terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, March 1, 2011

Jalan sesak: Di mana JPJ dan polis trafik !!


SETIAP hari saya akan melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Wong Ah Fok di Johor Bahru untuk pergi dan balik kerja. Seperti yang dialami oleh ribuan pemandu lain, kesesakan lalu lintas di kedua-dua jalan tersebut sebenarnya boleh diatasi dengan penguatkuasaan tegas oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik.

Saya dapati sebab utama mudah berlaku kesesakan di kedua-dua jalan tersebut ialah sikap pemandu yang tanpa rasa bersalah meletakkan kenderaan di bahu jalan untuk menunggu.

Bagi Jalan Tun Razak, pada awal pagi terdapat teksi yang menunggu penumpang di hentian bas bersebelahan JB Sentral walaupun sudah terang lagi bersuluh hentian itu hanya untuk bas. Saya tidak pasti apa masalah stesyen bas tersebut yang tidak menggunakan lorong masuk sebelah dalam, menyebabkan bas menunggu di lorong kecemasan. Ini turut menyumbang kepada kesesakan jalan tersebut pada waktu tengah hari dan petang.

Manakala bagi Jalan Wong Ah Fok pula, terdapat pelbagai kenderaan yang diletak dengan pemandunya menunggu dengan muka selamba di bahu jalan bersebelahan City Square, walaupun terdapat garisan kuning berkembar. Semua pemandu tahu apa tujuannya garisan tersebut diwarnakan sebegitu rupa.

Tambah mendukacitakan apabila perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini seolah-olah bukanlah satu kesalahan apabila pihak penguatkuasaan tidak mengambil apa-apa tindakan. Bukan sukar untuk menyelesaikannya, hanya dengan menempatkan seorang atau dua penguat kuasa sama ada daripada JPJ atau polis trafik.

Saya pernah disaman oleh JPJ apabila meletak kereta di hadapan stesyen kereta api lama yang mempunyai garisan berkembar pada malam hari. Saya akur kerana melakukan kesalahan walaupun sekejap kerana hendak membeli sup mamak di lorong yang menempatkan gerai makanan di sebelah dalam.

Fobia dengan saman itu saya tidak lagi membeli sup tersebut kerana susah untuk meletak kereta. Terima kasih kepada pihak JPJ kerana menjalankan tugas walaupun pada malam hari dan kenderaan yang disaman pula langsung tidak menganggu lalu lintas.

Saya tidak bermaksud mempertikaikan saman tersebut kerana seperti kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah bin Mat Hasan: "Siapa yang makan perlu membayar harga makanan tersebut". Tetapi yang menimbulkan persoalan ialah kenapa kereta dan kenderaan yang terang-terang menyebabkan kesesakan lalu lintas di masa puncak pada waktu tengah hari dan petang tidak pula disaman dan dikenakan tindakan?

Maafkan saya kalau pihak JPJ dan polis trafik kekurangan petugas. Tetapi yang menimbulkan persoalan kenapa pada malam hari kedua-dua agensi ini boleh mengadakan sekatan jalan dan menyaman pesalah jalan raya?

PEMANDU SESAK NAFAS

Johor Bahru

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...