terima kasih buat kalian semua..

Monday, April 25, 2011

Bahan minuman plastik ancam kehidupan..


MANUSIA mempunyai set hormon yang dikenal pasti berbeza dengan jantina berlainan. Setiap manusia yang dilahirkan ditetapkan dengan sempurna sel dalam setiap tubuh badan seorang manusia agar dapat berfungsi dengan baik.

Sedikit perubahan kepada sel organ manusia kesan daripada terdedah kepada sinaran berbahaya radioaktif atau pengambilan ubat-ubatan kimia boleh membawa kepada ancaman kecacatan fizikal serta penyakit kritikal seperti kanser.

Baru-baru ini masyarakat didedahkan dengan bahaya molekul kimia di dalam bekas minuman plastik seperti botol susu bayi yang digunakan dalam pembuatan bekas minuman itu untuk menjadikannya kuat dan tidak mudah rapuh.
Saintis percaya dengan penyelidikan bertahun-tahun yang dijalankan demi menjaga alam sekitar secara gobal, ada dua jenis bahan yang terkandung dalam bekas minuman plastik yang mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia, bahkan juga mampu menukarkan hormon di dalam badan manusia iaitu Bisphenol A (BPA) dan Nonyphenol.

Hal ini lebih memburukkan keadaan apabila kajian juga mendapati dua bahan kimia ini iaitu BPA dan Nonyphenol adalah berisiko tinggi terhadap golongan lelaki kerana ia boleh menukarkan ciri lelaki kepada ciri wanita.

Hal ini diperjelaskan oleh Profesor Madya Mohamad Pauzi Zakaria dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Kenyatan ini lagi menyebut perubahan ke atas hormon terjadi disebabkan struktur molekul BPA dan Nonyphenol yang hampir menyerupai hormon yang ada dalam tubuh manusia. Hal ini sekali gus berupaya menukarkan ciri-ciri kelakian seseorang individu kepada ciri-ciri kewanitaan secara tidak langsung disebabkan dua bahan kimia ini yang mampu menghapuskan hormon manusia sedia ada.
Sebagai contoh yang boleh dilihat, jika seorang ibu menyusukan anak lelakinya yang sebelum itu meminum bahan yang mengandungi BPA dan Nonyphenol, bahan ini seterusnya akan berpindah ke dalam tubuh anak lelakinya dan mengancam tumbesarannya kepada ciri kewanitaan apabila dewasa kelak.

Ini dibuktikan dengan kajian demi kajian seperti perubahan seekor buaya jantan yang terdedah kepada kedua-dua bahan itu akibat pembuangan plastik di tasik berkenaan yang bertukar secara perlahan menjadi buaya betina dalam kajian di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, ada banyak faktor lain seperti pelbagai pencemaran air yang berupaya membawa ancaman kesihatan kepada manusia.

Oleh itu, kepentingan air terhadap organisma hidup tidak mampu disangkal lagi. Rawatan terperinci secara berperingkat ke atas air perlu giat dijalankan agar air yang disalurkan tulen dan berkhasiat kepada masyarakat.

Masyarakat juga perlu didedahkan kepada penghargaan terhadap alam sekitar agar lebih memelihara khazanah semula jadi yang tiada nilainya dan mampu memberi yang terbaik kepada generasi hadapan.

Perubahan gaya hidup yang lebih berasaskan kesihatan perlulah dititikberatkan agar mampu menjamin kesihatan dan kesejahteraan sekeluarga.

AZIERAH HANI ISMAIL,
Universiti Utara Malaysia
Sintok, Kedah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...