terima kasih buat kalian semua..

Thursday, April 28, 2011

Bersyukur dengan gaji diterima walau rendah...


SAYA ingin menyentuh mengenai isu 'gaji tinggi tetapi tidak mencukupi' yang sering menjadi keluhan segelintir masyarakat kita. Kenapakah gaji yang ada masih tidak mencukupi?

Saya adalah pekerja swasta berpendapatan kurang daripada RM1,500.00 sebulan. Inilah kenyataannya. Tetapi ramai yang menyangka apabila bekerja dengan sebuah syarikat swasta, gaji kita tentunya melebihi RM2,000.00 sebulan.

Selama saya bekerja, belum pernah lagi saya menerima gaji pokok melebihi RM2,000.00. Saya juga mempunyai kereta, rumah yang perlu saya bayar. Juga minyak kereta, api, air, makan dan minum saya. Kadang-kadang sampai naik pening kepala saya. Siapa yang tidak mengeluh? Saya juga mengeluh.

Tetapi saya sentiasa ingat pesan ibu bapa saya, walau banyak mana yang kita dapat pun jangan sesekali kita lupa kepada Tuhan. Alhamdulillah walaupun saya bergaji seperti seorang yang lepasan SPM, saya redha dan ikhlas. Sekarang ini pun saya dalam proses pembelian rumah walaupun bukan teres dua tingkat ataupun kondominium. Hanyalah sekadar flat biasa, tetapi cukup selesa.

Saya tidak nafikan keperluan sekarang melebihi daripada gaji yang kita peroleh. Perlulah kita lihat dan renung dari pelbagai aspek. Saya sendiri juga kadangkala terkejut dengan harga barang yang semakin melambung tinggi. Tetapi kepada yang mengeluh dan merungut, anda perlulah banyak-banyak bersyukur ke hadrat Ilahi.

Walaupun hidup kita dikelilingi prasarana kemodenan, namun masih ada lagi golongan orang-orang Melayu kita yang hidup dalam kedaifan dan kemiskinan. Juga masih ramai lagi yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.

Saya amat terkejut mengapakah dengan gaji melebihi RM2,500 - RM3,000 sebulan masih dikatakan tidak mencukupi. Maka benarlah perumpamaan orang-orang dahulu kala 'Besar periuk, besar jugalah keraknya'. Mengapakah ini terjadi? Jawapannya hanya diri kita sendiri yang tahu.

Dalam apa juga keadaan, kita perlu merasa sedikit malu dengan orang-orang yang lebih tidak bernasib baik daripada kita. Seperti kita semua, mereka juga mempunyai tanggungjawab yang besar dengan bermacam-macam perbelanjaan lagi. Mereka ini juga tidak berpeluang pergi melancong walau dalam negara sendiri.

Saya mempunyai seorang kawan yang gajinya hanyalah RM900 sebulan. Selepas ditolak SOCSO dan KWSP berapa sangatlah yang tinggal. Suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan yang mana gaji suami juga tidak seberapa. Tetapi dia tidak kisah jika tidak pergi melancong atau makan angin.

Apa yang penting asalkan anak-anak tidak kelaparan, cukup keperluan pelajaran dan sempurna kehidupan.

Jika ada rezeki anak-anak berjaya suatu hari kelak dan dapat pekerjaan yang baik, mungkin ada rezeki mereka untuk makan angin.

Jika kita sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian Tuhan kepada kita, insya-Allah rezeki yang ada pasti mencukupi.

Kepada mereka yang sentiasa mengeluh, marilah kita sama-sama muhasabah diri. Jika ada kesempatan rajin-rajinlah bertanyakan pada mereka yang berpendapatan rendah, tetapi boleh menyara kaum keluarga dan anak-anak yang ramai sehinggakan ada anak-anak mereka belajar sampai ke menara gading.

Usahlah sentiasa mengeluh. Pucuk pangkal terletak pada diri kita sendiri bagaimana untuk mengatasi setiap kesulitan dan kesukaran yang ada. Sebelum mendirikan rumah tangga anda perlu tahu akan keperluan seharian.

INA
Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...