggi ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). CEO juga merupakan sebahagian daripada ALP. Apa-apa keputusan dibuat secara kolektif semasa mesyuarat ALP.

Memang benar, ada sebahagian ALP terdiri daripada bekas ahli politik. Tetapi persoalannya berapa ramaikah mereka ini menduduki kerusi ALP terutamanya GLC? Sejauh mana pula, mereka ada kepentingan peribadi? Tidakkah kita ketahui bahawa bekas-bekas pegawai tertinggi kerajaan yang lebih ramai dilantik menjadi ALP? Bekas ahli politik atau ahli politik adalah golongan minoriti. Syarikat-syarikat di Malaysia termasuklah GLC dikuasai oleh pihak pengurusan profesional dan ahli perniagaan.

Menurut tadbir urus yang baik, ALP seharusnya mempunyai kepelbagaian bidang kepakaran dan latar belakang. Tidak boleh dikuasai oleh satu pihak sahaja agar mengurangkan potensi berlakunya penyelewengan.

Dalam perniagaan, dua perkara patut dititikberatkan. Pertama, tahu siapa (know who) dan kedua tahu bagaimana (know how). Kedua-keduanya amat penting.

Mungkin ada yang berpendapat, know who lebih ke arah perkara negatif seperti hanya kenal orang tentu sahaja untuk kepentingan peribadi, tetapi bolehkah kita menyangkal bahawa know who ini sebenarnya jaringan perniagaan yang sememangnya cukup penting dalam mana-mana perniagaan? Sebab itulah, sesebuah perniagaan akan berjaya jika adanya kombinasi kepakaran (know how) dan know who (inilah kelebihan ahli politik dan bekas pegawai tertinggi kerajaan).

Persepsi buruk mengenai ahli politik membuatkan ramai pihak beranggapan mereka tidak layak. Memang benar ada ahli politik yang terlibat dalam penyelewengan, namun perlu diingat, ahli politik sejati dilatih berkorban untuk rakyat.

Bagi ahli perniagaan sejati yang berkiblatkan sistem kapitalis, keuntungan merupakan faktor utama. Sebab itulah, penulis kurang bersetuju dengan konsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) acuan Barat yang hanya membantu masyarakat setelah mengaut keuntungan melampau daripada masyarakat itu sendiri.

Contohnya, harga barangan dinaikkan sesuka hati, barangan disorok dan caj dikenakan atas perkhidmatan yang tidak pun dilanggan sama sekali. Ini semuanya kerana kerakusan materialistik, dan keuntungan yang dijana secara besar-besaran cuba "dihapuskan dosa" tersebut melalui pelbagai sumbangan kepada masyarakat. Ini cara Robin Hood. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Lebih baik, berniaga secara beretika dan meletakkan CSR sebagai perkara pokok semata-mata untuk masyarakat, nescaya keuntungan akan datang selepas itu.

Selain itu, kajilah penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku, kebanyakannya dilakukan oleh ahli-ahli korporat itu sendiri. Tidak kiralah di negara yang kononnya hebat seperti AS mahupun negara kita sendiri, Malaysia. Kalau pembaca berkeinginan buktinya, bukalah laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Siapakah mereka yang terlibat dengan penyelewengan-penyelewengan ini.

Bahkan, punca utama krisis subprima di AS yang menggoncang seluruh dunia pun disebabkan oleh ahli-ahli korporat. Kerana terlalu rakus, bank-bank di AS telah memanipulasikan pelanggan-pelanggan mereka. Pelbagai helah penipuan dilakukan oleh mereka.

Mereka pula disokong oleh sistem ekonomi yang dilaksanakan oleh seorang tokoh yang amat berkuasa ketika mengetuai Rezab Persekutuan AS. Pembaca bolehlah mengkaji latar belakang beliau.

Satu lagi contoh penyelewengan yang menggemparkan seluruh dunia ialah skandal Enron-Arthur Andersen (AA) di AS pada tahun 2001. Bukan sahaja ahli perniagaan melakukan penipuan tetapi juga berkomplot dengan seorang juruaudit di firma audit ternama, iaitu AA. Akhirnya, AA sendiri terpaksa bungkus tikar. Satu rekod yang tidak pernah berlaku selama ini.

Maka, yang perlu diperbaiki ialah mencapai tadbir urus yang terbaik. Kualiti ALP ialah mereka yang paling layak dan terbaik, kombinasi pelbagai kepakaran, gabungan pengarah bebas, bukan eksekutif dan eksekutif (untuk check and balance) dan sentiasa mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan permasalahan syarikat.

Kekuatan inilah yang boleh mempengaruhi pasaran di samping faktor-faktor lain seperti integriti pihak pengurusan, pelabur institusi, kualiti juruaudit dan turun-naik pasaran dunia. Jadi, wajarkah kita menghukum ahli politik yang paling layak dan terbaik di kalangan kita dalam memberi sumbangan idea dan tenaga untuk GLC semata-mata kerana mereka telah menceburi bidang politik?

Oleh ROHAMI SHAFIE

Penulis ialah Pensyarah Kanan

Perakaunan dan Kewangan

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...