terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 18, 2011

Pendidikan seks dalam Islam..


BAB seks sering dianggap tajuk yang sensitif untuk dibincangkan secara terbuka. Justeru, ada ibu bapa yang berharap anak-anak akan 'belajar' atau memahaminya secara semulajadi, tanpa perlu bersoal-jawab dengan ibu bapa.

Sebab itulah, ramai yang menyatakan kebimbangan jika cadangan mewujudkan subjek pendidikan seks di sekolah menjadi kenyataan.

Jangkaan ibu bapa, jika ia diajar di sekolah, rasa ingin tahu anak-anak akan membuak-buak lantas membawa mereka melakukan eksperimen terhadap ilmu baru yang diperolehi itu.

Pendidikan seks di rantau Asia melalui status perkembangan yang pelbagai. Negara seperti Indonesia, Mongolia dan Korea Selatan mempunyai rangka polisi yang sistematik tentang pengajaran seks di sekolah.

Bagaimanapun, Malaysia dan Thailand melihat pendidikan kesihatan reproduktif adalah lebih sesuai kepada golongan remaja.

Di Jepun, pendidikan seks adalah wajib bagi remaja berusia antara 10 ke 11 tahun. Bagaimanapun topik utamanya berkisar kepada bab biologi seperti baligh yang melibatkan bab haid dan keluar mani.

Di China dan Sri Lanka, pendidikan seks tradisionalnya adalah membaca buku teks biologi yang berkaitan bab reproduktif. Sri Lanka juga hanya mengajar bab ini apabila remaja berumur 17 dan 18 tahun.

Demikian antara senario apabila membicarakan bab pendidikan seks di beberapa negara di rantau Asia ini.

Bagaimanapun, pendidikan seks sebenarnya bukan semata-mata membincangkan bab hubungan intim suami isteri. Sebaliknya, ia melibatkan isu berkaitan anatomi manusia.

Bagi ibu bapa yang menghalang pendidikan seks diajar di sekolah, kita memahami kebimbangan mereka. Namun, untuk memutuskan pendidikan seks tidak perlu diajar kerana merasakan anak-anak itu akan tahu sendiri, bukan tindakan yang bijak.

Sebenarnya, ibu bapa tidak ada pilihan. Sama ada mereka membenarkan ia diajar di sekolah, atau mereka sendiri yang perlu mengajarnya.

Jika tidak, memang anak-anak itu akan tahu sendiri tetapi kita bimbang mereka mengetahuinya daripada sumber-sumber yang mungkin menjerumuskan mereka ke kancah yang ingin kita elakkan itu. Apatah lagi dengan dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari menerusi Internet.

Tambahan pula, ada bukti bahawa tanpa ilmu yang secukupnya ramai remaja yang tersilap langkah dan terpaksa mengakhiri hidup dengan pengalaman yang tidak menyenangkan.

Contohnya, ramai pelajar sekolah yang dihidapi AIDS akibat hubungan seks rambang dan ramai juga yang mengandung anak di luar nikah akibat hubungan seks yang tidak sepatutnya berlaku.

Ketika pelbagai pihak sibuk bercakap mengenai pro dan kontra mengenai pendidikan seks di sekolah, ramai yang alpa bahawa perkara itu sebenar terangkum dalam ajaran Islam.

Ia dibincangkang dengan jelas dalam bab taharah atau bersuci. Bab ini adalah yang terpenting dalam hidup setiap Muslim lebih-lebih lagi bab mandi wajib atau mandi junub. Tanpa memahami kaifiat atau cara-cara mandi junub, segala ibadat yang dilakukan adalah sia-sia.

Pensyarah Institut Pendidikan (Pendidikan awal kanak-kanak) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Penolong Profesor Dr. Mastura Badzis berkata, dalam Islam pendidikan seks sebenarnya telah bermula di peringkat prasekolah lagi.

Ini apabila kanak-kanak diajar dan boleh membezakan fizikal lelaki dan wanita serta jenis alat permainan mereka.

Beliau berkata, walaupun secara spontan kanak-kanak akan cuba bermain dengan semua alat permainan tetapi kita akan nampak kecenderungan mengikut jantina.

Demikian juga, katanya, dalam segi memperkenalkan anggota dan fungsi badan seperti kaki, tangan, dada dan sebagainya.

"Yang selalu berlaku silap, apabila tiba ke anggota sulit ibu bapa tidak beritahu kepada anak-anak yang berusia empat atau lima tahun tentang pantang larangnya.

"Kita perlu menjelaskan kepada anak-anak yang alat sulit itu hanya boleh disentuh oleh ibu bapa dan guru bagi tujuan membersihkan apabila ke tandas dan bukannya untuk tujuan lain," katanya.

Demikian juga bagi kanak-kanak perempuan, mereka perlu diberi penjelasan dan pengetahuan tentang haid apabila mencapai usia baligh.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: "Haid itu adalah kotoran". Oleh itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu (al-Baqarah: 222).

Sebenarnya, menurut Dr. Mastura, kebimbangan masyarakat tentang pengenalan pendidikan seks di sekolah berkait dengan persepsi bahawa subjek itu akan menjurus kepada persoalan hubungan seks semata-mata.

Sedangkan, katanya, di Barat ia telah lama diajar dan diletakkan di bawah subjek Pendidikan Kesihatan, Sosial, Peribadi dan Ekonomi (PSHE).

"Jika tajuk itu menjadi halangan, maka ia boleh ditukar kepada Pendidikan Kesihatan dan Penjagaan Diri, misalnya," jelas beliau.

Seorang tokoh iaitu Dr. Mohd Aqlah (1990) (Jordan) dalam bukunya Tarbiyyatul aulad fil Islam melihat pendidikan seks sebagai sebahagian dari pendidikan dan pembentukan akhlak.

Menurut Dr. Mastura, antara adab-adab yang perlu dipupuk pada anak-anak berkaitan pendidikan ini adalah:

lCara duduk dan cara berkomunikasi

lMemahamkan kanak-kanak tentang perasaan malu, penjagaan kehormatan diri dan pisahkan tempat tidur pada usia 10 tahun adalah permulaan yang baik kepada pemahaman tentang pendidikan seks (walaupun tanpa diberitahu apakah itu hubungan seks).

lMenyemai adab meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa (surah an-Nur: 58)

lPemahaman tentang bab aurat dan rasional kenapa perlu menutup aurat

lPisah tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan bila usia masuk tujuh tahun (dari segi perkembangan kognitif, kanak-kanak di usia ini sudah mula boleh membezakan sesuatu yang yang konkrit dan abstrak serta di peringkat permulaan memahami sesuatu yang berbentuk konseptual)

lPendidikan tentang penjagaan maruah dan perwatakan diri contohnya tak boleh lihat aurat orang lain, larangan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah.

Kata Dr. Mastura lagi, berikut adalah tips hasil penulisan Dr. Hassan Shamsi Basha dari Beirut (2001):

lUsah menganggap anggota sulit sebagai suatu yang aib dan tak perlu disebut bila memperkenalkan anggota badan. Didik anak menerima dan menghargai dirinya seadanya.

lCuba menjawab persoalan anak tentang sesuatu yang berkaitan pendidikan seks dengan jawapan mudah difahami (sesuai mengikut peringkat umur) tanpa perlu diperincikan. Contohnya soalan, "Bagaimana adik boleh ada dalam perut umi"?

lApabila kanak-kanak semakin besar, boleh bercerita tentang proses kejadian manusia dan peringkat perkembangan janin dalam kandungan sehingga usia sembilan bulan.

lDidik anak tentang keselamatan diri: apa yang ada pada dirinya adalah miliknya. Jangan biarkan sesiapa menyentuh alat sulitnya kecuali untuk tujuan membersihkan atau sebab perubatan.

lPerhatikan tingkahlaku anak ketika bermain terutama jika bermain bercampur lelaki perempuan yang remaja dan kanak-kanak di bawah umur.

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...