terima kasih buat kalian semua..

Friday, February 4, 2011

Volvo S60 kereta paling selamat di dunia?


Rasa cemas dan bimbang sememangnya tidak dapat dinafikan dialami oleh para pemandu termasuk penulis sendiri apabila memandu kereta ketika hujan lebat terutamanya dengan jarak penglihatan hampir sifar.

Bagaimanapun, perasaan sebegitu ternyata tidak dirasai dengan ketara sewaktu memandu kereta Volvo S60 yang bergerak laju ketika melalui lebuh raya di selatan tanah air. Sesiapapun akan merasai sedemikian apabila mengetahui kereta yang dipandu diakui kenderaan paling selamat di dunia, setakat ini.

Kereta S60 yang mempunyai rangka binaan mampu mengurangkan impak apabila berlaku gulingan, antara lain turut mampu mengenalpasti sebarang kecenderungan kegelinciran pada tahap awal, ini akan meningkatkan keupayaan pengendalian pemandu, sekali gus membolehkannya membuat tindak balas pengelakan dengan pantas.

Selain itu, ia mempunyai kawalan ketika mengambil selekoh yang mana roda dalaman kereta yang dipandu dibrek, sambil lebih kuasa dialirkan kepada roda luaran kereta untuk melancarkan pengambilan selekoh tajam sambil mengurangkan kecenderungan tersasarnya pengemudian stereng.

Jadi, tidak menghairankan S60 disifatkan sebagai kereta paling dinamik, menakjubkan dan salah sebuah produk berprestasi tinggi dalam segala aspek bagi mengorak langkah sebagai kereta generasi baharu yang akan mengubah masa depan produk buatan Sweden itu.

Kereta sedan gaya sporty itu yang akan dilancarkan di Malaysia pada Mac ini juga mempunyai lebih banyak ciri keselamatan berbanding jenama lain dalam segmennya termasuk menjadi kereta pertama di dunia yang menawarkan ciri-ciri inovatif Pengesanan Pejalan Kaki.

Selain keselamatan, reka bentuknya menampakkan keperibadian memandu yang mengujakan selain menawarkan aspek utama seperti keselamatan dan kemewahan. Malah, sifat pemanduannya adalah lebih baik daripada kereta Volvo yang terdahulu.

Daripada segi bentuk keseluruhan S60 baharu itu seakan-akan kereta sedan coupe dengan pengeluarannya telah direka supaya kelihatan kukuh pergerakannya untuk memberikan nikmat pemanduan bahkan sebelum pemandu mula memandunya.

Ini kerana setiap perincian dalaman diambil kira. Instrumen dan susunan pusat dicondongkan menghadap pemandu untuk memberikan rasa sensasi fokus dan kawalan. Malah, stereng baharu tiga jejari yang dinamik dan kerusi yang sporty berserta tambahan sokongan sisi didatangkan sebagai ciri standard.

S60 mempunyai sistem juga mempunyai sistem 'infotainment' yang mana maklumat daripada unit audio, sistem navigasi, telefon bimbit dan fungsi lain disajikan pada skrin paparan berwarna berukuran 5 inci' atau 7 inci "yang dipasang tinggi di bahagian atas konsol tengah. Ini bermakna pemandu boleh mengakses kesemua fungsi melalui kawalan stereng.

Di Malaysia, kereta berkenaan di datangkan dengan standard dinamik yang baharu dibangunkan, cesi aktif empat-c, satu istem berjaga-jaga yang boleh disesuaikan sendiri berasaskan sensor untuk memberikan kawalan lebih baik dan selesa berbanding kereta Volvo model yang terdahulu.

Berbalik kepada keselamatan dalam pemanduan, Volvo mengambil pendekatan yang menyeluruh terhadap keselamatan merangkumi pencegahan dan perlindungan dan ini diperlihatkan oleh S60 yang dilengkapkan dengan penyelesaian teknologi tinggi aktif untuk membantu pemandu mengelak kemalangan.

Ciri-ciri keselamatan itu termasuk keupayaan pengesanan pejalan kaki dengan kereta akan membrek secara automatik apabila pejalan kaki melintas di hadapaan kereta di mana ia memberi amaran kepada pemandu dan secara automatik menggunakan kuasa brek yang penuh jika pemandu tidak bertindak balas tepat pada waktunya.

Dalam penyelesaian inovatif ini, Pengesanan Pejalan Kaki boleh mengelakkan pertembungan dengan pejalan kaki pada kelajuan sehingga 35 kilometer (km) sejam sekiranya pemandu S60 tidak bertindak balas dalam masa yang tepat. Ia merupakan usaha untuk mengelakkan impak yang besar apabila berlakunya kemalangan.

Begitu juga kereta akan brek secara automatik jika pemandu gagal bertindak balas tepat pada waktunya ketika kenderaan di hadapan bergerak perlahan, berhenti atau memandu terlalu laju pada kelajuan 30 km sejam ke arah objek yang tidak bergerak.

Selain itu, sistem Perlindungan Tergelincir (ROPS), pula adalah teknologi sensor canggih, pra-ketegangan mengetatkan tali pinggang keselamatan dan Tirai Boleh Kembung (IC) bersedia untuk disebarkan dalam kes kereta tergelincir manakala sistem amaran perlanggaran dengan Brek Automatik (CWAB) memberikan amaran dan secara automatik membrek jika kereta berisiko merempuh kenderaan lain daripada belakang

Malah, jika tidak cukup dengan itu, S60 juga mempunyai sistem Kawalan Amaran Pemandu (DAC) untuk mengesan dan memberi amaran kepada pemandu yang penat dan terganggu selain memiliki Sistem Maklumat Spot Tidak Kelihatan (BLIS) untuk mengesan kenderaan di bahagian belakang tempat yang tidak kelihatan di kedua-dua sisi Volvo S60 untuk pasaran Malaysia akan didatangkan di dalam warna baru, Tembaga Terang dan Merah Flamenco.

Kereta berkenaan secara rasmi dijadual akan berada di pasaran pada 23 Mac dengan harga dijangkakan antara RM350,000 dan RM290,000 (di atas jalan raya tanpa insurans) bagi kenderaan sedia dipasang sepenuhnya.

Tidak menghairankan dengan reka bentuknya, prestasi pemanduan, inovatif ciri-ciri keselamatan dan kemewahan, S60 dilihat akan menjadi kereta yang mengubah persepsi awam terhadap Volvo secara dramatik dan memacu prestasi ke masa hadapan.

Jadi sekiranya anda menginginkan kereta yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ampuh, mementingkan keselesaan dan juga kemewahan serta bersedia membayarnya, pastinya kereta Volvo S60 adalah pilihan terbaik.

Oleh MOWARDI MAHMUD

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...