terima kasih buat kalian semua..

Saturday, April 23, 2011

Guru kaunseling sesuai pantau Projek Kantin Sekolah Sihat elak pelajar gemuk ...


SAYA ingin memberikan pendapat berhubung isu obesiti dan kesihatan pemakanan di kalangan pelajar. Kita sedia maklum, 'Projek Kantin Sekolah Sihat' yang diwujudkan Pusat Maklumat Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mempromosi pemakanan sihat di kalangan pelajar sekolah dilihat sebagai usaha yang bijak.

Projek itu bagi mencegah peningkatan pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, kardiovaskular dan hipertensi apabila mencapai usia dewasa. Seperti kita sedia maklum, perkara ini ditimbulkan berikutan perkhidmatan kantin yang tidak menekankan aspek kesihatan dalam penyediaan dan penjualan makanan kepada pelajar.

Berikutan itu, beberapa cadangan dikemukakan ibu bapa dan cendekiawan yang boleh diguna pakai oleh pihak berkaitan bagi menangani isu ini seperti mewujudkan pemantauan kesihatan oleh pihak berkaitan di sekolah.
Berkenaan cadangan menempatkan pegawai pemakanan di sekolah seperti diamalkan Jepun, ia dilihat sebagai usaha yang baik, namun pelaksanaan idea itu kurang praktikal di Malaysia.

Oleh itu, saya mencadangkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan bekerjasama bagi merealisasikan Projek Kantin Sekolah Sihat bagi menempatkan guru kaunseling sebagai pegawai pemantauan kesihatan di sekolah berbanding meletakkan pegawai yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan.

Ramai graduan yang mengikuti kursus pendidikan bimbingan dan kaunseling yang belum ditempatkan di sekolah dan juga terdapat lebihan guru kaunseling di sesetengah sekolah.

Dengan menempatkan guru kaunseling di sekolah sebagai pegawai pemantau kesihatan pelajar dan penasihat penyediaan pemakanan kantin sekolah, perkara ini sedikit sebanyak membantu projek terbabit dan boleh mengatasi lebihan graduan yang dikeluarkan setiap tahun dalam bidang berkaitan.
Sebagai permulaan, kaunselor yang mempelajari pendidikan kesihatan sebagai subjek minor di institusi pengajian tinggi boleh dilantik sebagai pegawai pendidikan kesihatan untuk merealisasikan cadangan ini dalam masa terdekat.

Guru kaunseling ialah penghubung antara pelajar, sekolah dan ibu bapa, mereka juga calon yang amat sesuai untuk memikul tanggungjawab ini.

Selain itu, Pusat Maklumat Pemakanan di bawah Kementerian Kesihatan boleh berhubung dengan pegawai terbabit bagi menjalankan kajian yang lebih bersifat saintifik.

MOHAMAD REEDUAN MUSTAPHA,
Ajil, Terengganu

1 comment:

  1. Assalamualaikum.
    Berkenaan dengan Pegawai Pemakanan di sekolah-sekolah, saya rasa ia adalah satu perkara yang perlu. Saya adalah salah seorang pelajar jurusan pemakanan dan dietetik. Untuk pengetahuan encik, kami dipersiapkan dengan ilmu dan skill untuk pendidikan, promosi dan kaunseling kesihatan untuk semua peringkat umur - untuk komuniti dan hospital based. Walaupun kami masih bergelar sebagai pelajar, kami sudah mula menjalankan kempen-kempen pendidikan kesihatan melibatkan sesetengah sekolah.Perlu diingat bahawa tanggungjawab utama seorang pakar pemakanan dan dietetik adalah mempromosikan pemakanan dan kesihatan yang ideal, bukan melakukan kajian semata-mata.

    Perlu diingat bahawa bukan boleh sebarangan orang memberi panduan dan nasihat mengenai pemakanan. Untuk pengetahuan encik, banyak nasihat pemakanan yg diberikan oleh orang yang bukan 'ahli'nya dan ini akan menyebabkan salah kefahaman terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, ada yang melabelkan sesuatu makanan itu bad/good. There's no bad food, or good food. There's only 'pemakanan yang baik dan buruk'.

    Untuk pengetahuan encik, tanggungjawab kami juga bukan hanya untuk pendidikan kesihatan, saringan kesihatan, analisis makanan dan kalori, pantauan makanan dan menu di kantin perlu dilakukan oleh pakar pemakanan yang terlatih,ia tidak boleh dilakukan oleh sebarangan orang.

    Saya tidak menafikan kebolehan kaunselor, kerana yg mengajar saya subjek kaunseling pemakanan sendiri adalah kaunselor dalam bidang pemakanan. Teknik yang pendekatan mungkin sedikit berbeza, ya, kerana dalam bidang pemakanan, caranya berbeza. Tetapi 2 pakar ini boleh berganding bahu untuk memikirkan pendekatan yang terbaik untuk murid-murid.

    Terima Kasih.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...