terima kasih buat kalian semua..

Friday, February 11, 2011

Sebulan berkahwin masih dara !!


SAKIT sungguh hati Dila (bukan nama sebenar) kerana sebaik sahaja melangkah ke pintu masuk pejabat diperli sampai naik panas telinga dengan gelaran ‘pengantin baru’.

Lebih memualkan anak tekaknya, apabila rakan-rakan sepejabat beria-ia mengatakan dia bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Gelodak jiwanya tiada siapa yang tahu, masing-masing hanya tahu bercakap yang indah mengenai perkahwinan sedangkan Dila sendiri tidak pasti dengan haluan perkahwinan yang baru dibinanya itu.

Sungguh memalukan jika orang tahu bahawa dirinya sebenarnya langsung tidak pernah disentuh oleh suami malah masih mengekalkan dara walau telah hampir sebulan bergelar isteri orang.

Sudahlah selepas selesai majlis perkahwinan, Haris terus mengajaknya pulang ke Kuala Lumpur kerana kononnya tidak boleh bercuti lama disebabkan banyak tugas perlu diselesaikan.

Semenjak itu, Haris bukan sahaja memberi pelbagai alasan setiap kali diajak untuk ‘bersama’ termasuk urusan kerja di luar daerah, kerja banyak di pejabat sehingga pulang lewat, letih, tak sihat dan sebagainya.

Dila yang selama ini menjadi rebutan lelaki disebabkan oleh paras rupa yang menawan malah bentuk badan yang menggiurkan itu sebenarnya sekadar menjadi objek biasa pada suaminya.

Sedangkan ketika bercinta, Haris bukan saja begitu cemburu sekali dengan setiap lirikan mata lelaki ketika mereka berdua berjalan seiringan malah juga tidak jemu-jemu memuji kecantikan yang dimiliknya.

Dila juga berbangga kerana Haris bukan lelaki sebarangan kerana menjadi impian ramai wanita termasuk dirinya sendiri yang dianggap bertuah dilamar oleh lelaki kacak dan bertubuh sasa itu.

Apa yang diimpikan selama ini untuk dicumbui mesra seperti pengantin baru yang lain berlalu begitu sahaja.

Suaminya akan terus terbujur kaku sebaik sahaja melabuhkan badan di atas katil. Dila dibiarkan sendirian melayari malam tanpa belaian kasih sayang suami.

Dila begitu rindukan kenangan ketika dia dan Haris sedang diamuk cinta, rasanya tiada lagi pujuk rayu yang begitu indah berbisik ke telinganya setiap kali mereka bertemu.

Sayang sekali sejak diijab kabul, semua kasih sayang itu seakan lenyap malah Haris juga sanggup membiarkan dirinya terbiar tanpa sentuhan seorang suami.

Tiba masa untuk mereka berdua meraikan percutian berbulan madu di sebuah pulau tersohor, Dila mula membayangkan akhirnya masa ini dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah yang ditanggung selama ini.

Dilla tidak menyangka apabila dia menyuarakan sikap dingin suaminya itu telah menimbulkan rasa kemarahan amat sangat kepada Haris sehingga mengeluarkan perkataan yang menandakan berakhirnya perkahwinan yang dibina baru sebulan itu.

Akhirnya Dila menjadi ‘janda berhias’ yang merupakan antara kes penceraian yang diselesaikan oleh Mahkamah Syariah Gombak Timur.

Dalam kes ini, suami Dila telah melafazkan perkataan ‘awak balik ke rumah ibu bapa’ ketika kedua mereka berada di sebuah pusat peranginan.

Ketika itu mereka baru genap sebulan mendirikan rumah tangga.

Mahkamah merujuk kes ini mengikut Seksyen 57 (Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor) 2003 iaitu untuk pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah.

Di bawah seksyen ini juga, suami boleh dikenakan hukuman denda melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali terhadap suami yang didapati.

Selain itu dalam kes ini juga, Dila memberitahu di sepanjang perkahwinan itu dia langsung tidak disetubuhi oleh suaminya.

Berikutan itu, kes Dila ini dirujuk mengikut Seksyen 18 (1) (b) (Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor) di mana jika seorang perempuan itu bercerai sebelum disetubuhi oleh suami ketika dalam perkahwinan, maka wanita itu tidak boleh dalam masa ‘idah perceraian biasa’, berkahwin dengan seseorang yang lain daripada suaminya yang dahulu itu kecuali dengan kebenaran Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat pengantin wanita bermastautin.

Hakim Wan Mahyuddin Wan Mohamad ketika mendengar pengesahan cerai itu menasihatkan supaya kes ini menjadi pengajaran kepada mana-mana suami supaya tidak melafazkan cerai dengan sesuka hati.

Katanya, lafaz cerai yang dilakukan di luar dari mahkamah merupakan satu tindakan yang disifatkan sebagai menzalimi kaum wanita.

Ini kerana jika kes penceraian dibawa ke mahkamah maka ini akan memberi peluang kepada isteri untuk membela dirinya supaya lafaz cerai dapat dilakukan dengan bersebab.

Hakim Syarie ini melahirkan rasa kesal dengan tindakan pasangan muda hari ini yang bersikap ambil mudah terhadap institusi perkahwinan sehingga sanggup bercerai walau baru sebulan diijabkabul.

Katanya, perkahwinan sebenarnya satu ibadah di mana setiap pasangan itu perlu bersabar untuk menemui keserasian antara satu sama lain dalam tempoh yang panjang.

1 comment:

  1. mgkin pihak lelaki ade mslah kesihatan..mintak dijauhkan bnde2 mcm nie...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...