terima kasih buat kalian semua..

Saturday, March 19, 2011

Berwaspada daripada terlibat noda, dosa di hujung jari!!!


DUNIA di hujung jari adalah ungkapan yang sering didengar. Ia merupakan suatu fenomena yang mana segala perkara dan maklumat yang berlaku di segenap penjuru dunia boleh diketahui dengan segera melalui kepantasan pelbagai jaringan laman sesawang yang wujud ketika ini.

Namun dosa di hujung jari jarang diperkatakan sehingga ramai yang tanpa sedar terjebak dengan elemen-elemen negatif di sebalik kecanggihan teknologi garapan akal pemikiran manusia yang terhad. Lebih membimbangkan apabila masyarakat Islam secara umumnya terdedah kepada perlakuan dosa di alam maya yang menyumbang pula kepada gejala sosial dan moral yang berpanjangan.

Baru-baru ini, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim mendedahkan betapa perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia semakin membimbangkan. Purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit adalah satu statistik yang menunjukkan bagaimana nilai kasih sayang dan tanggungjawab dalam membina sebuah institusi kekeluargaan Islam mula tercemar dek kerana kurang pemahaman terhadap selok-belok dan peraturan agama.

Akibatnya anak-anak jugalah yang menjadi mangsa dan berkemungkinan menyumbang pula kepada peningkatan statistik salah laku sosial dan moral di kalangan muda-mudi Islam.

Ini ditambah lagi dengan kewujudan laman sembang sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace dan lain-lain yang disalahgunakan. Ada pasangan suami isteri tanpa sedar telah bermain kayu tiga sambil memadu kasih di Internet. Akibat terlalu asyik bersembang lalu segala macam masalah rumah tangga diluahkan kepada individu maya yang tidak dikenali. Kemungkinan juga terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku.

Ada pula yang telah bergelar suami dan isteri berlagak seperti anak muda apabila bertemu kekasih maya sehingga asyik bercinta walaupun anak berderet dan rumah tangga tidak terurus sehingga terlibat pula melakukan dosa zina dan mengundang perceraian yang dimurkai Tuhan.

Kalangan pelajar sekolah juga turut terpalit sama. Ada yang leka bersembang siang dan malam sehingga tugasan mengulang kaji pelajaran terabai. Pelbagai laman sesawang yang berunsur pornografi juga mudah diakses di mana-mana lalu menimbulkan keghairahan dan keinginan untuk mencuba sekali gus membawa kepada jenayah seksual dan rogol yang menakutkan.

Laporan akhbar juga menyebut bagaimana sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laman Facebook untuk merekrut keldai dadah bagi penghantaran ke seluruh dunia. Penyalahgunaan ini juga turut melanda golongan pekerja apabila ada yang sibuk bersembang di alam maya daripada menyelesaikan tugasan yang diamanahkan.

Begitulah hebatnya kecanggihan teknologi masa kini yang seakan berjaya melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab ibadah secara kolektif guna untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebagai musuh bentuk baru yang berusaha untuk merosakkan pemikiran dan hala tuju kehidupan umat Islam secara umumnya.

Memang tidak dinafikan, kecanggihan teknologi ICT seperti ini boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme perhubungan antara sesama kerabat, rakan dan taulan dengan kos yang murah, pantas dan menyeronokkan. Malah dalam konteks hubungan ukhuwah Islamiah pula ia boleh menjadi mekanisme untuk mempertaut hubungan yang diperintahkan agama sehingga menjadikan umat Islam benar-benar bersaudara walau di mana sahaja mereka berada.

Sungguhpun demikian, umat Islam secara khususnya diminta berwaspada dan berhati-hati daripada terlibat dengan noda dan dosa saban hari. Ini dapat dilakukan misalnya dengan pemantauan ibu bapa terhadap kegiatan anak-anak terutama ketika melayari internet di rumah.

Amalan buruk seperti bersembang di internet tanpa mempedulikan solat mahupun tugasan yang dipertanggungjawabkan menyumbang kepada kemurkaan Allah SWT lagi ditegah oleh agama. Sedarlah juga betapa umur yang ada semakin meningkat setiap tahun sedangkan masa yang tinggal untuk memperbanyak amal semakin berkurangan.

Pastinya sukar untuk pihak berwajib mengharamkan akses kepada pelbagai laman sesawang termasuk laman sembang sosial, pornografi dan lain-lain secara total. Namun begitu setiap individu Muslim diseru sentiasa memuhasabah dan menilai diri sendiri dalam apa jua kegiatan yang dilakukan.

Ini penting bagi mengelak sesuatu yang memudaratkan berlaku ke atas pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam. Ia juga sangat bertepatan dengan objektif syariah yang bertujuan untuk memelihara kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diceroboh oleh anasir luaran yang merosakkan.

Penyalahgunaan Internet yang mula dibicarakan akhir-akhir ini jika tidak dibendung kemungkinan menyumbang pula kepada masalah-masalah lain yang lebih kronik jika tidak di atasi dengan segera. Mana tidaknya budaya fitnah-memfitnah, hasutan dan memburuk-burukkan sesama sendiri seakan-akan berkembang subur dan sukar dielakkan. Lebih membimbangkan lagi apabila rahsia-rahsia peribadi mula dijaja sana-sini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab guna untuk mengaibkan sesama sendiri.

Keburukan ini semakin terserlah apabila ada pihak yang terlibat menyebarkan berita-berita palsu menerusi internet tanpa menyedari betapa mereka boleh tergolong dalam kelompok golongan fasik yang dimurkai Tuhan.

Untuk itu berusahalah untuk memanfaatkan segala kemudahan yang ada untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan berhati-hati. Jika tidak ia bakal menjadi musuh dalam selimut yang boleh merosakkan keharmonian hidup manusia pada bila-bila masa dengan terlibat melakukan pelbagai dosa tanpa disedari.

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...