terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, March 16, 2011

Homestay timbulkan masalah..


Dewasa ini telah wujud satu fenomena baru iaitu penginapan di rumah-rumah persendirian yang dipanggil homestay.

Konsep ini tidak menepati kaedah homestay yang sebenarnya yang dipelopori oleh Kementerian Pelancongan. Menurut konsep itu, para penginap berpeluang bermalam di sesuatu tempat dan mendalami atau mengalami cara-cara hidup sesuatu penduduk seperti menangkap ikan di laut atau sungai, menoreh getah, persembahan kebudayaan setempat dan sebagainya.

Kesemua homestay ini berada di kawasan-kawasan perumahan dan boleh dikatakan ia tidak menepati konsep homestay yang sebenarnya. Ia lebih menepati konsep rumah tumpangan di mana pengunjung hanya bermalam secara beramai-ramai.

Dalam hal ini laman sesawang memainkan peranan untuk mengiklankan homestay ini dan lain-lain lagi seperti blog-blog persendirian.

Homestay sebegini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk kawasan perumahan seperti:

* Penginap akan datang beramai-ramai dan menimbulkan gangguan kesesakan lalu lintas yang amat teruk. Penginap akan meletak kenderaan sesuka hati, termasuk di depan rumah-rumah jiran yang berhampiran dengan homestay ini.

* Menyebabkan suasana bising dan hingar-bingar di kawasan perumahan. Ini memberi gangguan kepada penduduk setempat, terutama jika suasana bising itu berlaku di sebelah malam atau awal pagi.

* Ketiadaan ruang meletak kereta bagi penginap homestay yang datang dengan kenderaan yang banyak tetapi cuma menginap di sebuah rumah. Mereka akan meletak kenderaan sesuka hati di merata-rata tempat, bahkan ada yang meletak kenderaan di depan pintu pagar rumah-rumah jiran menyebabkan halangan kenderaan keluar masuk.

* Penginap homestay bersikap kasar jika ditegur supaya jangan berbuat bising dan meletak kenderaan sesuka hati. Mereka akan mencabar jiran tetangga yang membuat teguran secara baik.

* Ketiadaan akta untuk pihak majlis tempatan mengambil tindakan terhadap kewujudan homestay yang tidak berdaftar ini.

* Penjaga dan pemilik homestay tidak mempedulikan rungutan penduduk setempat, asalkan mereka mendapat wang daripada aktiviti ini.

* Hubungan tuan punya homestay dengan jiran tetangga menjadi keruh dan adakalanya tegang disebabkan pelbagai masalah yang timbul.

Kesan daripada pelbagai masalah yang disebutkan ini telah menimbulkan rasa kurang senang penduduk perumahan yang amat terganggu dengan aktiviti homestay. Akibatnya sehingga berlaku perkelahian gara-gara bunyi bising dan kenderaan diletakkan sesuka hati, termasuk terjadinya kemalangan kecil seperti kenderaan bergesel.

Diharapkan pihak kerajaan, terutamanya Kementerian Pelancongan mengambil tindakan terhadap homestay seperti ini. Misalnya dengan menggubal satu akta pencegahan premis kediaman di kawasan-kawasan perumahan yang padat dijadikan bisnes penginapan.

Nasaruddin Hanafi

Kuantan, Pahang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...