terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, February 1, 2011

RON 95: Jangan hanya fikir untung saja!!


Kereta milik warga negara jiran diisi RON95 di sebuah stesen minyak milik rakyat negara ini.



LANGKAH kerajaan memperkenalkan minyak petrol RON95 dengan harga subsidi bertujuan memberikan kemudahan kepada rakyat negara ini supaya mereka yang kurang berkemampuan dapat membeli petrol pada harga lebih murah.

Namun, sikap sesetengah pengusaha stesen minyak yang ingin mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan pengaliran wang subsidi kerajaan kepada warga asing sangat dikesali.

Kelmarin, semasa saya ingin mengisi petrol di salah sebuah stesen minyak milik rakyat tempatan di sebuah bandar di negeri ini, saya terpandang sebuah kereta milik warga jiran sedang mengisi RON95 di stesen berkenaan.

Saya pasti kerana, stesen berkenaan memang tiada langsung menjual RON97 dan kemudian saya mengisi minyak di pam yang sama.

Semua pam di stesen berkenaan hanya menjual diesel dan petrol RON95 sahaja. Sudah pasti warga asing tersebut menerima subsidi daripada duit pembayar cukai rakyat Malaysia.

Saya pasti, jika di pekan kecil pun mereka mengisi RON95, apatah lagi di bandar besar di negeri ini yang kemasukan warga jiran setiap hari begitu ramai.

Ini belum dikira lagi mereka yang membeli gula, beras, tepung, minyak masak dan barangan lain yang turut diberikan subsidi kerajaan yang sepatutnya hanya berhak dinikmati rakyat tempatan.

Justeru, saya berharap agar para peniaga dan pengusaha stesen minyak tidak terlalu tamak mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada ekonomi negara.

Kita tidak harus terlalu bergantung kepada penguatkuasaan kerana negara ini banyak pasar raya, kedai serta stesen minyak yang menjual barangan dengan harga subsidi.

Mereka perlu lebih bersifat patriotik dan jujur dalam membantu kerajaan supaya pengaliran keluar wang negara tidak berlaku sewenang-wenangnya.

Sekiranya semua penduduk negara ini bersikap tegas dan mencintai negara, perkara ini mungkin dapat dikurangkan dan faedahnya juga akan kembali kepada kita.

Sehubungan itu, saya menyeru supaya rakyat negara ini lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam membantu dalam menjana ekonomi negara.

PEMBAYAR CUKAI BENGANG

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...