terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 26, 2011

Berkumpul untuk hisap darah !!!


KETIKA beratus-ratus orang berkumpul di sekeliling khemah di atas sebuah padang, orang ramai yang lalu-lalang menganggap mereka sedang menunggu konsert rock bermula.

Tetapi sebenarnya, mereka bukan berkumpul untuk menyaksikan konsert atau ada upacara keagamaan. Mereka merupakan ahli kumpulan puntianak yang mengadakan pertemuan bagi menghisap darah antara satu sama lain.

Agak memeranjat kerana terdapat kira-kira 3,000 orang di United Kingdom yang secara rasmi menjadi pergerakan bawah tanah kumpulan puntianak ini.

Setiap bulan mereka akan berkumpul untuk upacara minum darah - secara terus dari badan masing-masing.

Seorang jurutera pusat panggilan, Pyretta Blaze, 24, mendedahkan, setiap bulan mereka akan mengadakan pertemuan yang diselia oleh Ketua Puntianak dikenali sebagai Elders.

Pyretta berkata, pertemuan setiap bulan itu memang sesuatu yang dinanti-nantikan supaya dia boleh minum darah dan memenuhi dahaganya selama sebulan.

"Ia satu pengalaman yang berbeza di mana saya rasa seperti dilahirkan semula dan begitu bertenaga," katanya.

Pyretta mendakwa mereka yang menyertai perhimpunan pelik itu diberikan ujian psikologi oleh Elders, yang akan mengawasi kesihatan mental para puntianak separuh masa itu.

"Hidup sebagai puntianak memerlukan komitmen yang serius. Elders perlu tahu bahawa mereka yang datang ke perjumpaan itu bukan golongan yang obses dengan filem.

"Kami semua amat serius dengan cara hidup kami dan ritual yang kami libatkan diri ini. Menjadi puntianak memerlukan komitmen seumur hidup," jelasnya.

Menurutnya, ramai daripada mereka pergi ke perjumpaan puntianak bersama teman yang komited dan hanya akan minum darah. Ada juga yang datang bersendirian.

Malah Pyretta sendiri mempunyai teman wanita yang dia benarkan meminum darahnya ketika parti tersebut.

"Saya seronok benarkan dia menghisap darah saya dan dia juga suka. Ia adalah selamat sebab setiap orang yang hadir perlu menjalani ujian kesihatan termasuk hepatitis dan HIV.

"Terdapat juga doktor dan jururawat pada setiap pertemuan yang merupakan sebahagian daripada cara hidup puntianak," katanya.

Pada pertemuan yang diadakan pada musim panas itu, khemah didirikan di ladang milik persendirian.

Terdapat dua khemah. Satu dikenali sebagai khemah pembersihan, di mana peralatan yang akan digunakan untuk mengeluarkan darah seperti pisau, pisau cukur dan benda-benda tajam akan disteril.

Satu lagi ialah khemah jamuan. Tempat mereka menikmati darah rakan-rakan yang hadir.

Pada musim sejuk pula, pertemuan itu akan diadakan di dalam rumah.

Menurut Pyretta, agak mengejutkan kerana terdapat golongan atasan di Britain yang turut terlibat dalam kehidupan sebagai puntianak itu.

"Setiap majlis adalah majlis peribadi di mana kami selamat untuk meluahkan kehidupan kami sebagai puntianak.

"Jika seseorang yang hadir itu tidak mempunyai teman, terdapat satu lagi khemah di mana Elders akan memperkenalkan rakan untuk menghisap darah kepada satu sama lain," ujar Pyretta.

Elders yang akan memakai topeng supaya identitinya tidak terdedah akan memberikan tunjuk ajar tentang di mana dan bagaimana untuk mengeluarkan darah dengan selamat.

Pyretta yang berasal dari Swansea berkata, biasanya dia akan menghidap darah rakannya dari bahagian leher, dada, bahu, tangan atau kaki.

"Saya akan masukkan taring tajam untuk menghisap darah dari teman saya. Ia membuatkan saya rasa seperti puntianak yang sebenar.

"Elders akan mengajar kami bagaimana untuk memotong kulit agar tidak tinggalkan parut dan kami diajar bagaimana menghisap tanpa menyebabkan kerosakan pada kulit.

"Barang siapa yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan akan disingkirkan seumur hidup," katanya. - The Sun UK.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...