terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 18, 2011

Etika pengambilan ubat daripada sumber haram..


KITA beruntung kerana terdapat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat awam dan kerajaan yang memantau dan sentiasa sensitif tentang keselamatan penggunaan ubat termasuk memastikan ubat yang dipasarkan adalah halal.

Kementerian Kesihatan sendiri berusaha memastikan ubat yang digunakan di negara kita bukan sahaja selamat tetapi juga mengandungi kandungan yang halal.

Baru-baru ini masyarakat didedahkan dengan isu ubat yang mengandungi bahan tidak halal mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Mengikut laporan sebuah akhbar arus perdana pada awal Mac ini, KKM memberi kelulusan kepada produk farmaseutikal yang mengandungi bahan tidak halal berdasarkan ketetapan fatwa Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang menyatakan penggunaan ubat atau vaksin itu adalah harus. Ini seperti kenyataan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Fatwa penggunaan ubat tidak halal hukumnya harus oleh pihak Jakim sudah tentu bersyarat iaitu dengan wujud darurat. Bagi seorang Muslim yang sudah tentu merupakan pengguna atau bakal pengguna ubat, mereka sudah tentu tertanya-tanya status ubat yang diberikan kepada mereka.

Jika ubat yang tidak halal digunakan, adakah mereka menggunakan dalam keadaan darurat sehingga melayakkan mereka mendapat kemaafan daripada Allah SWT?

Adalah menjadi fardhu ain kepada individu Muslim apabila sakit perlu mencari penawar dan rawatan. Islam amat menitikberatkan soal kesejahteraan dan kesihatan manusia kerana dengan tubuh badan yang sihat akan memungkinkan manusia mengimarah muka bumi dan memenuhi peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT.

Umat Islam bertanggungjawab mengelakkan diri daripada terjebak dalam kemusnahan termasuk kerosakan jiwa. Maka mereka perlu mencari rawatan berlandaskan peraturan syarak iaitu menggunakan ubat yang baik dan bukan dengan sesuatu yang diharamkan.

Dalam sebuah hadis telah ditegaskan hal ini, maksudnya “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat serta menjadikan setiap penyakit dengan ubat, maka berubatlah dan janganlah berubat dengan yang haram.” (Riwayat Abu Daud).

Walaupun begitu, Islam sebagai agama yang sesuai dengan manusia, agama yang memudahkan bukan menyusahkan, pengecualian diberikan kepada kita untuk menggunakan perkara yang tidak halal untuk menjaga kemaslahatan agama, jiwa dan akal. Tiga perkara ini termasuk antara lima maqasid syariah yang perlu dijaga.

Maqasid syariah bermaksud perkara-perkara yang menjadi matlamat perundangan Islam. Secara amnya, perundangan Islam bermatlamat menjaga maslahah manusia dan menolak mafsadah atau kerosakan daripada mereka sama ada dalam kehidupan di dunia atau akhirat nanti.

Jadi dalam kaitan maqasid syariah dengan konteks perbincangan artikel ini, mereka yang sakit perlu berubat untuk mengelakkan kerosakan jiwa. Berubat dengan perkara haram adalah diharuskan dengan syarat yang amat ketat iaitu ketika darurat.

Mengikut tafsiran ulama, darurat adalah apabila seorang itu mencapai ke satu tahap jika ia tidak mengambil sesuatu yang diharamkan maka ia secara pasti atau dengan sangkaan akan mati atau hampir mati seperti seorang yang terpaksa makan kerana jika ia terus berlapar maka ia akan mati. Maka ketika ini wajib makan sesuatu yang diharamkan sekadar dapat menghilangkan ancaman kematian.

Sebaliknya, jika pada ketika ini ia tidak makan sehingga membawa kepada kematian maka ia derhaka kerana mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dan kerana tidak mengambil peluang berusaha menyelamatkan diri dengan makanan haram yang menjadi harus dimakan dalam keadaan darurat.

Syarak secara jelas memberi keizinan dalam keadaan darurat untuk manusia makan sebarang haiwan demi menyelamatkan nyawa, memakai sutera bagi mereka yang mempunyai penyakit kulit, menguatkan gigi atau tulang dengan menggunakan emas, melafazkan pengakuan kafir sedangkan hati kukuh yakin dengan keislaman untuk elak dibunuh. Perkara-perkara selainnya dianggap darurat melalui kaedah kias dan analogi kepada perkara di atas.

Bagi ulama Hanbali, Maliki, jumhur Hanafi dan satu pandangan daripada Syafie, mereka menyatakan membuat rawatan menggunakan perkara yang diharam tidak diterima dalam apa jua keadaan sekali pun.

Bagi sesetengah ulama, ia bukan termasuk dalam perkara darurat kerana berubat dengan perkara haram tidak semestinya dapat menyembuh dan mengelakkan kematian manusia. Walaupun begitu pandangan mazhab Syafie mengharuskan dalam keadaan darurat penggunaan ubat yang mengandungi perkara haram kecuali arak.

Dalam fatwa Jakim sendiri ditegaskan bahawa dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi.

Antara syaratnya adalah darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudaratan pada lima perkara asas maqasid syariah akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman-pengalaman atau pengetahuan.

Tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudaratan melainkan dengan perkara yang ditegah, mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudaratan yang menimpa pesakit dan pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja.

Inilah garis panduan yang perlu diambil kira dan diamalkan oleh pihak berkenaan dalam penggunaan ubat yang mengandungi bahan haram. Memenuhi garis panduan ini merupakan satu tanggungjawab pihak berkuasa kepada umat Islam. Ini merupakan hak asasi keagamaan mereka yang dijamin oleh Perlembagaan negara.

Jika alasan menggunakan ubat yang mengandungi perkara haram dibuat dengan tidak memenuhi syarat darurat maka ia perlu dielakkan. Alasan seperti perlu menggunakan ubat yang mengandungi bahan haram kerana alternatif kepada ubat berkenaan terlalu mahal dan mungkin di luar kemampuan sesetengah pesakit bukan termasuk dalam kategori darurat atau sebab-sebab lain yang tidak pun mencapai tahap darurat.

Bagi masyarakat Islam, makan atau memasukkan suatu benda yang haram ke dalam tubuh badan dilarang oleh agama. Banyak nas yang memberi tempelak dan akibat yang buruk kepada mereka yang berbuat demikian tanpa ada keperluan darurat.

Oleh Mohamad A'sim Ismail

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian

Syariah, Undang-undang dan Politik,

Institut Kefahaman Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...