terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, April 12, 2011

Jalan rosak jadi punca kemalangan maut !!


Tragedi seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama ibu dan adiknya bergesel dengan lori akibat cuba mengelak lopak air di Jalan Kubang Kerian, Kota Bharu pada 3 April lalu, wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Sesungguhnya kita tidak menolak takdir kanak-kanak itu, Mohd. Danial Zamri, 5, yang maut selepas dihempap motosikal dinaiki, manakala ibunya, Rinawati Lilianita Mohd. Idirs, 25, serta adiknya, Mohd. Zarif Hakimi, 3, cedera dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Insiden yang menimpa Mohd. Danial bukan pertama kali berlaku kerana telah banyak sebelum ini tragedi serupa atau seakan-akan menyamainya dilaporkan media cetak dan elektronik.

Namun, apa yang dikesalkan ialah sikap ‘lepas pandang’ pihak berwajib dan dalam perkara ini Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang sepatutnya menunaikan tanggungjawab memastikan tiada ‘perangkap maut’ di jalanraya sekitar Kota Bharu.

Kita amat mudah menuding jari kepada pemandu sekiranya kemalangan berlaku, namun pihak berkuasa seakan-akan lupa bahawa ada ketikanya kemalangan tersebut turut berpunca daripada kealpaan mereka.

Melihat keadaan jalan-jalan di Kelantan amnya dan Kota Bharu khasnya, kita akan dapati masalah jalan rosak dan berlubang di sana dan sini adalah perkara biasa.

Bagi pengguna, mereka mungkin sudah letih menyuarakan permasalahan tersebut yang ada kalanya mendapat respons kurang menyenangkan daripada pihak berwajib.

Sebenarnya, bukan hanya di Kelantan, pengalaman memandu dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur baru-baru ini cukup memberikan pengalaman pahit kepada pemandu dan kenderaan yang dipandu.

Apa tidaknya, jalan-jalan dilalui banyak yang rosak dan terdapat lubang di kiri dan kanan. Keadaan amat bahaya ketika hujan. Lopak yang ada tidak dapat dilihat dan diburukkan lagi dengan keadaan jalan yang sempit. Ada ketikanya, kereta dipandu hampir-hampir bergesel dengan kenderaan lain atau sebaliknya, gara-gara cuba mengelak lubang besar. Mengelak ke kiri pula longkang atau cerun sedia menanti.

Itulah sebenarnya nasib yang terpaksa dilalui pengguna jalan raya, namun masalah mereka akan hanya mendapat perhatian dan tindak balas segera daripada pihak berkenaan, setelah berlaku musibah.

Justeru, sikap dan mentaliti sebegini seharusnya diubah. Agensi kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri perlu lebih proaktif dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat, sesuai dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Di peringkat kerajaan negeri pula, pihak berkuasa tempatan seharusnya turut memikul sama tanggungjawab tersebut dan tidak meletakkannya di bahu agensi Kerajaan Pusat semata-mata sesuai dengan slogan Membangun Bersama Islam yang sebenarnya cukup besar dan berat maknanya.

Bukan hanya masalah membabitkan jalan rosak, lopak air dan ‘lubang maut’ di jalan-jalan raya, masalah lain termasuk pengurusan sampah-sarap, bekalan air bersih dan apa sahaja melibatkan kepentingan rakyat, seharusnya ditangani secara bijaksana dan efisien. Janganlah pula ibarat pahat dengan penukul.

Marilah kita renungkan firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 105 yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhamad): beramallah kamu (akan segala) yang diperintahkan, maka Allah dan Rasulnya serta orang beriman akan melihat apa kamu kerjakan, dan kamu akan dikembali kepada (Allah) yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, kemudian Dia menerangkan apa yang kamu kerjakan.”

Oleh Yulpisman Asli

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...