terima kasih buat kalian semua..

Friday, April 8, 2011

Badan saja nampak tegap..tapi batin lemah !!!!!


JEJAKA duduk di hadapan anda kelihatan sungguh tegap dan sasa. Ketampanan seiringan gayanya cukup mengiurkan mata yang meneliti perwatakannya. Masakan tidaknya, tindak balas wanita yang lalu di sisinya semuanya memberikan jelingan bermakna

Namun, ada juga teka-teki sepanjang penelitian dijalankan terhadap jejaka segak itu, adakah tenaga dalaman empunya diri segagah penampilannya ditonjol itu walaupun anggaran usianya belum mencecah angka empat.
Kalau kita imbas sejenak, pasaran masa kini banyak mengetengahkan ubatan berunsur mengembalikan kekuatan nafsu syahwat baik diiktirafkan mahupun sebaliknya. Jika rawatan tidak berkepentingan buat pengamalnya, mustahil akan berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Mungkin tujuan pengambilan ubatan seperti herba atau pil benar-benar mampu mengembalikan tenaga yang semakin hambar sekali gus mampu memberikan kepuasan maksimum buat pasangan tatkala bermadu kasih.

Memang perlu untuk setiap pasangan memenuhi permintaan pasangannya. Malah dalam Islam, seks bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan jasmani atau kehendak syahwat manusia. Hubungan suami isteri sekurang-kurangnya memiliki beberapa tujuan penting.

Hubungan seks sebagai penyambungan keturunan, mempererat kasih sayang, ibadat dan dijadikan sebagai rekreasi yang mana mampu memberikan ketenangan sesama pasangan.
Cuma apa yang menjadi kerisauan, apabila prestasi kembali memberangsangkan, adakah keadaan akan bertambah ceria atau sebaliknya menimbulkan kerisauan buat pasangan wanita? Bila sudah kuat, nanti suami mula cuba ‘harga pasarannya’ lantas bermain cinta pula di luar.

Jika begitulah senario berkemungkinan, baik biarkan saja mereka kekal lemah, asalkan kita rasa terselamat dari masalah yang sering hangat diperbincangkan dalam kalangan isteri, takut suami curang, risau kalau dimadukan dan banyak lagi yang membabitkan orang ketiga.

Tapi apa pun keadaannya, kuat atau sederhana, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan hanya untuk memuaskan nafsu, sebaliknya masalah lemah nafsu syahwat ini sebenarnya mencerminkan beberapa jenis penyakit yang sedang dialami suami.

Apa pun, cara terbaik adalah perbincangan dilakukan buat pasangan kerana ia lebih mujarab berbanding mendiamkan diri. Suami memainkan peranan dan menghargai pasangannya, malah isteri juga patut bersikap terbuka dan yakin terhadap kesetiaan jejaka hatinya.

Cuba kita lihat pendapat dua jantina berbeza mengenai pendapat mereka mengenai masalah lemah nafsu syahwat atau pun Erectile Dysfunctional (ED) sama ada ia mengganggu rutin harian ataupun lebih elok jika dibiarkan saja.

Jurulatih Persendirian, Jannatul Naim Ahmad, berpendapat dirinya mahu melihat pasangannya bahagia baik dari segi fizikal ataupun kerohanian maka jika mereka mengalami masalah ED, dia akan menyokong kaedah perubatan yang tidak mendatangkan kesan sampingan terhadap kesihatan.

“Bagi saya, jika suami mengalami masalah ED, saya pasti menggalak dirinya untuk menjalani rawatan mahupun mengambil ubatan yang bersesuaian kerana nescaya jika dibiarkan masalah lain pula menyusur seperti kolesterol dan sebagainya.

“Lagi pun, kemesraan dan keintiman antara pasangan adalah pemangkin dalam menjalinkan satu perhubungan dan terpulang bagaimana untuk kita mengawal tindak-tanduk mereka.

“Bila mereka ceria, kita pun rasa seronok, saya tidak sanggup berhadapan dengan riak wajah pasangan yang asyik muncung muka sepanjang hari. Maka lebih elok jika mereka diberikan rawatan terhadap masalah ED dan keceriaan dikembalikan,” jelasnya sambil tertawa kecil.

Jejaka yang cukup tinggi dan tegap, Raj Aria, yang juga pengacara majlis profesional menceritakan pendapat mengenai ED, berkata ia bukan satu masalah yang hanya dihidapi lelaki berusia, tapi juga mereka yang masih muda.

Mungkin tidak ramai yang sedar mengenai ED atau malu membincangkannya, tapi sebenarnya membiarkannya berlarutan boleh menyebabkan masalah yang tidak hanya membabitkan diri sendiri sebaliknya pasangan.

“Bagi lelaki, pementasan di ranjang adalah lambang kekuatan mereka, maka mereka jadi terlalu ego mengakui kelemahan itu. Tapi jika menyayangi pasangan dan diri sendiri mereka perlu mendapatkan rawatan.

“Berdasarkan teknologi perubatan yang semakin canggih, masalah boleh ditangani dalam sekelip mata. Cuma. bila sudah mendapat semula kuasa kejantanan itu, janganlah pula disalah gunakan. Kasihan pasangan kita, bila lemah, kita berjauhan, bila bertenaga, lagi jauh pula kedudukannya.

Wartawan, Fun Ng, berkata baginya dia akan cuba untuk mengekalkan keadaan sedia kerana risau jika menggalakkan pasangan menjalani perubatan, bimbang kalau nanti pasangan akan bermain kayu tiga.

“Zaman ini, kita tidak boleh terlalu yakin dengan cinta kerana ia mudah beralih arah, apatah jika wanita semakin berusia dan berkedut. Mata pasangannya mula meliar nampak wanita lain berdahi licin.

“Baiknya, biarkan saja pasangan kita berterusan dengan masalah lemah nafsu syahwat. Berkaitan dengan masalah kesihatan, banyak lagi kaedah lain yang boleh dijalankan untuk mengawal kesihatan itu.

“Mungkin pendapat saya agak keterlaluan dan keras, tapi percayalah tiada wanita yang ingin berkongsi kasih dan saya lebih rela jika persembahan di ranjang tidak hebat asalkan kehidupan selebihnya selesa dan sempurna,” katanya.

Eksekutif Pemasaran Syarikat Swasta, Muhd Al-Hafiz, berkata beliau tidak akan membenarkan masalah ED membelenggu dirinya dan pasti akan sentiasa bersedia untuk menjalani rawatan untuk menghindari masalah itu.

Katanya, sebagai lelaki ia bukan sekadar untuk memenuhi keperluan pasangan, tapi merangkumi dirinya sendiri apatah lagi ED adalah wakil kepada beberapa tanda awal penyakit berkaitan.

“Lelaki berkecenderungan tampil ego bila berbincang isu ini dan mereka lebih mengutamakan kuantiti bukannya kualiti bermesra dengan pasangan. Saya mereka cenderung memuaskan kemahuan sendiri.

“Mengapa malu membincangkan masalah dihadapi pasangan ataupun rakan rapat sedangkan kita menyedari ED memberikan kesan bukan hanya terhadap prestasi di ranjang sebaliknya juga kerjaya dan emosi. Kita sepatutnya fikir jangka masa panjang dan sebagai manusia memerlukannya untuk menceriakan kehidupan sekali gus menyambung zuriat.

“Pada masa, kepercayaan dan kesabaran diberikan oleh pasangan sepatutnya dihargai dan sebaiknya ia tidak menjadi alasan untuk tidak perlu berlakunya kes ‘pandu uji’ kekuatan,” katanya sambil tersenyum.

'Make A Stand' Hidup Lebih Sihat dan Cergas

KAJIAN dijalankan menunjukkan kemerosotan kesihatan seksual boleh terjadi sama ada disebabkan faktor fizikal, psikologi ataupun gaya hidup. Faktor fizikal termasuk rawatan perubatan, rawatan pembedahan, gangguan hormon dan penyakit seperti penyakit jantung, diabetes dan kerosakan saraf. Kemerosotan kesihatan seksual yang disebabkan oleh faktor fizikal selalunya dialami lelaki berusia.

Faktor psikologi pula adalah seperti tekanan, keletihan dan kemurungan, selain hilang keyakinan terhadap keupayaan diri dan perasaan tidak mampu memuaskan hati pasangan turut memberi kesan terhadap prestasi hubungan intim dengan pasangan.

Gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan pengambilan alkohol yang berlebihan boleh memburukkan lagi masalah ini. Faktor psikologi ini lebih ketara dialami oleh lelaki yang lebih muda.

Bagi membolehkan organ seksual menegang, bekalan darah yang mencukupi amatlah penting. Faktor gaya hidup seperti merokok meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat masalah lemah syahwat. Merokok menjejaskan pengaliran darah dalam saluran darah dan arteri.

Begitu juga dengan faktor tekanan dan kemurungan yang menyebabkan seseorang itu kurang berfikir mengenai seks, sekali gus mengurangkan minat untuk melakukan hubungan intim dengan pasangan. Walaupun bersifat sementara, ia boleh menjejaskan keharmonian hubungan intimasi pasangan suami isteri jika dibiarkan tanpa rawatan.

Lebih membimbangkan, kemerosotan kesihatan seksual atau lemah tenaga batin terjadi bukan saja di kalangan lelaki berusia, tetapi juga lelaki yang lebih muda. Namun, tidak ramai yang tampil ke depan sama ada untuk mendapat khidmat nasihat atau rawatan yang bersesuaian kerana perasaan malu dan rendah diri.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...