terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 27, 2011

Hukum simpanan di bank...


HAMPIR semua rakyat di Malaysia mempunyai akaun simpanan di bank. Akaun simpanan telah menjadi satu keperluan yang mesti dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Antara kelebihan membuat simpanan di bank ialah ia memberi keselamatan kepada wang yang dimiliki dan memudahkan urusan transaksi pemindahan wang, pembelian atau pembayaran yang melibatkan jumlah wang yang besar.

Simpanan di akaun bank juga dapat menggalakkan pelaburan dan aktiviti urusniaga apabila pihak bank boleh menggunakan deposit yang disimpan itu untuk tujuan kegiatan ekonomi. Ini seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memperbanyakkan lagi peluang-peluang pekerjaan dalam sektor yang pelbagai.

Untuk menarik minat para pelanggan meletakkan deposit mereka, pihak bank biasanya akan menawarkan hadiah, insentif atau manfaat tertentu. Di samping perkhidmatan yang cekap, pantas dan berkesan, pihak bank juga akan mempromosikan akaun simpanan di bank dengan pelbagai manfaat yang menarik seperti dividen, pakej pelancongan, wang tunai dan sebagainya.

Namun, kita sebagai pelanggan kepada bank perlu sedar bahawa manfaat-manfaat ini boleh menjurus kepada perkara yang haram sekiranya tidak dikendalikan mengikut Syariah.

Dalam dunia perbankan Islam, simpanan disebut sebagai wadiah. Konsep ini lazimnya diguna pakai di dalam aktiviti penyimpanan deposit, khidmat pemegang amanah dan peti simpanan deposit. Di antara produk yang popular ialah Wadiah Saving Account. Pelanggan atau pendeposit akan membuat simpanan ke dalam akaun ini yang berasaskan kontrak Wadi'ah.

Pendeposit akan bertindak sebagai Muwaddi' (orang yang mengamanahkan) dan bank akan dilantik sebagai Wadi' (orang yang diamanahkan). Pihak bank biasanya akan menggunakan duit yang disimpan oleh pendeposit-pendeposit dengan kebenaran mereka.

Bank akan menggunakannya untuk membuat pelaburan yang mempunyai risiko yang agak rendah (low risk investment) atau pihak bank akan menggunakannya untuk menyediakan pembiayaan kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan pembiayaan.

Oleh kerana bank telah menggunakan deposit pelanggan tersebut, maka bank perlu menjamin deposit tersebut. Ini bermakna, walaupun bank menggunakan duit tersebut, pelanggan tetap dapat mengeluarkan simpanannya pada bila-bila masa.

Bagi menghargai pihak pelanggan, bank akan memberikan hibah sekiranya pihak bank mendapat keuntungan. Namun, ia tidak boleh dijanji atau ditetapkan dalam kontrak kerana ia adalah riba. Hibah tersebut hanya boleh ditentukan mengikut budi bicara bank berdasarkan pertimbangan prestasi keuntungan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS) pada mesyuarat ke-35 bertarikh 22 Mei 2003 telah memutuskan bahawa amalan pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadiah adalah dibenarkan.

Walau bagaimanapun, pemberian hibah tersebut tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai 'urf yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadiah.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMANdan AHMAD TERMIZI MOHAMED

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...