terima kasih buat kalian semua..

Thursday, March 10, 2011

Pastikan majoriti rakyat boleh miliki rumah !!


MEMPUNYAI tempat perlindungan, makanan mencukupi, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang baik adalah hak asasi manusia untuk semua rakyat negara ini. Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan majoriti rakyat boleh memiliki rumah mereka sendiri atau mampu menyewa rumah perumahan awam.

Malangnya, bagi rakyat Malaysia rumah yang termampu sukar diperoleh. Harga rumah meningkat kepada paras sangat tinggi di bandar utama sehingga golongan pertengahan sekalipun tidak mampu memiliki rumah atau apartmen, apatah lagi golongan bawahan.
Pada 2009, purata harga rumah di Kuala Lumpur ialah RM390,000, iaitu hampir enam kali purata pendapatan isi rumah. Keadaannya lebih buruk di Pulau Pinang di mana purata harga rumah ialah RM540,000 atau lapan kali purata pendapatan isi rumah

Jelas ia jauh dari jangkauan keluarga yang berpendapatan sederhana. Nisbah harga rumah kepada pendapatan isi rumah iaitu tiga hingga empat kali adalah diterima di peringkat antarabangsa.

Masalahnya bukanlah ketidakcukupan rumah tetapi penawaran dan permintaan untuk rumah tidak sepadan. Majoriti rakyat Malaysia mahukan rumah yang mampu dimiliki tetapi pemaju membina rumah tidak mampu dibeli mereka.

Pemaju lebih cenderung memenuhi permintaan pelabur dan spekulator yang membeli untuk menyewa atau menaikkan harganya dan mengaut untung. Ramai daripada mereka ini memiliki dua buah rumah atau lebih.

Tidak seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand, Malaysia adalah negara di Asia Tenggara yang membenarkan orang asing memiliki hartanah. Bank turut menyumbang kepada kenaikan harga rumah melalui pelbagai teknik pemasaran agresif. Mereka melonggarkan standard kredit dan sanggup meminjamkan sehingga 95 peratus daripada nilai hartanah.

Mereka menawarkan secara berubah-ubah, berbanding pinjaman kadar tetap untuk mengurangkan ansuran awal dalam persekitaran kadar faedah rendah. Kaedah lain untuk mengurangkan ansuran bulanan ialah dengan memanjangkan tempoh kepada 40 tahun, melampaui hayat bekerja peminjam.

Cadangan baru-baru ini untuk menawarkan pinjaman dua generasi yang boleh menjangkau 70 tahun, sama seperti berlaku di Jepun, adalah gambaran bagaimana situasi menjadi yang bukan-bukan. Peminjam digalakkan membebani generasi masa depan dengan hutang mereka sendiri.

Untuk memastikan orang kebanyakan mampu membeli rumah dan mengurangkan kenaikan harga hartanah yang tidak sihat dan tidak mapan, kerajaan perlu mengambil langkah berikut:

  • Memulakan dasar perumahan awam yang menyediakan perumahan mampu dimiliki, terutama di kawasan bandar kepada mereka berada di bawah paras pendapatan tertentu. Contohnya, langkah Lembaga Perumahan Singapura di mana kerajaan menjadi pelopor kepada pembinaan rumah mampu milik untuk majoriti rakyatnya.

  • Bagi sektor perumahan swasta, kerajaan mestilah mengambil peranan utama untuk mengawasi harga hartanah, mengambil langkah sesuai dan kena pada masanya untuk mengelakkan kenaikan hartanah yang tidak mapan dan tidak sihat.

  • Kerajaan seharusnya meningkatkan cukai keuntungan hartanah bagi transaksi jangka pendek. Cukai keuntungan hartanah lima peratus pada masa ini bagi hartanah dipegang di bawah lima tahun tidak mencukupi. Kadar cukai seharusnya ditingkatkan dengan ketara, lebih pendek tempoh pegangan; perkara sama perlu dilakukan bagi penjualan hartanah kedua dan berikutnya.

  • Kerajaan seharusnya menghentikan penjualan hartanah kepada orang asing. Bagi bukan hartanah, orang asing seharusnya tidak layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan tempatan, melainkan mereka adalah penduduk tetap.

  • Perancang bandar dan majlis tempatan seharusnya mempunyai perancangan penggunaan tanah komprehensif dan memberikan lebih kepentingan kepada membangunkan bandar mesra dan hijau, sistem pengangkutan awam kelas pertama dan mengurangkan pembinaan lebih banyak kompleks membeli-belah, pasar raya besar dan jalan.


Ringkasnya, kerajaan perlu memberikan keutamaan untuk meletakkan keperluan majoriti rakyat Malaysia mengatasi bank, pemaju, spekulator dan orang asing yang kaya.

S M MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...