terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 8, 2011

Bau badan dijadikan alasan bercerai !!


Isteri curang sengaja cari jalan tuntut dilepaskan

"MASA bercinta semua indah belaka. Bila sudah lama, semuanya jadi pahit, tawar dan masam," kata peniaga, Khairul Amin Adib, 34, (bukan nama sebenar), membuka bicara.
Berat hatinya meluahkan kata kerana bagaikan terpaksa mengingat kembali kenangan lama.

Amin reda apabila mengahwini Effa, 28, (bukan nama sebenar) lima tahun lalu tanpa mendapat restu kedua ibu bapa akibat keterlanjuran. Bagaimanapun, perkahwinan tetap diteruskan.

Tahun pertama agak perit bagi Amin kerana terpaksa bergantung hidup dengan wang pinjaman pengajian. Sungguhpun begitu, Amin tidak mengabaikan tanggungjawab sebaliknya melakukan dua kerja. Siang bertugas sebagai kerani pejabat sementara malam pula bertugas di kedai serba guna selain menjadi penghantar makanan sementara menunggu kelahiran bayi.

“Rezeki anak, Alhamdulillah. Saya dapat tawaran kerja. Dari hanya memakai skuter, saya mampu membeli kereta; dari menyewa rumah sehingga kami mampu membeli pangsapuri. Semua nampak berjalan lancar seperti tiada masalah.

“Namun, pada 2005 satu perubahan besar dalam rumah tangga kami bila isteri terpilih untuk menjadi krew kapal. Saya memberi kebenaran untuk dia mengejar cita-cita, tetapi itu adalah kesilapan besar dalam membuat keputusan. Sejak isteri memulakan kerjayanya di awan biru, mula nampak perubahannya.
“Kami jarang berkomunikasi. Jarang tidur bersama dan kebanyakan masa dia balik dan akan pergi rumah emaknya. Kalau kami pergi bercuti bawa anak, tak macam dulu kerana dia akan berkurung dalam bilik air. Pergi beli-belah dan membiarkan saya tunggu lama...seperti ada yang tak kena,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Puas Amin mencari sebab mengapa Effa berubah sehingga dia terjumpa telefon bimbit kedua milik isterinya ketika membasuh kereta isteri. Hati siapa tak berderai bila membaca teks pesanan ringkas (SMS) yang dihantar lelaki lain.

“Kami gaduh besar. Habis semua saya lepaskan. Tumbuk jam, pintu bilik hingga tahap yang paling teruk saya tampar mukanya. Itu pun satu kesilapan paling besar saya dalam mendidik isteri. Bertindak mengikut amarah sebelum muhasabah diri. Kemudian, isteri membawa anak keluar tinggalkan saya. Waktu itu saya jadi gila, keliru, bingung, marah, sedih, rindu, sayang. Pelbagai perasaan bercampur-baur serta hilang pedoman dan arah.

“Isteri minta diceraikan atas sebab saya tampar dia. Dia tawar hati dan macam-macam dia kata saya, antaranya saya kuat berpeluh, saya gemuk, saya tidak berkemampuan dan berbagai alasan lain untuk bercerai. Saya sangat sayang pada keluarga dan cuba pertahankan,” katanya yang mengakui pergi menjalani sesi kaunseling namun tidak berjaya.

Amin berkata, hati isteri terbuka sekejap. Saat meminta maaf dan berpelukan sambil menangis adalah waktu paling bahagia bagi seorang suami. Tapi kebahagiaan itu tidak kekal apabila Amin membuat silap percaturan berhenti kerja kerana ingin cuba berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Anak kelahiran ibu kota itu cuba membuka gerai makan dengan menjual mi kari dan soto. Tapi jangkaan meleset kerana pulangan tidak seberapa. Setiap hari pulang lewat, badan berbau dan isteri mula hilang minat.

“Dalam diam, sekali lagi isteri membuat percaturan di belakang saya. Tanggal 14 Februari 2009, saya beli cincin dan bungkus elok-elok untuk isteri. Namun, apabila mendapat cincin itu, isteri menangis.

“Saya ingatkan dia menangis sebab dia gembira. Saya silap. Dia menangis kerana kasihankan saya dan mengaku dia tak boleh berlakon lagi sebagai seorang isteri. Dia cerita perihal sebenar. Nak marah tak guna sebab saya tahu kalau saya marah lagi, saya akan kehilangan dia buat selamanya.

“Saya akur keluar dari rumah atas permintaannya. Pada Mac 2009, dia pergi ke mahkamah untuk memfailkan kes perceraian kami. Sebutan yang pertama sebulan kemudian. Memang berat nak melepaskan seseorang yang kita sangat sayang.

“Tetapi, saya perlu terima kenyataan yang saya tak sehebat lelaki yang boleh beri kebahagiaan kepadanya. Dengan sekali lafaz, sah kami bercerai demi permintaan dan kebahagiaannya,” katanya yang mengakui tak semua perceraian itu sukar kalau pasangan itu ada persefahaman bersama.

Amin berkata, walaupun kesnya tidak seteruk dan dramatik orang lain, apa yang dia lihat perceraian bukan satu kegagalan malahan ia adalah pencapaian bersama

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...