terima kasih buat kalian semua..

Monday, February 7, 2011

Terkulai di Hari Valentine !!


Hari ini Ina (bukan nama sebenar) tidak sabar menunggu kekasihnya, Shahril (bukan nama sebenar) di tempat kerja. Sebagaimana yang telah dirancangkan lama dahulu, Ina berharap Shahril akan membawanya pergi makan bersama setelah lama mereka tidak keluar berdua kerana masing-masing terlalu sibuk dengan kerja.

Apatah lagi hari itu adalah malam sambutan Hari Valentine. Malam untuk mereka berdua memadu kasih dan asmara serta mengubat rindu.

Tepat pukul 7 malam, sebagaimana dijanjikan, Shahril telah terpacak di pintu pejabat Ina. Manakala Ina yang amat gembira dengan kedatangan kekasih hatinya itu sudah siap dengan pakaian baru yang agak ‘sendat’ untuk meraikan pertemuan mereka pada malam itu.

Shahril membawa Ina ke restoran yang agak tersohor di ibu kota yang telah ditempah khas untuk mereka berdua. Setelah makanan yang dipesan siap dan dihidangkan, mereka berdua makan di bawah cahaya lilin.

Pada malam itu Shahril telah menghadiahkan Ina dengan sebentuk cincin bertatahkan permata yang dibelinya beberapa hari sebelum itu.

Pada awalnya, pertemuan yang dirancang itu akan berakhir secepat mungkin kerana Shahril berjanji akan menghantar Ina pulang ke rumah setelah selesai makan malam.

Namun memandangkan malam masih ‘muda’, Shahril telah mengajak Ina berjalan-jalan ke taman.

Masa yang berlalu dengan pantas menyebabkan mereka tidak merasakan waktu telah lewat malam. Ina dan Shahril yang melabuhkan punggung masing-masing di suatu tempat yang agak tersorok daripada pandangan orang ramai mula ‘larut’ dalam suasana malam.

Tidak kesampaian

Suasana yang pada mulanya hanya diraikan dengan ucapan sayang dan berpegangan tangan akhirnya telah jauh dari batasan susila.

Ina yang lemas dalam rangkulan Shahril membiarkan apa sahaja yang diperlakukan pemuda itu semahunya ke atas tubuhnya yang semakin terdedah.

Mujur perlakuan itu tidak jauh terlanjur apabila mereka diberkas oleh pegawai pencegah maksiat yang menjalankan operasi membanteras maksiat bagi pasangan yang meraikan hari kekasih pada malam itu.

Bukan itu sahaja, rupa-rupanya terdapat beberapa pasangan lagi yang turut diberkas atas kesalahan yang sama pada malam tersebut.

Kesemua pasangan yang berkhalwat itu telah didakwa mengikut Seksyen 29 (1) A & B Enakmen Jenayah Syariah Selangor, No: 9 1995 (khalwat).

Jika disabitkan kesalahan ia boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang ditahan ialah pasangan teruna dan dara serta duda dan janda adalah antara pasangan Islam yang telah ditangkap pada malam tersebut sehingga dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam nota penghakimannya ketika menjatuhkan hukuman menasihatkan pasangan-pasangan ini supaya tidak menjadikan sambutan Hari Valentine dengan melakukan maksiat.

Katanya, populariti Hari Valentine atau Hari Kekasih pada setiap kali tanggal 14 Februari yang merupakan budaya barat kini semakin menular di negara ini.

Biarpun sambutannya memang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih yang menganut agama Kristian, sayang sekali ada di kalangan orang Islam yang telah terikut-ikut dengan budaya ini.

Lebih menyedihkan kerana ada di kalangan orang Islam memilih tarikh Hari Kekasih sebagai masa yang sesuai untuk melakukan maksiat bersama pasangan masing-masing.

“Masing-masing sibuk mencari hotel dan ada yang sanggup menempah bilik hotel dengan lebih awal sebagai acara penting untuk meraikan malam Valentine dengan pasangan.

“Berikutan itu tak hairanlah apabila tibanya malam Valentine, ramai pasangan Islam yang dicekup kerana berkhalwat dengan pasangan masing-masing.

“Kenyataannya sambutan malam Hari Valentine sudah bertukar menjadi malam yang sungguh malang apabila akhirnya diri dijerat oleh hawa nafsu sendiri,’’ katanya.

Ujar Wan Mahyuddin, budaya itu yang tidak membawa kebaikan tidak sepatutnya diserapkan ke dalam kehidupan oleh umat Islam.

Tambahnya, bagi kes pertama yang disabitkan dengan seksyen berkenaan melibatkan pasangan dara dan teruna yang masing-masing berusia 31 dan 27 tahun itu,

Pasangan itu tidak menyangka sama sekali niat untuk berseronok pada malam Valentine di sebuah hotel murah akhirnya terbongkar dalam suasana yang memalukan.

“Lebih memalukan apabila kedua-duanyanya dihadapkan ke Mahkamah Syariah. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 setiap seorang dan kedua-duanya membayar denda tersebut.

“Sebelum dijatuhkan hukuman, mereka merayu dikurangkan hukuman memandangkan akan melangsungkan perkahwinan serta berjanji tidak akan melakukan lagi perbuatan maksiat itu lagi.

“Satu lagi kes khalwat pula antara duda dan janda yang juga menggunakan kesempatan sambutan Hari Kekasih untuk berdua-dua melepaskan hawa nafsu di bilik hotel.

“Bagaimanapun perbuatan maksiat mereka itu berjaya dihidu oleh pihak berkuasa apabila ditahan atas tuduhan berkhalwat,’’ ujarnya.

Katanya, janda beranak dua dan duda yang masing-masing berusia 30 tahun itu mengaku bersalah. Malah kedua-duanya juga berjanji tidak akan melakukan perkara tersebut dan bertaubat. Pasangan ini dikenakan denda RM2,000 dan masing-masing membayar denda tersebut.

Kata Wan Mahyuddin, kisah dua pasangan ini wajar dijadikan iktibar kepada umat Islam lain supaya bukan sahaja tidak menggunakan malam Hari Valentine untuk melakukan maksiat malah tidak menurut nafsu buas sehingga terlupa bahawa telah melakukan dosa.

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...