terima kasih buat kalian semua..

Saturday, February 19, 2011

Rela dimadu..


Isteri tua isi borang restu suami poligami demi saudara baru

MANA ada wanita sanggup dimadukan namun kalau sudah ditakdirkan, buat apa cara sekali pun untuk mengelakkannya, ia tetap berlaku juga

“Saya terpaksa menelan pahit bermadu dan reda menerima kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga. Walaupun berat dugaan itu, sebagai Muslim saya kena terima hakikat poligami dibenarkan Islam. Ini jalan terbaik untuk mengelak hubungan gelap sehingga melahirkan zuriat tak sah taraf”.
Itu antara mukadimah Noni ketika menceritakan hal keluarga besarnya. Noni isteri pertama dan ibu lapan anak yang semuanya sudah besar dan bekerja, hanya seorang masih bersekolah. Tiga anak kecil yang dibawa pada satu majlis pengajian agama adalah anak madunya dan Noni tak malu mengaku status anak itu kepada jemaah masjid.

“Mereka rapat dengan saya dan sentiasa mengikut saya ke kelas agama. Mereka sanggup bangun awal untuk ke masjid bersama saya,” katanya sambil menambah madunya mempunyai lima anak, termasuk seorang masih bayi. Mereka tinggal berasingan tetapi rumah berdekatan.

Sebelum bertemu jodoh dengan suami, Noni pernah berkawan dengan seorang lelaki bukan Muslim yang memang mencintai dan ingin memperisterikannya, tetapi kerana kurang pengetahuan agama ketika itu dan khuatir tidak dapat membimbing, lamaran ditolak, tambahan pula keluarga kekasih terlalu kuat pegangan agamanya, terutama si bapa yang juga seorang paderi.

Noni kemudian berkahwin dengan suaminya sekarang dan ia memberi tamparan hebat kepada bekas kekasih yang memang nekad memeluk Islam dan akhirnya berkahwin dengan gadis Melayu lain. Tentu pembaca tertanya-tanya apa kaitannya lelaki itu dengan keredaan Noni menerima madunya sekarang?
Tanpa disangka, selepas mengharungi hidup berumah tangga dan mempunyai lapan anak, tiba-tiba Noni diduga pula dengan kehadiran wanita bukan Muslim yang begitu menyayangi suami dan sanggup meninggalkan agamanya. Berbeza kali ini, wanita itu menagih simpatinya untuk menumpang kasih dan perlindungan suami kerana minatnya kepada Islam.

“Apabila berdepan dengan wanita ini, hati saya luluh. Saya membuang jauh-jauh perasaan pentingkan diri demi menyelamatkan seorang insan yang sedia memeluk Islam. Saya bersedia menerima madu kerana yakin dapat membimbingnya berdasarkan pengetahuan agama yang ada dalam diri,” katanya yang membuat semua urusan termasuk mengisi borang membenarkan suami berpoligami.

Kak Ani betul-betul terpegun dengan ketulusan hati Noni menerima kehadiran madunya. Noni percaya suami mampu berlaku adil berdasarkan sikapnya yang baik dan kuat bekerja, namun sebagai wanita biasa, pasti ada sekelumit perasaan cemburu terhadap madu, tetapi Noni berusaha membuang perasaan itu jauh-jauh.

Ilmu agama yang dipelajari di kelas pengajian formal atau tidak, menjadi sandaran untuknya melalui kehidupan bermadu dan reda di atas ketentuan Ilahi. Menurut Noni, pengisian ilmu agama penting kerana dapat mengimbangi segala tindakannya dalam menempuh cabaran kehidupan harian dan dia tidak pernah membataskan diri dalam mengejar ilmu agama.

“Saya lebih suka kelas agama yang membuat ujian bagi menilai kemajuan pelajar, dengan itu saya dapat menilai pencapaian saya. Sebagai saudara baru Islam, madu saya memang perlukan bimbingan saya. Ilmu yang saya peroleh di kelas dan kuliah agama, saya gunakan untuk membimbingnya.

“Kali ini saya bersedia membimbing madu supaya mengamalkan ajaran Islam. Setiap bulan saya adakan kumpulan usrah di rumah dan menjemput guru agama. Melalui kelas ini, saya berupaya mengubat hati supaya lebih tabah berdepan ujian, begitu juga dengan madu dapat meningkatkan keimanannya.

“Tidak semua orang berminat mendengar ceramah agama. Oleh kerana madu saya lebih berminat kepada kegiatan luar, dia saya beri tugas menguruskan soal kewangan dan menghantar pelajar ke sekolah. Cara bekerja sambil belajar nampak berkesan untuk mendekatkan madu dengan ajaran Islam,” katanya.

Kalau bercakap fasal poligami, kita banyak dengar kes isteri tua makan hati disebabkan suami terlebih memberi kasih kepada isteri muda. Apa yang kita dengar amalan poligami lebih banyak keburukan daripada kebaikan sehingga ada suara membela nasib wanita menentang poligami.

Malangnya dalam keghairahan menentang apa yang dihalalkan Islam, mereka tidak pula menentang suami yang memiliki kekasih gelap atau perempuan simpanan. Di sinilah Kak Ani nampak kelemahan wanita yang sepatutnya mempunyai rasa simpati terhadap wanita yang menjadi mangsa godaan lelaki dan merelakan diri terdampar di lembah maksiat.

Kak Ani percaya kalaulah ada ramai wanita membuat persediaan seperti Noni, rasanya aman dunia. Tak adalah wanita berebut suami seperti filem Madu Tiga arahan seniman agung P Ramlee atau isteri tua ditetak madu seperti dilapor media. Kalau anggap dunia sebagai persinggahan sementara, kita tak akan tamak atau mengejar kebendaan semata-mata.

Bagi lelaki yang ingin berpoligami, hayati firman Allah dalam Surah Nisa’:3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.

Bersama Kak Ani


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...