terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 7, 2011

Artikel khusus untuk wanita: Berbanggakah anda sekiranya dapat tittle "PALING SEKSI" !!!


Kecantikan bukan pada fizikal sebaliknya ketinggian akhlak, budi pekerti jadi ukuran

AKHIR-akhir ini pelbagai pihak tampil menganjurkan pertandingan ratu cantik dengan mendedahkan aurat menerusi pelbagai nama yang dipromosikan. Ia nampaknya menarik perhatian segelintir gadis Melayu beragama Islam untuk menyertai pertandingan itu yang turut menawarkan habuan lumayan kepada pemenang

Pada sudut pandang yang lain penampilan seksi segelintir selebriti tanah air juga semakin hangat diperkatakan. Begitu pula terdapat sesetengah filem yang seolah-olah cuba mengeksploitasi wanita dengan cara berpakaian yang tidak senonoh dan mencemarkan budaya dan adat ketimuran. Lebih memeranjatkan lagi apabila terdapat kalangan selebriti yang dinobatkan sebagai artis wanita paling seksi dan paling hangat di Malaysia.
Semua ini mencerminkan betapa hukum dan peraturan agama khususnya berkaitan perintah menutup aurat sudah tidak dipedulikan. Kemungkinan ada yang menganggap bahawa isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan dunia sudah maju zaman juga sudah berubah.

Boleh jadi juga ada yang mengatakan ‘usah jaga tepi kain orang’ atau ia adalah hak peribadi lalu terpulang kepada kebebasan individu untuk membuat penampilan sesuka hati mereka. Namun begitu, setiap orang yang beriman sewajarnya memahami betapa kewajipan menutup aurat adalah hak Allah SWT yang akan dipertanggungjawabkan nanti.

Ia juga adalah peraturan agama yang sesuai untuk dipraktikkan pada setiap masa dan keadaan. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menyumbang kepada pelaksanaan ketetapan ini baik pada sudut pemerintah, masyarakat dan juga setiap individu Muslim.

Lebih unik lagi syariat Islam tidak pernah mensyaratkan hanya pakaian tertentu yang wajib dipakai sama ada oleh lelaki mahupun wanita. Malah syariat yang murni memberi kebebasan kepada pelbagai bangsa dan keturunan manusia untuk mengenakan apa saja pakaian yang sesuai dengan adat, budaya dan persekitaran mereka. Asasnya ialah menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup seluruh badan bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan.
Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah menegur Asma yang berpakaian nipis, sambil membelakanginya Nabi Muhammad SAW bersabda Wahai Asma; “Sesungguhnya seorang wanita apabila sudah cukup umur (telah baligh), tidak boleh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini, seraya Baginda SAW menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya”.

Oleh itu, jika dengan hanya berpakaian nipis saja sudah ditegah lalu bagaimana pula dengan realiti pakaian segelintir masyarakat Islam hari ini.
Justeru, setiap individu Muslim perlu menginsafi diri dan berbuat sesuatu berlandaskan peraturan agama. Elakkan daripada mengamalkan budaya ikut-ikutan dengan meniru gaya dan corak berpakaian masyarakat lain yang tidak berlandaskan kepada prinsip hidup beragama yang sebenar.

Lebih daripada itu, setiap Muslimah wajib memiliki sifat malu sebagai pendinding untuk menangkis serangan bertubi-tubi musuh Islam daripada berbagai-bagai kaedah yang ditujukan terutamanya kepada golongan belia Islam agar mereka jauh daripada pegangan agama yang dituntut.

Penulis sendiri berasa malu apabila ada individu bukan beragama Islam yang tidak mengerti peraturan syariat tetapi tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang beragama. Malah dengan tegas saudara David Teoh seorang penerbit filem terkenal di Malaysia dipetik berkata, seksi bukan penanda aras yang akan menentukan sesebuah filem sama ada bermutu ataupun tidak.

Masyarakat Islam secara umumnya juga perlu memahami bahawa perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat. Berbagai-bagai perkara sumbang yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini menunjukkan bahawasanya sifat malu mula diangkat oleh Allah SWT sedikit demi sedikit menjelang hari kiamat.

Sehubungan itu masyarakat Islam diajak menilai kecantikan bukan dengan fizikal dan gaya penampilan yang seksi lagi menggiurkan. Ia sesuatu yang tidak akan kekal lama dan sirna apabila tiba masanya. Adapun kecantikan akhlak dan budi pekerti mulia yang kekal tertanam dalam hati sanubari individu Muslim adalah sesuatu yang perlu diusahakan agar beroleh rahmat dan pengampunan daripada-Nya.

Oleh Mohd Ali Muhamad Don



PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandar Raya Johor Bahru

2 comments:

  1. ramai org yg mengaku Islam, tp tak pernah terlintas yg membuka aurat itu haram & mereka tak berasa berdosa. sbb perbuatan ini dah tersebar luas. sehingga para pemimpin yg mengaku islam & mompopularkan islam, juga mempunyai isteri, anak dll yg tak tutup aurat.
    banyak yg tak tau kenapa kena tutup aurat.
    sama spt paderi perempuan, dulu mrk tutup aurat. bila zaman berubah mrk juga berubah. dari tutup lingkup kepada tutup rambut shj, leher nampak & pakai skirt. mrk juga tak tau kenapa mrk kena tutup aurat.
    tp berbaza dgn kita Islam, kita dah ada panduan lengkap dr Quran & Hadis yg mewajibkan tutup aurat.
    kita mungkin perihatin dgn makanan halal. tp kita tak perihatin tentang pakaian halal.

    ~zul~

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...